Kurator Berita : Bahagian Dakwah
Putrajaya- Pada 21 April 2019, JAKIM dengan kerjasama badan bukan kerajaan (NGO) Islam sekali lagi berjaya menganjurkan program street dakwah kepada masyarakat Cina dan India bukan Islam di Kampung Baru Cina, Semenyih Selangor. Program Street Dakwah merupakan program yang julung-julung kali diadakan oleh pihak JAKIM dalam usaha memenuhi aspirasi kerajaan Malaysia Baru yang mahukan Islam disampaikan dengan lebih meluas kepada masyarakat bukan Islam menggunakan pendekatan Islam Rahmatan Lil Alamin sebagaimana yang disarankan oleh Yang Berhormat Menteri , Datuk Seri Dr Mujahid Bin Yusof.

Objektif di sebalik penganjuran program Street Dakwah ini adalah untuk merapatkan jalinan ukhuwwah di antara orang Islam dengan masyarakat bukan Islam di samping menyampaikan mesej berkaitan Islam secara jelas sekali gus mengubah persepsi salah dan negatif terhadap Islam yang telah lama berakar umbi dalam pemikiran orang-orang bukan Islam. Justeru, street dakwah ini dilihat merupakan salah satu platform yang terbaik buat masa ini untuk mendekati dan menyantuni serta membetulkan sebarang tanggapan yang tidak baik mengenai Islam lebih-lebih lagi di Malaysia yang tercinta ini.

Selain itu, terdapat juga cabaran besar yang terpaksa dihadapi semasa program Street Dakwah ini iaitu halangan daripada pihak agama lain yang tidak senang hati di atas usaha kecil agensi agama dalam memberi penerangan berkaitan agama Islam kepada penganut-penganut agama Hindu, Kristian, Buddha dan lain-lain. Walau bagaimanapun, cabaran sebegini dianggap sebagai asam garam dalam usaha dakwah dan menjadi pemangkin semangat kepada sukarelawan Islam untuk terus istiqamah menyampaikan kebenaran Islam kepada setiap lapisan masyarakat di negara ini. Semoga program sebegini akan terus mendapat sokongan dan dukungan daripada seluruh umat Islam. Walaupun usaha sebegini dilihat kecil di mata kasar tetapi besar impaknya kepada masyarakat yang dahagakan ilmu pengetahuan berkaitan Islam sebagai agama yang membawa rahmat kepada seluruh alam!
 
Dakwah Jalanan Beri Impak Positif 1
 
Dakwah Jalanan Beri Impak Positif 2
 
Dakwah Jalanan Beri Impak Positif 3
 
Dakwah Jalanan Beri Impak Positif 4
 
Dakwah Jalanan Beri Impak Positif 5
 
Dakwah Jalanan Beri Impak Positif 6