Kurator Berita : Pejabat Ketua Pengarah, Unit Komunikasi Korporat
IPD PUTRAJAYA, 5 MEI 2021(RABU) : Jabatan Kemajuan Islam Malaysia (JAKIM) melalui Bahagian Dakwah dengan kerjasama Ibu Pejabat Polis Daerah Putrajaya telah mengadakan Program Ihya’ Ramadan Tautan Kasih Insan - Singgah Agihan Juadah Berbuka Puasa. Program ini bertujuan mengimarahkan Ramadan dengan menjadikan ziarah terutama kepada barisan hadapan yang memelihara kesejahteraan negara lebih-lebih lagi di saat Pandemik Covid-19 ini.
 
YB Senator Datuk Dr. Zulkifli bin Mohamad Al-Bakri, Menteri Di Jabatan Perdana Menteri (Hal Ehwal Agama) telah sudi meluangkan masa untuk hadir menyampaikan ucapan dan menyempurnakan acara simbolik penyerahan juadah berbuka puasa buat warga PDRM IPD Putrajaya kepada YDH ACP Haji Mohd Fadzil bin Ali, Ketua Polis Daerah Putrajaya. Dalam ucapannya, beliau merakamkan setinggi-tinggi penghargaan dan ucapan terima kasih kepada Ketua Polis Daerah Putrajaya dan warganya kerana sudi menerima kehadiran beliau. Ucapan terima kasih juga buat JAKIM melalui Bahagian Dakwah dan Masjid Tuanku Mizan Zainal Abidin kerana mempelbagaikan program ihya’ Ramadan dengan ziarah dan agihan. Beliau turut berterima kasih kepada rakan-rakan media dan semua yang terlibat dalam menjayakan program ini.
 
Destinasi IPD Putrajaya adalah salah satu dari 10 destinasi ziarah sebelum ini seperti Balai Bomba dan Penyelamat Presint 7, Institut Kanser Negara, RELA Putrajaya, Lembaga Lebuhraya Malaysia Kajang-Bangi, Putrajaya Central, Fakulti Pengajian Islam UKM, Sekolah Menengah Kebangsaan Presint 9 dan Maahad Tahfiz Anak Yatim Darul Fuqaha. Semoga program ini dapat menguatkan lagi hubungan kerjasama di antara JAKIM dengan lain-lain jabatan dan agensi pada masa-masa akan datang.
 
Hadir sama mengiringi YB Menteri, YBhg. Datuk Abdul Aziz bin Jusoh, Ketua Pengarah JAKIM. Turut hadir YBrs. Tuan Haji Aminudin bin Mohamad, menjalankan tugas Timbalan Ketua Pengarah (Operasi) JAKIM, Pegawai-pegawai Kanan JAKIM dan PDRM, warga PDRM IPD Putrajaya dan rakan-rakan media.
 
Ihya Ramadan Tautan Kasih Insan 1
 
Ihya Ramadan Tautan Kasih Insan 2
 
Ihya Ramadan Tautan Kasih Insan 3
 
Ihya Ramadan Tautan Kasih Insan 4
 
Ihya Ramadan Tautan Kasih Insan 5
 
Ihya Ramadan Tautan Kasih Insan 6
 
Ihya Ramadan Tautan Kasih Insan 7