Kurator Berita : Bahagian Pengurusan Halal
SUBANG JAYA – Program Pengenalan dan Kesedaran Halal Malaysia anjuran bersama Jabatan Kemajuan Islam Malaysia (JAKIM) dan PLUS Malaysia Berhad diteruskan lagi ke Wilayah yang ketiga dan terakhir bagi tahun ini. Penganjuran strategik tersebut telah berjaya menghimpunkan seramai 169 orang daripada rakan niaga PLUS di Wilayah Persekutuan, Selangor, Perak dan Negeri Sembilan.
 
Pihak Penganjur Bersama, PLUS, ketika ditanya, amat teruja dengan penganjuran program sebegini serta menzahirkan harapan agar misi mereka untuk menjadikan kawasan Rehat dan Rawat di Lebuhraya PLUS dapat dipersijilkan halal secara total pada masa hadapan bakal terlaksana. Program seumpama ini merupakan antara alternatif dan inisiatif terbaik yang berjaya dilaksanakan sebagai tingkat pertama untuk menjadikan rakan niaga PLUS memperoleh maklumat yang bersepadu serta komprehensif berkaitan pensijilan halal Malaysia agar mereka benar-benar bersedia untuk mengorak langkah seterusnya. 
 
Program pengenalan dan kesedaran halal Malaysia Siri 3 yang telah diadakan pada 11 November 2019 tersebut merupakan satu program yang digerakkan secara bersama di samping menjadi salah satu agenda pemerkasaan usahawan nasional ke arah memiliki pensijilan halal Malaysia serta menjadikan ianya satu penyuntik semangat kepada usahawan untuk terus menjadikan halal Malaysia sebagai satu pilihan utama. 
 
Ketika ditemui, Tuan Bukhari Md. Akhir, Pengarah Bahagian Pengurusan Halal Malaysia, amat optimis dengan komitmen oleh kedua-dua bahagian dalam memastikan kejayaan program yang dianjurkan. Beliau turut mengalu-alukan usaha murni pihak PLUS ke arah mempersijilkan kesemua premis makanan di ruang rehat dan rawat mereka seterusnya menyarankan agar projek usahasama ini berjalan secara konsisten di bawah satu tanggungjawab yang murni bagi memastikan pengguna dapat menikmati makanan, minuman atau produk yang telah disahkan halal oleh pihak berautoriti demi kemaslahatan bersama sepanjang menggunakan lebuhraya PLUS pada masa akan datang.
 
*Ikuti pelbagai aktiviti yang melibatkan Halal Malaysia di:-
 
http://bit.ly/FBHABHALAL
http://bit.ly/AktiviitiHabHalal
http://www.halal.gov.my/
http://www.islam.gov.my/
 
#YakiniHalalMalaysia
#HalalMalaysiaMenerajuiDunia
#MelebarRisalahMenyantuniUmmah
#RahmatanLil’Alamin
#Rahmah
 
Wilayah Tengah PLUS 1
 
Wilayah Tengah PLUS 2
 
Wilayah Tengah PLUS 3
 
Wilayah Tengah PLUS 4
 
Wilayah Tengah PLUS 5