Senarai Hadith
| Bil | Hadith | Tarikh |
|---|---|---|
| 121 |
Menggunakan Harta Dengan Jalan Batil
Daripada Khaulah binti Tsamir Al-Ansoriyah, iaitu perempuan (isteri) Hamzah RA katanya, "Aku telah mendengar Rasulullah SAW bersabda, "Sesungguhnya ada beberapa jenis atau golongan lelaki yang membelanjakan harta orang Islam bukan dengan kebenaran. Maka bagi mereka api neraka pada hari kiamat". |
Jun 28, 2012 |
| 122 |
Orang Yang Bankrap disisi Islam
Daripada Abu Hurairah RA sesungguhnya Rasulullah SAW bersabda, "Tahukah kamu siapa orang yang bankrap?" Para sahabat menjawab, "Orang yang bankrap bagi kami ialah orang yang tidak mempunyai wang dan harta". Baginda bersabda, "Ssungguhnya orang yang bankrap daripada umatku ialah orang yang datang di hari kiamat membawa sembahyang, puasa dan zakat dan dia datang dalam hal dia memaki, mencaci si fulan, tuduh-menuduh serta memakan harta kepunyaan orang lain, menumpahkan darah, membunuh orang dan memukul orang. Maka diberi kepada orang yang teraniaya pahala kebajikan orang yang menganiaya mereka. Maka jika kebajikan sebelum terbayar tanggungan kezaliman maka diambil daripada kesalahan mereka (orang yang dianiaya) dan dibebankan ke atas (yang membuat aniaya) kemudian dicampak dia ke dalam neraka". |
Jun 25, 2012 |
| 123 |
Menghukum Atas Yang Benar
Daripada Ummu Salamah RA, sesungguhnya Rasulullah SAW bersabda: "Bahawasanya aku adalah seorang manusia dan sesungguhnya kamu semua telah membawa pertelingkahan kepadaku. Barangkali sesetengah kamu ada yang lebih cerdik mengemukakan hujah serta alasannya daripada sesetengah yang lain. Maka aku akan menghukum mengikut apa yang aku dengar. Maka sesiapa yang telah aku putuskan untuknya mendapat kemenangan, sedangkan ia mengetahui bahawa itu adalah hak kepunyaan saudaranya, maka sesungguhnya aku tentukan untuknya sepotong daripada api neraka".
|
Jun 22, 2012 |
| 124 |
Berhutang Menghalang Penyucian Diri dan Keredhaan Allah
Daripada Abu Qatadah al-Harith bin Rib'ie RA, daripada Rasulullah SAW, "Sesungguhnya baginda berkhutbah kepada mereka lalu menyebut kepada mereka, bahawasanya jihad pada jalan Allah dan beriman kepada Allah itu sebaik-baik amalan (pekerjaan)". Kemudian bangun seorang lelaki dan berkata, "Wahai Rasulullah SAW bagaimanakah jika aku terbunuh di dalam jihad pada jalan Allah, apakah semua kesalahanku akan diampunkan?" Baginda menjawab, "Ya, benar jikalau engkau dibunuh dalam masa peperangan jihad pada jalan Allah dengan engkau berkedaan sabar mengharapkan keredhaan Allah, sedangkan engkau menghadapi musuh tidak berpaling lari kebelakang". Kemudian baginda bertanya, "Bagaimana katamu?" Jawab lelaki tersebut bagaimanakah jika aku terbunuh dalam peperangan pada jalan Allah, apakah akan dihapuskan segala kesalahan-kesalahanku?" Baginda bersabda lagi. "Ya, benar jikalau engkau bersabar, tetap mengharapkan keredhaan Allah ketika menghadapi musuh, tidak berpaling lari kebelakang, melainkan jika engkau ada menanggung hutang dan sesungguhnya Jibril mengatakan hal itu kepadaku". |
Jun 21, 2012 |
| 125 |
Jauhi Sifat Bakhil
