Kurator Berita : Bahagian Dasar Kemajuan Islam

Multaqa Murabbi Ummah Peringkat Negeri Pulau Pinang telah dilaksanakan dengan jayanya pada 3 Mac 2018 bertempat di Dewan Sri Pinang, Lebuh Light, Pulau Pinang. Program ini adalah kolaborasi antara Jabatan Kemajuan Islam Malaysia dan Jabatan Agama Islam Negeri Pulau Pinang. Multaqa kali ini berjaya menghimpunkan hampir 1,200 orang peserta yang terdiri daripada Guru KAFA, Guru Takmir dan Ahli Jawatankuasa Masjid di sekitar negeri Pulau Pinang.

Multaqa dimulakan dengan taklimat mengenai Kursus Pensijilan Kemahiran Agama oleh Kolej Islam Teknologi Antarabangsa (KITAB), Majlis Agama Islam Negeri Pulau Pinang, diikuti dengan Penerangan Program 1 Masjid 1 Polis oleh Jabatan Pencegaran Jenayah dan Keselamatan Komuniti, Ibu Pejabat Polis Kontinjen Negeri Pulau Pinang serta sesi pengisian ilmiah Kepimpinan Murabbi Dalam Menyatupadu Ummah oleh Ustaz Ahmad Fauwaz bin Dato’ Haji Fadzil Noor.

YB Mejar Jeneral Dato' Seri Jamil Khir Bin Hj. Baharom (B), Menteri di Jabatan Perdana Menteri yang hadir mewakili Kerajaan Persekutuan menyentuh mengenai peranan dan tanggungjawab bersama semua pihak untuk melaksanakan tugas yang diamanahkan khususnya dalam pengurusan Hal Ehwal Islam bagi memastikan agama Islam dan kepentingan umat Islam di negara ini terus kukuh terpelihara.

Perasmian Penutupan Multaqa Murabbi Ummah Peringkat Negeri Pulau Pinang telah disempurnakan oleh T.Y.T Tun Dato’ Seri Utama (Dr.) Haji Abdul Rahman bin Haji Abbas, Yang di-Pertua Negeri Pulau Pinang. Turut hadir Y.B Dato’ Haji Mohd Rashid bin Hasnon, Timbalan Ketua Menteri 1 Pulau Pinang, S.S Dato’ Dr. Hj. Wan Salim bin Wan Mohd. Noor, Mufti Kerajaan Negeri Pulau Pinang, Tan Sri Dato' Haji Othman bin Mustapha, Ketua Pengarah Jakim serta pegawai-pegawai kanan dari Kerajaan Negeri dan Jakim.

Majlis turut menyaksikan penyampaian replika cek peruntukan Kerajaan Persekutuan bernilai RM27,194,844.00 untuk bayaran Imbuhan Imam, Elaun Guru Takmir dan Guru KAFA serta RM4,408,500.00 diperuntukkan bagi bayaran one-off tahun 2018 kepada imam, bilal, siak/noja/merbot, guru KAFA dan guru takmir Negeri Pulau Pinang.

 

MMU Penang 1 copy

MMU Penang 2 copy

MMU Penang 3

MMU Penang 4