Judul: Tadabbur Kalamullah 14 Ramadhan 1441H - Hidup Berpandukan Ilmu
Kategori: Artikel
TADABBUR KALAMULLAH 14 RAMADHAN 1441H
HIDUP BERPANDUKAN ILMU
یَرۡفَعِ ٱللَّهُ ٱلَّذِینَ ءَامَنُوا۟ مِنكُمۡ وَٱلَّذِینَ أُوتُوا۟ ٱلۡعِلۡمَ دَرَجَـٰتࣲۚ وَٱللَّهُ بِمَا تَعۡمَلُونَ خَبِیرࣱ
"...Allah meninggikan darjat orang-orang yang beriman di antara kamu, dan orang-orang yang diberi ilmu pengetahuan agama (dari kalangan kamu) beberapa darjat. Dan (ingatlah), Allah Maha Mendalam PengetahuanNya tentang apa yang kamu lakukan" [Surah al-Mujadilah 11]
Antara kebaikan dan amalan yang menjana taqwa serta sangat bermanfaat dalam kehidupan kita khususnya di bulan Ramadhan ini ialah menuntut ilmu dan menyampaikan ilmu. Hal ini juga merupakan jalan mudah menuju kebaikan dan jalan mudah ke Syurga.
Daripada Sayidina Abu Hurairah r.a, Nabi saw bersabda:
وَمَنْ سَلَكَ طَرِيقًا يَلْتَمِسُ فِيهِ عِلْمًا سَهَّلَ اللَّهُ لَهُ بِهِ طَرِيقًا إِلَى الْجَنَّةِ
“Siapa yang menempuh jalan untuk mencari ilmu, maka Allah akan mudahkan baginya jalan menuju syurga.” (HR Muslim)
Daripada Sayidina Abu Mas’ud Uqbah bin Amir al-Anshari r.a berkata bahawa Rasulullah saw bersabda:
مَنْ دَلَّ عَلَى خَيْرٍ فَلَهُ مِثْلُ أَجْرِ فَاعِلِهِ
“Barangsiapa yang menunjuki kepada kebaikan (seperti mengajar ilmu) maka dia akan mendapatkan pahala seperti pahala orang yang mengerjakannya” (HR Muslim)
Ini menunjukkan sesiapa yang menempuh jalan dalam menuntut ilmu dan tidak berhenti bergelumang dengan ilmu, maka ia akan pulang mengadap Allah dengan dipermudahkan masuk ke syurga.
Ilmu tersangatlah penting kerana tidak ada jalan untuk mengenal Allah, untuk mencapai redhaNya, untuk makin dekat denganNya melainkan melalui jalan menuntut dan menyampaikan ilmu. Ilmu juga menjadi panduan dan memberi petunjuk ketika seseorang yang berada dalam kegelapan, kebodohan, ragu-ragu dan kesesatan.
Kelebihan dan ganjaran mengajar ilmu:
1. Ia akan mendapatkan pahala seperti pahala orang yang ia ajarkan.
2. Orang yang mengajarkan ilmu beraerti telah melakukan amar makruf nahi munkar.
3. Mengamalkan budaya saling menasihati.
4. Termasuk bentuk saling tolong menolong dalam kebaikan dan taqwa.
5. Akan membentuk dan mewujudkan kehidupan bahagia kepada masyarakat dengan adanya adab dan hukum Islam yang tersebar.
Sampaikan ilmu dan tuntutlah ilmu kerana ia akan memandu kita menuju kepada kebaikan, kebenaran dan kebahagiaan di akhirat kelak.