Daripada Jabir RA bahawasanya Rasulullah SAW telah bersabda, "Takutilah (jauhilah) kezaliman kerana sesungguhnya kezaliman itu adalah kegelapan di hari kiamat dan takutilah (jauhilah) perangai bakhil kerana bakhil itu telah membinasakan orang yang dahulu daripada kamu iaitu membawa mereka melakukan pertumpahan darah sesama mereka dan menghalalkan perkara-perkara yang diharamkan kepada mereka. |
Jun 20, 2012 |
| 126 |
Waktu Doa Paling Mustajab
Dari Ibnu Abbas RA katanya: Rasulullah SAW membuka tirai (kamarnya ketika baginda sakit akan meninggal), padahal ketika itu jamaah sedang solat berjamaah diimami Abu Bakar. Lalu baginda bersabda:Sesungguhnya tidak ada lagi wahyu kenabian yang ketinggalan yang harus aku sampaikan, kecuali mimpi baik seorang muslim. Ketahuilah! Aku dilarang membaca al-Quran dalam rukuk dan sujud. Agungkanlah Allah Azza wa Jalla di dalam rukuk dan perbanyakkanlah doa di dalam sujud pasti doamu diperkenankan Allah S.W.T. |
Jun 19, 2012 |
| 127 |
Tegahan Memperlekeh Pemberian Jiran
Daripada Abu Hurairah RA katanya, Rasulullah SAW bersabda, “Wahai wanita muslimah janganlah jiran memperkecilkan (pemberian) jirannya walaupun (pemberian) itu hanya berupa kaki kambing.” |
Jun 18, 2012 |
| 128 |
Kelebihan Berulang Alik Ke Masjid
Daripada Abu Zar RA katanya, Rasulullah SAW bersabda “ Sesiapa yang pergi ke Masjid pagi atau petang, Allah akan sediakan baginya di dalam syurga, hidangan dan jamuan setiap kali dia pergi atau balik. |
Jun 15, 2012 |
| 129 |
Larangan Memperkecilkan Kebaikan Yang Sedikit
Daripada Abu Zar RA katanya, nabi SAW telah bersabda kepadaku, “Janganlah kamu memperkecilkan kebaikan sedikitpun, sekalipun engkau menemui saudara engkau dengan wajah yang berseri-seri.”
|
Jun 14, 2012 |
| 130 |
Contoh Amalan Baik dan Amalan Jahat
Daripada Abu Zar RA katanya, nabi Muhammad SAW telah bersabda, “Telah diperlihatkan kepadaku segala amalan umatku sama ada yang baik atau yang jahat. Maka aku dapati di antara amalan-amalan yang baik atau yang jahat. Maka aku dapati di antara amalan-amalan yang baik ialah membuangkan sesuatu yang merbahaya yang terdapat di jalan. Dan aku dapati di antara amalan-amalan yang jahat ialah berkahak di dalam masjid yang tidak ditimbus.” |
Jun 13, 2012 |
| 131 |
Tuntutan Bersedekah
Daripada Abu Zar RA daripada Nabi SAW telah bersabda, “Dituntut ke atas setiap sendi kamu itu sedekah, setiap tahmid itu sedekah, setiap tahlil itu sedekah,setiap takdir itu sedekah, menyeru kepada kebaikan itu sedekah, melarang daripada kemungkaran itu sedekah dan memadailah bagi setiap amalan yang disebut itu dua rakaat sembahyang Dhuha.” |
Jun 12, 2012 |
| 132 |
Jarak Syurga Dan Neraka
Daripada Ibnu Masu’d RA katanya, Rasulullah SAW bersabda, “Syurga itu lebih dekat kepada setiap kamu daripada tali capalnya. Begitulah juga neraka.” |
Jun 11, 2012 |
| 133 |
Tempoh Penurunan Wahyu
Daripada Anas RA katanya: "Sesungguhnya Allah SWT meneruskan penurunan wahyu kepada Rasulullah SAW lebih banyak pada waktu sebelum diwafatkan sehinggalah baginda wafat, di situlah sebahagian besar wahyu diturunkan."
