jata negara small
 
KENYATAAN MEDIA
KETUA PENGARAH
JABATAN KEMAJUAN ISLAM MALAYSIA (JAKIM)
 
BERKENAAN
 
MESYUARAT MAJLIS HALAL MALAYSIA KALI KE-4 BIL.1/2019
_________________________________________________________
 
Sukacita dimaklumkan bahawa Timbalan Perdana Menteri, YAB Dato’ Seri Dr. Wan Azizah Dr. Wan Ismail telah mempengerusikan Mesyuarat Majlis Halal Malaysia Kali Ke-4 Bil.1/2019 pada 13 Mac 2019 bertempat di Bangunan Utama Parlimen Kuala Lumpur.
 
Mesyurat yang diurusetiakan oleh JAKIM ini telah mempersetujui bahawa Dasar Halal Negara perlu dibangunkan sebagai rujukan kepada pemegang-pemegang taruh di pelbagai agensi. Dasar ini juga akan menjadi panduan dalam menggariskan pelan pembangunan industri halal yang strategik.
 
Selain itu, mesyuarat ini juga telah bersetuju supaya undang-undang dan peraturan berkaitan rumah sembelihan unggas di Malaysia diperkasakan melalui syarat pemilikan sijil halal dan tauliah sembelih sebelum kelulusan permohonan lesen rumah sembelih diberikan oleh Pihak Berkuasa Tempatan (PBT). Cadangan ini bagi memastikan isu seperti sembelihan yang tidak patuh syariah oleh rumah sembelihan tidak terus berlaku.
 
Sebanyak 5 kertas telah dibentangkan dalam mesyuarat pada kali ini, iaitu satu kertas laporan dan 4 kertas cadangan yang telah dibincangkan bagi memperkasa dan memperkukuhkan lagi industri halal negara.
 
Mesyuarat dihadiri oleh YB Datuk Seri Dr. Mujahid Yusof, Menteri di Jabatan Perdana Menteri (Agama) dan YB Puan Hajah Fuziah Salleh, Timbalan Menteri di Jabatan Perdana Menteri (Agama). Ahli lain yang hadir ialah YAB Tuan Adly Zahari, Ketua Menteri Melaka selaku Pengerusi Majlis Agama Islam Melaka, YB Dato’ Salahuddin bin Ayub, Menteri Pertanian dan Industri Asas Tani, YB Datuk Seri Dr. Dzulkefly Ahmad, Menteri Kesihatan, YB Datuk Seri Mohd Redzuan Md Yusof, Menteri Pembangunan Usahawan dan YB Dato’ Haji Mahfuz Haji Omar, Timbalan Menteri Sumber Manusia. Selain itu, ahli mesyuarat juga terdiri daripada Pengerusi Majlis Agama Islam Negeri serta agensi-agensi berkaitan halal.
 
Majlis Halal Malaysia yang bersidang sekurang-kurangnya 2 kali setahun bertujuan menggembleng dan memugar peranan agensi-agensi sedia ada di peringkat persekutuan dan negeri secara optimum mengikut bidang kuasa dan fungsi masing-masing mengenai pembangunan halal.
 
Platform ini juga bertujuan menyelaras inisiatif-inisiatif dan program-program yang menyumbang ke arah peningkatan ekonomi dan sosial negara serta agenda memperkenal dan memperkukuh bidang halal di peringkat antarabangsa.
 
Sehubungan itu, mohon jasa baik pihak media untuk membuat hebahan dan liputan berkaitan perkara ini.
 
Sekian
 
DATUK MOHAMAD NORDIN BIN IBRAHIM
KETUA PENGARAH JABATAN KEMAJUAN ISLAM MALAYSIA
MERANGKAP
SETIAUSAHA MAJLIS HALAL MALAYSIA
7 Rejab 1440H
14 Mac 2019M