Kurator Berita : Institut Latihan Islam Malaysia (ILIM)

Bangi, 25 Oktober 2018 - Institut Latihan Islam Malaysia, Jabatan Kemajuan Islam Malaysia menganjurkan Majlis Graduasi Institut Latihan Islam Malaysia 2018 pada 25 Oktober 2018 bertempat di Dewan Datuk Mohd Shahir ILIM, Bangi, Selangor. Ucapan perasmian dan penganugerahan akan disempurnakan oleh YB Puan Hajah Fuziah binti Salleh, Timbalan Menteri di Jabatan Perdana Menteri.

Selaras dengan perkembangan negara dan keperluan pengurusan hal ehwal Islam dalam masyarakat muslim di Malaysia, ILIM selaku institusi latihan berteraskan Islam telah merangka dan menganjurkan program – program latihan bagi meningkatkan tahap kompetensi para penjawat awam khsususnya dan masyarakat muslim amnya.  Ia terdiri daripada Diploma dan Sijil Pengurusan Islam, siri seminar, kolokium, konvensyen dan pelbagai lagi program di peringkat kebangsaan dan antarabangsa.

Pada tahun ini, ILIM terus mengekalkan tradisi kecemerlangan dan memartabatkan ilmu dengan meraikan para penerima diploma dan sijil tinggi anjuran institut ini sepanjang tahun 2018.

Seramai 223 orang peserta diploma dan sijil pengurusan Islam serta kursus-kursus sijil tinggi anjuran ILIM akan menerima sijil bagi mengiktiraf keilmuan dan pengorbanan mereka mendalami ilmu dan berkongsi pengalaman dalam sesi pembelajaran di ILIM.

Kursus sijil tinggi yang ditawarkan pada tahun ini ialah Diploma Pengurusan Islam (DPI), Sijil Pengurusan Islam (SPI), Sijil Tinggi Profesionalisme Imam, Sijil Tinggi Kaunseling Syarie dan Rundingcara Kekeluargaan Islam, Sijil Tinggi Penguatkuasaan Syarie Malaysia, Sijil Tinggi Falak Syarie, Sijil Tinggi Pengurusan Harta dan Kewangan Islam, Sijil Tinggi Pengurusan dan Kepemimpinan Islam dan Sijil Tinggi Bahasa Arab.

Setiap peserta akan menerima sijil yang akan disampaikan oleh YB Timbalan Menteri di Jabatan Perdana Menteri, manakala peserta terbaik setiap sijil tinggi akan dianugerahkan sijil penghargaan dan hadiah iringan dalam majlis tersebut nanti.

Pada majlis itu juga, YB Timbalan Menteri di Jabatan Perdana Menteri akan menyampaikan beberapa anugerah bagi peserta DPI iaitu Anugerah Khas Menteri dan Timbalan Menteri di Jabatan Perdana Menteri, manakala bagi Anugerah Khas Ketua Pengarah JAKIM dan Anugerah Khas Pengarah ILIM, penerimanya adalah dari kalangan peserta DPI dan SPI.

Pemilihan penerima anugerah ini adalah berdasarkan kriteria kecemerlangan dan komitmen yang telah ditunjukkan oleh pegawai sepanjang program berlangsung.

Adalah menjadi harapan ILIM untuk meneruskan kecemerlangan dalam melatih para penjawat awam yang berintegriti, berkualiti dalam mengurus tadbir, berakauntabiliti, telus, beretika serta mempunyai kebertanggungjawaban atau kebolehpercayaan yang tinggi bagi merealisasikan kecemerlangan sesebuah organisasi selaras dengan visi ILIM untuk menjadi peneraju latihan Islam bertaraf global.

mgi2

mgi1

mgi3