|
Jun 10, 2012 |
| 134 |
Kelebihan Sujud dalam Solat
Daripada Abu Abdullah yang dikenali juga dengan Abdul Rahman Thauban RA hamba Rasulullah SAW katanya, aku telah mendengar Rasulullah SAW bersabda, ”Perbanyakkanlah sujud sesungguhnya sekali-kali tidaklah engkau sujud kerana Allah satu sujud pun kecuali Allah mengangkat dengannya satu darjat, dan hapuskan dengannya satu dosa." |
Jun 09, 2012 |
| 135 |
Perkara Yang Mengiringi Jenazah
Daripada Anas RA daripada Rasulullah SAW sabdanya, “Tiga perkara yang mengiringi jenazah iaitu keluarganya, hartanya dan amalannya. Maka dua perkara akan kembali semula, yang tinggal bersamanya hanyalah amalannya." |
Jun 08, 2012 |
| 136 |
Jalan Ke Syurga Dan Jalan Ke Neraka
Daripada Abu Hurairah RA bahawasanya Rasulullah SAW bersabda, "Neraka itu didindingi dengan perkara-perkara yang diingini hawa nafsu, syurga itu didindingi dengan perkara-perkara yang dibenci oleh hawa nafsu." |
Jun 07, 2012 |
| 137 |
Orang Mukmin Yang Kuat Lebih Baik dan Dikasihi Allah
Daripada Abu Hurairah RA katanya,Rasulullah SAW bersabda, “Orang mukmin yang kuat itu adalah lebih baik dan lebih dikasihi Allah daripada orang mukmin yang lemah. Masing-masing ada mempunyai kebaikan. Bersungguh-sungguhlah mengerjakan suatu yang berguna (di dunia dan di akhirat), hendaklah selalu meminta pertolongan daripada Allah dan jangan berasa lemah yakni putus harapan atau merasa hampa. Jika engkau ditimpa sesuatu janganlah berkata, “Andainya aku berbuat demikian tentu akan menjadi begini dan begitu.” Akan tetapi katakanlah, “Ini adalah takdir Allah SWT dan Allah sekehendaknya.” Sesungguhnya perkataan “andainya” (lau) hanya membukakan jalan bagi syaitan untuk berbuat sesuatu.” |
Jun 06, 2012 |
| 138 |
Menghidupkan 10 Malam Lailatul Qadar
Daripada Aisyah RA katanya, “Kebiasaan Rasulullah SAW apabila masuk sepuluh malam yang terakhir (malam yang kedua puluh satu hingga tiga puluh daripada bulan Ramadhan) baginda menghidupkan malam-malam tersebut , dan bersungguh dalam melakukan ibadat serta menjerut tali pinggangnya.” |
Jun 05, 2012 |
| 139 |
Konsep Syukur Rasulullah SAW
Daripada Aisyah RA: bahawa Nabi SAW bangun di waktu malam (bersembahyang) sehingga pecah-pecah kedua kakinya. Aku bertanya kepadanya, “Kenapa engkau lakukan ini wahai Rasulullah SAW? Sedangkan Allah SWT mengampunkan dosa engkau yang terdahulu dan yang terkemudian”. Jawab baginda, “Tidakkah aku suka menjadi seorang hamba yang sentiasa bersyukur?.” |
Jun 04, 2012 |
| 140 |
Dua Nikmat Kurniaan Allah
Daripada Abdullah bin Abas RA katanya, Rasullullah SAW bersabda, “Dua nikmat, banyak manusia rugi padanya (kerana mensia-siakannya) iaitu kesihatan dan kelapangan.” |
Jun 03, 2012 |





