Cendekiawan Kuasai Agama, Akademik Ciri Ulul Al-Bab

Cendekiawan Kuasai Agama, Akademik Ciri Ulul Al-Bab
Oleh : Mohamad Nordin Ibrahim (Panel Penulis JAKIM)
 
Untuk menjadi umat yang maju, umat Islam perlu menguasai ilmu fardu ain dan fardu kifayah secara sempurna dan bersepadu. Penguasaan ilmu di kalangan umat Islam boleh melahirkan apa yang disebut dalam al-Quran sebagai Ulul al-Bab. Dalam al-Quran terdapat sebanyak 16 ayat yang menyebutkan perkataan Ulul al-Bab. Antaranya ialah dalam surah al-Baqarah, ali-Imran, al-Maidah dan Yusuf.
Abdullah Yusuf Ali mendefinisikan Ulul al-Bab sebagai golongan yang memiliki kefahaman mendalam. Mereka ialah ilmuwan Islam yang istimewa kerana memiliki keilmuan luas, daya fikir dan renungan yang tajam dan bersifat ke hadapan. Keilmuan tersebut mencakupi ilmu-ilmu keagamaan dan ilmu mengurus kehidupan.
 
YAB Perdana Menteri, Dato’ Seri Abdullah bin Ahmad Badawi telah beberapa kali mengungkapkan istilah Ulul al-Bab dalam ucapannya kepada para cendikiawan sama ada di dalam atau di luar Negara. Beliau menyeru supaya umat Islam sentiasa berfikir dan mengkaji, membebaskan fikiran mereka daripada terbelenggu dan seterusnya menguasai bidang sains dan teknologi. Umat Islam digesa jangan membazirkan akal yang dianugerahkan Allah untuk berfikir dan mencari inovasi yang berfaedah kepada ummah. Penguasaan ilmu pengetahuan merupakan salah satu prinsip dalam pendekatan Islam Hadhari.
Perbincangan mengenai Ulul al-Bab banyak merujuk kepada ayat 190-191 surah ali- Imran yang bermaksud; “Sesungguhnya pada kejadian langit dan bumi dan pada pertukaran malam dan siang, ada tanda-tanda (kekuasaan, kebijaksanaan, dan keluasan rahmat) bagi Ulul al-Bab ( orang yang berakal). (iaitu) orang yang menyebut dan mengingati Allah semasa mereka berdiri, duduk dan semasa mereka berbaring mengiring dan mereka pula memikirkan tentang kejadian langit dan bumi (sambil berkata), “Wahai Tuhan kami ! Tidakkah Engkau menjadikan kesemua ini dengan sia-sia. Maha Suci Engkau, peliharalah kami dari azab neraka”.
 
Ayat ini menyatakan tentang hakikat bahawa alam adalah sebuah gedung yang sentiasa terbuka untuk direnung, dikaji, difahami dan diinsafi isinya. Keseluruhan lautan dan daratan, binatang dan tumbuhan adalah tanda-tanda kebesaran Allah. Alam itu sendiri adalah sumber ketaqwaan bagi mereka yang mahu berfikir.
 
Ulul al-Bab merupakan insan yang sangat istimewa, ibarat “The cream of the cream”, iaitu insan terbaik dari kalangan yang terbaik. Dengan ketinggian dan keluasan ilmunya dalam pelbagai disiplin, mereka adalah insan yang boleh diberi tanggungjawab untuk memikul amanah memimpin ummah dan dunia amnya. Merekalah yang layak menjadi pemimpin yang beramanah dan khalifah yang adil untuk semua umat manusia, kerana mereka dianugerahi keilmuan yang luarbiasa serta ketaqwaan yang tinggi.
Kemajuan dunia bergantung kepada ketinggian tamadun keilmuan sesuatu umat dan bangsa. Jika umat Islam ingin maju dan menerajui dunia pada masa hadapan, kita perlu melahirkan ramai Ulul al-Bab. Insan-insan inilah yang akan dapat membina semula tamadun dan menjadi pemimpin yang membawa kepada kemakmuran. Terdapat ramai tokoh terkenal telah berjaya memimpin negara-negara di dunia, tetapi ternyata belum dapat mewujudkan negara maju dalam suasana aman damai.
 
Walaupun suasana kehidupan masyarakat masa kini banyak terpengaruh dengan godaan duniawi yang semakin mencabar, namun generasi Ulul al-Bab sebagaimana disebut dalam al-Quran boleh dilahirkan. Syaratnya ialah terdapat penyediaan institusi atau prasarana yang terancang.
 
Selaras dengan Pendekatan Islam Hadhari, beberapa pendekatan menyesuaikan sistem pendidikan sedia ada dengan elemen ciri dan nilai-nilai dalam pendekatan Islam Hadhari giat dilakukan oleh pihak kerajaan. Sebahagian sekolah menengah agama sains tulen telah diwujudkan bagi menempatkan pelajar-pelajar yang cerdik dan berpotensi untuk menjadi intelektual muslim yang unggul. Sekolah-sekolah seperti ini menjadi rebutan kepada para ibubapa untuk memastikan anak mereka mendapat pendidikan berkonsepkan pengintegrasian ilmu.
 
Di peringkat institusi pengajian tinggi pula telah diperkenalkan program pengajian dwipengkususan (double major) yang menggabungkan antara pengajian tahfiz al-Quran dengan bidang profesional lain. Antaranya ialah program pensijilan tahfiz al-Quran antara Universiti Islam Antarabangsa Malaysia (UIAM) dan Darul Quran, Jabatan Kemajuan Islam Malaysia (JAKIM). Dalam program ini pelajar-pelajar pintar tersebut akan mengikuti program tahfiz al-Quran selama 18 bulan, sebelum meneruskan pengajian matrikulasi di UIAM dalam pelbagai bidang profesional seperti perubatan, kejuruteraan dan lain-lain. InsyaAllah negara akan menyaksikan satu pola perubahan di kalangan teknokrat dan profesional di mana para graduan sains, bukan sahaja mahir dalam bidang sains tetapi juga mahir dalam bidang al-Quran dan hal ehwal agama.
 
Dalam jangka panjang, tidak akan wujud lagi pemisahan antara bidang pengajian agama dan “bukan agama’. Jika menjadi doktor, akan lahir doktor yang alim tentang ilmu agama, begitulah juga dengan bidang-bidang lain. Jika menjadi guru pula, sampai masanya mata pelajaran agama dan akademik boleh diajar oleh seorang guru yang sama kerana guru tersebut mempunyai dwi kemahiran yang menepati ciri-ciri Ulul al-Bab.