Kurator Berita : Bahagian Dakwah

Pepatah Melayu ada menyebut “tak kenal maka tak cinta”. Ungkapan ini membawa pengertian, jika kita tidak kenal dengan seseorang bagaimana mungkin kita dapat menzahirkan perasaan cinta terhadapnya. Itulah sifat yang perlu ada dalam diri Penggerak Masyarakat Orang Asli (PMOA) dalam menjalankan tugas dakwah kepada masyarakat peribumi Orang Asli sekali gus memperlihatkan keberkesanan dan kejayaan dakwah kepada golongan tersebut.

Justeru Jabatan Kemajuan Islam Malaysia melalui Bahagian Dakwah dengan kerjasama rakan strategik Pusat Kecemerlangan Pedagogi Peribumi Kebangsaan, Institut Pendidikan Guru Tengku Ampuan Afzan, Kuala Lipis telah menjalinkan kerjasama menganjurkan Kursus Towards Understanding Aborigines Culture (TUAC) 2016 kepada PMOA. Kursus selama 3 hari bermula 16 Ogos dan berakhir pada 18 Ogos 2016 diadakan di Institut Latihan Islam Malaysia, Bangi telah dihadiri seramai 48 orang PMOA lantikan tahun 2014 dari seluruh Malaysia.

Kursus ini merupakan antara salah satu inisiatif strategik bagi mencapai objektif peningkatan kemahiran dan pendekatan dakwah Orang Asli sebagaimana yang terkandung dalam Hala Tuju Dakwah Masyarakat Orang Asli Islam Malaysia 2016-2020. Ia bertujuan membina keyakinan diri dan memastikan PMOA didedahkan dengan kepelbagaian disiplin ilmu di samping meningkatkan kefahaman dari segi teknik dan penyampaian dakwah kepada Orang Asli.

Kursus ini dilihat penting dalam usaha untuk memperkasakan PMOA yang ditugaskan berdakwah kepada Masyarakat Orang Asli yang mana latar belakang mereka sama sekali jauh berbeza dengan mad’u-mad’u lain. Pendedahan dan perkongsian ilmu antropologi berkaitan masyarakat Orang Asli dan persekitaran dakwah efektif bersama penceramah dan fasilitator yang berkemahiran dilihat perlu bagi memastikan PMOA terus berada di landasan yang betul dan tepat.

Dalam majlis penutup, YBrs. Tuan Mohd Zaidi bin Ramli, Ketua Penolong Pengarah Kanan, Cawangan Dakwah Khas, Bahagian Dakwah Jakim memberi penekanan kepada semua peserta yang hadir agar memanfaatkan segala ilmu yang dikongsi sepanjang kursus berlangsung serta mengaplikasikannya ketika melaksanakan tugas di lapangan kelak. Beliau juga turut mengucapkan penghargaan dan terima kasih kepada rakan strategik iaitu IPG Tengku Ampuan Afzan melalui Pusat Kecemerlangan Pedagogi Peribumi Kebangsaan yang memberikan komitmen dan kerjasama dalam menjayakan kursus ini. Banyak dapatan hasil daripada perbincangan dan perkongsian idea bersama pihak PKPPK akan membantu meningkatkan lagi impak dakwah khususnya kepada masyarakat Orang Asli di Malaysia. Semoga jalinan kerjasama ini akan berterusan untuk masa-masa akan datang. Majlis diakhiri dengan penyampaian sijil kepada semua peserta yang hadir.

towards understanding aborigines 1

towards understanding aborigines 2

towards understanding aborigines 3

towards understanding aborigines 4

towards understanding aborigines 5

towards understanding aborigines 6

towards understanding aborigines 7

towards understanding aborigines 8

towards understanding aborigines 9

towards understanding aborigines 10