Kurator Berita : Institut Latihan Islam Malaysia (ILIM)

“SURUHLAH anak kamu menunaikan solat apabila mereka berumur tujuh tahun dan pukullah mereka (jika mereka enggan solat) apabila berusia 10 tahun serta asingkan tempat tidur mereka” - (Riwayat Ahmad dan Abu Dawud)

Kesedaran membentuk generasi yang taat kepada suruhan agama mendorong Kelab Kebajikan Warga Institut Latihan Islam Malaysia (KKWI) dengan kerjasama Unit Perpustakaan ILIM menganjurkan Klinik Al-Quran dan Smart Solat pada 14 Disember 2017 yang lalu. Program ini diadakan bersempena musim cuti sekolah.

Para peserta program kali ini terdiri daripada 70 orang anak-anak warga ILIM dan JAKIM berumur antara tujuh hingga 12 tahun. Program ini diadakan berikutan sambutan yang amat menggalakkan dan maklum balas positif daripada para peserta dan ibu bapa bagi program yang sama tahun lalu.

Pengarah projek itu, Encik Ruslan bin Ibrahim berkata, program itu bermatlamat melahirkan individu muslim yang mampu menghayati sepenuhnya teori dan praktikal wudu’, solat dan memperindahkan bacaan al-Quran, melahirkan anak soleh yang kasih kepada ibu bapa, anak-anak yang berjaya dalam pelajaran dan generasi Islam yang mempunyai kekuatan mental dan fizikal.

Tambah beliau, elemen-elemen di atas mestilah dipupuk dari usia muda apatah lagi kerana generasi muda Muslim masa kini semakin terdedah kepada keruntuhan sosial yang mengancam moral dan akhlak mereka.

Program ini dikendalikan sepenuhnya oleh pegawai-pegawai dari ILIM yang berpengalaman dan mahir dalam persoalan berkaitan fiqh dan ilmu al-Quran. Mereka bertindak sebagai fasilitator dan selaku ahli motivasi dalam memenuhi slot-slot khas sepanjang perjalanan program itu.

Para peserta didedahkan dengan ilmu yang bersangkutan dengan solat bermula daripada bab bersuci, wudu’, persediaan sebelum solat, bacaan-bacaan dalam solat sehinggalah pergerakan solat yang betul.

“Selain itu, peserta juga dibimbing untuk bersolat secara berjemaah di samping bacaan wirid dan doa selepas solat. Apa yang menarik, para peserta dipandu secara intensif dan diberi latihan dalam kumpulan-kumpulan kecil agar mendapat tumpuan yang sepenuhnya.

“Mereka dibahagikan mengikut kategori umur dan jantina. Setiap peserta dinilai prestasinya dengan berpandukan Ujian Penilaian yang disediakan khusus untuk program ini.

Slot-slot motivasi anak soleh pula mendedahkan peserta dengan pengisian-pengisian yang menyentuh jiwa mengenai kepentingan taat dan kasih kepada ibu bapa serta memberi semangat supaya mereka berjaya dalam pelajaran akademik dan agama.

Rata-rata para peserta yang mengikuti program ini berasa seronok dan terkesan dengan segala aktiviti yang dijalani sepanjang program ini dijalankan. Kebanyakan mereka menyatakan keinginan untuk menyertainya pada musim cuti sekolah akan datang.

Salah seorang peserta, Wan Muhammad Syamil bin Wan Mohd Bukhari, 9, berkata, program itu amat baik bagi dirinya untuk menyempurnakan lagi solat walaupun dia sudah mengetahui serba sedikit tentang solat.  Katanya lagi aktiviti-aktiviti sepanjang program ini sungguh bermanfaat untuk saya. Saya sudah tahu kenapa kita perlu menjadi anak yang soleh hasil daripada sesi motivasi yang diikuti.

Pada akhir program, para peserta dianugerahkan Sijil Penyertaan dan Rekod Pencapaian Keseluruhan yang disampaikan oleh Presiden KKWI, Encik Ruslan bin Ibrahim.

Dalam ucapan penutupnya, Ruslan menggalakkan program seumpama itu terus diadakan pada masa-masa akan datang demi kebaikan umat Islam. Tegasnya, ibu bapa perlu mempunyai kesedaran untuk mendidik anak-anak seperti menghantar anak-anak ke kem seperti itu kerana pendidikan kadang-kadang lebih berkesan dilakukan melalui pihak ketiga.

klinik quran1

klinik quran2

klinik quran3

klinik quran4

klinik quran5

klinik quran6

klinik quran7

klinik quran09