بسم الله الرحمن الرحيم
السلام عليكم ورحمة الله وبركة


Alhamdulillah, segala puji dan syukur dipanjatkan ke hadrat Allah SWT, selawat dan salam ke atas junjungan mulia Nabi Muhammad SAW, ahli keluarga serta para sahabat Baginda.

Bahagian Dasar Kemajuan Islam (BDKI) merupakan salah satu bahagian yang bertanggungjawab dalam hal ehwal dasar dan penyelarasan hal ehwal Islam di peringkat Persekutuan. Bahagian ini telah bertanggungjawab sebagai urus setia kepada badan-badan utama yang berfungsi sebagai pengubal dan penyelaras dasar hal ehwal Islam di Malaysia, iaitu Majlis Kebangsaan Bagi Hal Ehwal Agama Islam Malaysia (MKI) dan Persidangan Jawatankuasa Penyelarasan Pendidikan Islam Kebangsaan (JPPIK), berkenaan Pendidikan Agama Islam.

BDKI memainkan peranan penting dalam merangka, menyelaras dan memantau pelaksanaan Pelan Strategik JAKIM yang menjadi paksi utama kepada Pelan Tindakan. Pelan ini akan menjadi panduan dan rujukan utama dalam memantapkan pengurusan hal ehwal Islam serta merupakan instrumen pemantau utama bagi memastikan sistem penyampaian lebih efektif selaras dengan peredaran masa dan perubahan persekitaran. Pelan ini juga menjadi pemacu kepada keberhasilan pelaksanaan program dan kecemerlangan pengurusan hal ehwal Islam di Malaysia.

Justeru itu, bagi memastikan peranan dan tanggungjawab dalam kalangan warga BDKI dapat dilaksanakan dengan efisien, bahagian ini telah menggariskan visinya sebagai “Peneraju Penyelarasan Dasar Hal Ehwal Islam” dengan misi “Memperkukuhkan Tadbir Urus Pengurusan dan Penyelarasan Dasar Hal Ehwal Islam ke Arah Kemaslahatan Ummah”. BDKI akan memastikan bahawa setiap rangka kerja yang dilaksana mencapai objektifnya untuk memastikan penggubalan dan pelaksanaan dasar hal ehwal Islam adalah berteraskan maqasid syariah dan selaras dengan dasar negara.

Oleh yang demikian, segala fungsi, perancangan dan program berkaitan dengan pengurusan dan penyelarasan dasar hal ehwal Islam yang akan dilaksana diharapkan dapat menjayakan visi JAKIM sebagai ‘Peneraju Pengurusan Hal Ehwal Islam di Malaysia” serta berperanan sebagai agensi penyelaras hal ehwal Islam yang efektif dan efisien di Negara ini.

BDKI akan sentiasa memberikan komitmen yang tinggi dan berusaha dengan bersungguh-sungguh dalam melaksanakan segala amanah yang diberi. Semoga setiap usaha yang dilakukan akan sentiasa dipermudahkan dan dapat memberikan sumbangan yang besar kepada kesejahteraan ummah.

Sekian, terima kasih.



Pengarah Kanan
Bahagian Dasar Kemajuan Islam
Jabatan Kemajuan Islam Malaysia