jata negara small
 
KENYATAAN MEDIA

KETUA PENGARAH
JABATAN KEMAJUAN ISLAM MALAYSIA (JAKIM)
BERKENAAN

KAEDAH PENENTUAN AWAL SYAWAL 1431H DI MALAYSIA

 

1. Sukacita dimaklumkan bahawa Jabatan Kemajuan Islam Malaysia (JAKIM) melalui Cawangan Falak JAKIM ingin memaklumkan bahawa kaedah penentuan awal syawal 1431H di Malaysia adalah menggunakan kaedah rukyah (cerapan) dan hisab berpandukan kriteria imkanur rukyah (kebolehnampakan).

2. Hasil daripada mesyuarat Ahli Jawatankuasa Teknikal Kalendar Islam pada 13 April 2010, satu laporan penetapan tarikh awal bulan Syawal telah diangkat ke Pejabat Penyimpan Mohor Besar Raja-Raja bagi rujukan dalam menentukan awal Syawal 1431H.

3. Suka JAKIM menjelaskan bahawa Kriteria Imkanur Rukyah (kebolehnampakan) adalah seperti berikut :

  1. Di ketika matahari terbenam, ketinggian hilal (anak bulan) di atas ufuk (horizon) tidak kurang dari 2° (darjah) dan jarak lengkung (hilal dan matahari) tidak kurang dari 3° (darjah).
    ATAU
  2. Di ketika hilal terbenam apabila umur hilal tidak kurang daripada 8 jam (kriteria ini diambil kira selepas ijtimak (conjunction) berlaku ).

4. Bagi amalan di Malaysia, data-data kajian ditentukan bagi tiga bulan utama iaitu Awal Bulan Ramadan, Syawal dan Zulhijjah berpandukan koordinat 2 titik rujukan iaitu melihat kepada Koordinat Tanjung Atiam, Sabah iaitu stesen paling timur dan Koordinat Tg. Chincin di Pulau Langkawi, Kedah iaitu stesen paling barat.

5. Bagi tujuan penentuan awal Syawal 1431H, proses cerapan akan dilakukan pada petang hari merukyah hilal (cerapan anak bulan) Syawal pada 29 Ramadan 1431 Hijriah bersamaan 8 September 2010 Miladiah (Rabu). Cerapan akan dilakukan di 30 tempat cerapan rasmi yang telah dimaklumkan oleh Pejabat Penyimpan Mohor Besar Raja-raja. Proses cerapan diperingkat negeri, lazimnya diketuai oleh mufti negeri yang mengetuai Jawatankuasa Penentuan Awal Puasa dan Raya. Hasil cerapan akan dipanjangkan segera ke pengetahuan Penyimpan Mohor Besar Raja-Raja Malaysia serta diumumkan segera setelah mendapat perkenan Raja.

6. Perbezaan penentuan tarikh hari raya di antara negara-negara Islam berlaku kerana wujudnya perbezaan matlak iaitu perbezaan terbit dan terbenamnya hilal (anak bulan). Ia juga bergantung pada penentuan pihak berkuasa agama di negara masing-masing sama ada menggunakan kaedah rukyah sahaja, hisab sahaja atau rukyah dan hisab.

7. Atas jasa baik pihak media dalam mewar-warkan perkara ini kepada masyarakat Malaysia amatlah diharapkan dan didahului dengan ucapan terima kasih.
 

Sekian, terima kasih.

'BERKHIDMAT UNTUK NEGARA'


Saya yang menurut perintah,

DATO’ HAJI WAN MOHAMAD BIN DATO’ SHEIKH ABDUL AZIZ
7 September 2010