Kurator Berita : Bahagian Pendidikan
 9 April, Selasa - Jabatan Kemajuan Islam Malaysia (JAKIM) melalui Bahagian Pendidikan buat julung kalinya mengadakan ‘Seminar Kesedaran Pendidikan KAFA Kepada OKU’ di Dewan Datuk Mohd Shahir, Institut Latihan Islam Malaysia (ILIM), Bangi, Selangor.
 
Penganjuran seminar ini merupakan hasil usaha sama antara JAKIM dan Institut Pendidikan Guru Malaysia (IPGM) dan Jabatan Agama Islam Negeri Johor (JAINJ). Bahkan ia merupakan langkah pertama JAKIM bagi meningkatkan kesedaran masyarakat khususnya ibu bapa yang mempunyai anak-anak OKU tentang tanggungjawab memberi pendidikan Islam khususnya KAFA kepada murid OKU yang mempunyai masalah penglihatan, pendengaran dan pembelajaran.
 
Di samping itu, usaha menyantuni golongan OKU ini juga selari dengan gagasan kerajaan melalui pendekatan rahmatan lil ‘alamin dan Maqasid Syariah iaitu menjaga agama. Penyediaan infrastuktur dan sistem pendidikan yang holistik serta terbaik menjadi tanggungjawab kerajaan bagi membolehkan setiap rakyat mendapat pendidikan sempurna termasuk golongan OKU.
 
Sebagai perintis, program KAFA yang merupakan salah satu produk utama JAKIM sejak tiga dekad lalu, membuka lembaran baharu dengan pelaksanaan program KAFA kepada murid-murid berkeperluan khas yang turut menjadi penanda aras keprihatinan kerajaan terhadap golongan OKU. Ini terbukti apabila pada 1 April 2019, kelas KAFA kepada murid OKU penglihatan telah mula beroperasi di Sekolah Kebangsaan Putrajaya Presint 18 (1), yang dilaksanakan secara kerjasama antara JAKIM dengan Jabatan Agama Islam Wilayah Persekutuan (JAWI).
 
Bagi perancangan jangka panjang, JAKIM akan memperluas pendidikan KAFA kepada golongan OKU di negeri-negeri. Ia melalui kerjasama dengan Institut Pendidikan Guru Malaysia (IPGM) bagi melahirkan Jurulatih Utama (JU) yang terdiri daripada Guru-guru KAFA yang akan mengajar murid KAFA OKU merangkumi masalah penglihatan, pendengaran dan pembelajaran.
 
Seramai hampir 300 orang peserta yang telah menyertai seminar ini antaranya pegawai-pegawai Kementerian dan agensi Kerajaan Persekutuan termasuk Kementerian Pendidikan Malaysia (KPM), IPGM, Institut Pendidikan Guru (IPG) Kampus Pendidikan Islam, Bangi, IPG Kampus Ilmu Khas, Jabatan Agama Islam Negeri (JAIN), Yayasan Islam Negeri, Badan Bukan Kerajaan (NGO), penyelia-penyelia KAFA dan guru-guru KAFA serta ibu bapa anak-anak OKU di sekitar Putrajaya.
 
Majlis Perasmian telah dimulai dengan ucapan aluan daripada YBrs. Puan Hajah Zaiton binti Abd Rahman, Pengarah Bahagian Pendidikan, JAKIM. Seterusnya Majlis Perasmian Seminar Kesedaran Pendidikan KAFA Kepada OKU telah disempurnakan oleh YBhg. Dato’ Paimuzi bin Yahya, Timbalan Ketua Pengarah (Operasi), JAKIM.
 
Pengisian menarik yang telah disusun menerusi seminar pada kali ini melalui 2 sesi pembentangan kertas kerja dan satu sesi forum. Bagi sesi pembentangan kertas kerja pertama yang bertajuk “Pendidikan Agama Dalam Kalangan OKU : Isu dan Cabaran Semasa” disampaikan oleh YBrs. Tuan Haji Norakyairee bin Haji Mohd Raus, Ketua Unit Penyelidikan Ibnu Ummi Maktum (UMMI) Universiti Sains Islam Malaysia (USIM). Manakala bagi pembentangan kertas kerja kedua bertajuk “Kaedah Pengajaran Fardhu ’Ain Kepada Murid Berkeperluan Khas” disampaikan oleh YBrs. Dr. Mohd Huzairi bin Awang @ Husain Penolong Ketua Jabatan, Jabatan Penyelidikan Inovasi dan Profesionalisme Keguruan Institut Pendidikan Guru, Kampus Pendidikan Islam Bangi.
 
Pada sesi petang pula, seminar diteruskan dengan sesi perkongsian ilmu dan pengalaman melalui forum bertajuk “Hala Tuju Pendidikan KAFA Kepada OKU” yang menampilkan 4 orang ahli panel yang mempunyai kepakaran dan ilmu berkaitan pengurusan pengajaran dan pembelajaran kanak-kanak istimewa. Ahli-ahli panel yang terlibat ialah YBrs. Dr. Alijah binti Ujang (Ketua Jabatan Pendidikan Khas, IPG Kampus ILMU Khas), Encik M. Assadiqi bin Sidon (Guru Besar Sekolah Agama Puteri Elizabeth Johor Bahru, Johor), Puan Norhafizah binti Sukhimee (Guru Besar Sekolah Agama Pendidikan Khas Taman Ungku Tun Aminah Johor Bahru, Johor) dan Encik Syar Meeze bin Mohd Rashid (Pengerusi Yayasan Pendidikan Al-Quran Bagi Anak Istimewa (Yayasan FAQEH). Sesi forum ini telah dikendalikan dengan jayanya oleh Encik Mohd Nassru bin Abdul Latif, Penolong Pengarah Kanan, Bahagian Pendidikan JAKIM.
 
SEMINAR KESEDARAN PENDIDIKAN KAFA OKU TAHUN 2019 1
 
SEMINAR KESEDARAN PENDIDIKAN KAFA OKU TAHUN 2019 2
 
SEMINAR KESEDARAN PENDIDIKAN KAFA OKU TAHUN 2019 3
 
SEMINAR KESEDARAN PENDIDIKAN KAFA OKU TAHUN 2019 4
 
SEMINAR KESEDARAN PENDIDIKAN KAFA OKU TAHUN 2019 5
 
SEMINAR KESEDARAN PENDIDIKAN KAFA OKU TAHUN 2019 6
 
SEMINAR KESEDARAN PENDIDIKAN KAFA OKU TAHUN 2019 7
 
SEMINAR KESEDARAN PENDIDIKAN KAFA OKU TAHUN 2019 8