Jabatan Kemajuan Islam Malaysia membuka tirai 2020 melalui Agenda 2020-nya iaitu ‘merekayasa bidang strategik JAKIM’ melalui program Town Hall Maqasid Syariah Peringkat Kementerian Kesihatan Malaysia (KKM) pada 3 Februari 2020 di Dewan Serbaguna KKM. Majlis ini dimulakan dengan ucapan penuh bersemangat oleh YB Datuk Seri Dr. Dzulkefly bin Ahmad, Menteri Kesihatan Malaysia. Beliau menyatakan bahawa “kakitangan KKM amat bertuah kerana tugas dan tanggungjawab seluruhnya berhubung kait dengan prinsip Maqasid Syariah iaitu menjaga agama, nyawa, akal, keturunan dan harta.”
Seterusnya, majlis ini diteruskan oleh YB Datuk Seri Dr. Mujahid bin Yusof, Menteri di Jabatan Perdana Menteri sebagai ahli panel sesi Town Hall. Sesi ini dimudah cara oleh Encik Mohd Hariri bin Mohamad Daud, Penolong Pengarah Bahagian Dakwah JAKIM sebagai moderator program. Majlis ini lebih bermakna dengan kehadiran oleh pengurusan tertinggi KKM iaitu YBhg. Dato’ Mohd Shafiq bin Abdullah, Timbalan Ketua Setiausaha (Pengurusan) KKM, YBhg. Datuk Dr. Haji Rohaizat bin Haji Yon, Timbalan Ketua Pengarah Kesihatan (Perubatan) KKM dan YBrs. Dr. Hishamshah bin Mohd Ibrahim, Timbalan Ketua Pengarah Kesihatan (Penyelidikan dan Sokongan) KKM. Turut hadir ke majlis ini ialah Puan Hajah Hakimah binti Mohd Yusoff, Timbalan Ketua Pengarah Dasar JAKIM.
Program ini dihadiri oleh hampir 400 orang peserta daripada pegawai dan kakitangan KKM dan wakil-wakil daripada Jabatan Kesihatan Negeri-negeri. Ia mendapat sambutan yang baik melalui maklum balas para peserta dalam memahami aplikasi Maqasid Syariah dalam tadbir urus secara inklusif dan progresif.