Kurator Berita : Bahagian Pengurusan Halal

24 Ogos 2017 (2 Zulhijjah 1438H) Khamis, Putrajaya- Majlis Penyampaian Sijil Pengesahan Halal Malaysia Kepada Pengusaha Kecil dan Sederhana (IKS) Bumiputera Melalui Inisiatif Segera Pensijilan Halal Malaysia (ISPHM) telah diadakan di Pejabat Menteri, Aras 9, Blok A, Kompleks Islam Putrajaya (KIP).  Majlis penyampaian Sijil Pengesahan Halal Malaysia ini disempurnakan oleh  YB Mejar Jeneral Dato’ Seri Jamil Khir bin Hj Baharom (B), Menteri di Jabatan Perdana Menteri dan turut dihadiri oleh pihak industri khususnya industri kecil dan sederhana berstatus bumiputra yang memperoleh Sijil Pengesahan Halal Malaysia melalui Inisiatif Segera Pensijilan Halal Malaysia (ISPHM) yang diperkenalkan oleh JAKIM sejak bulan Jun 2017 yang lalu.

Matlamat utama majlis menjurus kepada hebahan berkenaan usaha dan komitmen JAKIM dalam membantu syarikat kecil dan sederhana khususnya dalam kalangan pengusaha bumiputera untuk memperoleh Sijil Pengesahan Halal Malaysia.  Ianya sejajar dengan hasrat kerajaan untuk meningkatkan penglibatan usahawan bumiputera dalam pembangunan ekonomi negara. Justeru, penambahbaikan dalam proses pensijilan halal Malaysia yang telah dilakukan seiring dengan perkembangan industri halal global serta manfaatnya untuk dinikmati oleh pihak industri halal. Ianya bukan sahaja memberi manfaat kepada industri bertaraf antarabangsa malahan pengusaha industri kecil dan sederhana khususnya di kalangan bumiputra turut jua menikmati faedah daripada inisiatif ini. Inisiatif Segera Pensijilan Halal Malaysia (ISPHM) yang diperkenalkan ini tidak menjejaskan tahap integriti dan kredibiliti yang diterapkan oleh pemegang Sijil Pengesahan Halal Malaysia serta Bahagian Hab Halal, JAKIM.

Melalui majlis ini, sebanyak 10 syarikat dalam kategori industri kecil dan sederhana (IKS) berstatus bumiputera telah memperoleh Sijil Pengesahan Halal Malaysia. Ianya sekaligus dapat menarik minat lebih ramai usahawan bumiputera untuk memohon Sijil Pengesahan Halal Malaysia. Dalam meningkatkan jumlah pemegang sijil halal di kalangan usahawan bumiputera, JAKIM turut bekerjasama dengan beberapa agensi kerajaan yang lain seperti RISDA dengan memberi pendedahan dan perkongsian berkenaan prosedur dan inisiatif serta kepentingan sijil halal khususnya dalam pemasaran produk  di peringkat tempatan dan antarabangsa. 

Justeru, Insiatif Segera Pensijilan Halal Malaysia (ISPHM) yang diperkenalkan oleh JAKIM ini bakal merancakkan lagi permohonan sijil halal di kalangan industri kecil dan sederhana khususnya bumiputera dan seterusnya melonjakkan lagi pensijilan halal Malaysia di persada antarabangsa.

ISPHM IKS 24082017 1

ISPHM IKS 24082017 2

ISPHM IKS 24082017 3

ISPHM IKS 24082017 4

ISPHM IKS 24082017 5

ISPHM IKS 24082017 6

ISPHM IKS 24082017 7