Tidak amanah, tidak hadir ke pejabat tanpa alasan yang munasabah, lambat, bersikap kurang mesra adalah antara imej perkhidmatan awam yang sering diperkatakan. Kelakuan yang boleh menjejaskan imej perkhidmatan ini telah dianggap sudah menjadi barah dalam sesebuah organisasi. Strategi dan pendekatan bagaimana untuk menangani masalah ini adalah sebahagian daripada intipati ceramah yang telah disampaikan oleh YBhg. Puan Nor Azizi binti Mansor, Pegawai Turus Psikologi dari Jabatan Integriti dan Pematuhan Standard, PDRM. Ceramah beliau yang bertajuk “Merubah Budaya Organisasi Dan Individu Melalui Pendekatan Psikologi” telah disampaikan dalam Kursus Pengukuhan Integriti yang diadakan pada 10 Oktober 2017 bertempat di Bilik Kuliah 1, Saidina Abu Bakar, Masjid Putra, Putrajaya.

 

Seramai 34 orang peserta yang terdiri daripada pegawai dan kakitangan Jakim hadir dalam kursus tersebut. Tujuan utama kursus ini diadakan adalah untuk :

  1. Meningkatkan tahap kesedaran tentang kepentingan integriti dalam perkhidmatan awam.
  2. Memberi pendedahan berkaitan isu-isu integrity menurut perspektif Jabatan Audit Negara.
  3. Memberi pendedahan berkaitan isu-isu rasuah, penyelewengan dan salah guna kuasa dalam perkhidmatan awam.

Slot ke 2 yang bertajuk “Pengurusan Integriti Dari Perspektif Jabatan Audit Negara” pula telah disampaikan oleh YBhg. Encik Haffiz bin Hashim, Ketua Penolong Pengarah Audit, Jabatan Audit Negara. Dalam ceramahnya, beliau menerangkan tentang peranan Jabatan Audit Negara dalam memupuk tadbir urus yang baik bagi memastikan sesebuah organisasi membelanjakan wang awam secara berhemat tanpa pemborosan dan pembaziran. Beberapa contoh kesalahan yang sering berlaku di jabatan-jabatan dan agensi hasil penemuan audit turut dikongsi bersama oleh penceramah.

Manakala Slot yang ke 3 telah disampaikan oleh YBhg. Tuan Izham bin Ibrahim, Ketua Penolong Kanan Pesuruhjaya SPRM melalui slot yang bertajuk “Rasuah, Penyelewengan dan Salah Guna Kuasa. Penerangan yang cukup jelas mengenai fungsi SPRM, Akta dan contoh-contoh kesalahan telah diberikan oleh penceramah kepada para peserta. Beliau turut menasihatkan agar penambahbaikan dari segi amalan kerja, sistem dan prosedur penyampaian sentiasa dipertingkatkan agar penjawat awam terdidik dan terpelihara daripada terjebak dengan gejala rasuah.

Diharapkan kursus pengukuhan integriti seperti ini, sedikit sebanyak dapat memberi gambaran dan peringatan kepada kita semua. Kata-kata Saidina Abu Bakar dan Saidina Umar Al-Khattab dalam pengucapan yang hampir sama ketika dipilih untuk menjadi khalifah. Antara inti kata ucapan mereka,

“Jika saya benar maka ikutilah saya dan jika saya menyeleweng, maka perbetulkan saya bagi menentukan urus tadbir negara tidak tersesat dan bersedia meletakkan jawatan jika gagal memenuhi akauntabiliti”

 

kpi1

Puan Nor Azizi binti Mansor selaku penceramah sedang menyampaikan ceramah 

 

kpi6

Wakil SPRM menyampaikan ceramah berkenaan rasuah

 

kpi7

Ceramah yang disampaikan oleh Ketua Penolong Pengarah, Jabatan Audit Negara

 

kpi4

Antara peserta yang menghadiri Kursus Pengukuhan Integriti

kpi5

Tanda kenang-kenangan bersama YBhg. Tuan Izham bin Ibrahim, Ketua Penolong Kanan Pesuruhjaya, SPRM




QR Code Portal Jakim
Hakcipta © 2015 Jabatan Kemajuan Islam Malaysia
Kerajaan Malaysia dan JAKIM tidak bertanggungjawab atas kerugian atau kerosakan yang disebabkan oleh penggunaan dari setiap maklumat yang diperolehi daripada portal ini. Sesuai dilayari dengan menggunakan Internet Explorer versi 8 atau Mozilla Firefox versi 3 ke atas (dengan resolusi 1024 x 768)
Last Updated : 23 November 2017.
Jumlah Pelawat :12151514