jata negara small
 
KENYATAAN MEDIA
KETUA PENGARAH
JABATAN KEMAJUAN ISLAM MALAYSIA (JAKIM)
 
BERKENAAN
 
MUZAKARAH AHLI MAJLIS PENASIHAT SYARIAH INSTITUSI KEWANGAN DI MALAYSIA KALI KE-14
_________________________________________________________________________________
 
1. Jabatan Kemajuan Islam Malaysia menganjurkan Muzakarah Ahli Majlis Penasihat Syariah Institusi Kewangan di Malaysia pada 31 Oktober 2018 di Dewan Serbaguna, Kementerian Perdagangan Dalam Negeri dan Hal Ehwal Pengguna.
 
2. Muzakarah Ahli Majlis Penasihat Syariah Institusi Kewangan di Malaysia pada kali ini telah memasuki penganjuran Kali Ke-14 semenjak kali pertama penganjurannya pada tahun 2004.
 
3. Penganjuran muzakarah ini merupakan gabungan beberapa agensi berkepentingan dalam Muamalat dan Kewangan Islam yang terdiri daripada Bank Negara Malaysia (BNM), Suruhanjaya Sekuriti (SC), Persatuan Institusi-Institusi Perbankan Islam (AIBIM), Akademi Penyelidikan Antarabangsa Syariah Dalam Kewangan Islam (ISRA), dan Persatuan Penasihat Syariah bagi Kewangan Islam Malaysia (ASAS). Diamping itu, penganjuran pada kali ini turut melibatkan Permodalan Nasional Berhad (PNB) dan Juga Bank Islam Malaysia Berhad (BIMB) sebagai rakan kerjasama strategik.
 
4. Penganjuran Muzakarah ini telah menggariskan beberapa objektif sebagaimana berikut:-
  1. Meningkatkan kerjasama dan penyelarasan di peringkat kebangsaan dalam bidang Syariah dan mencapai harmonisasi Syariah dalam sektor kewangan Islam;
  2. Membincangkan tajuk-tajuk terpilih berkaitan isu-isu Syariah yang relevan dalam kewangan Islam di peringkat kebangsaan dan antarabangsa serta berkongsi ilmu dan pengalaman dalam mencari penyelesaian terhadap isu-isu Syariah tersebut;
  3. Mendapatkan cadangan dan pandangan, strategi-strategi berkesan serta pandangan bernas dan realistik sebagai input dalam usaha JAKIM membantu negara untuk muncul sebagai pusat kewangan Islam di peringkat antarabangsa.
     
5. Pelaksanaan Muzakarah pada kali ini bertemakan “PEMATUHAN SYARIAH MENDEPANI INOVASI KEWANGAN GLOBAL”. Manakala tajuk perbincangan utamanya adalah berkisar kepada 2 isu utama iaitu Penerapan Pengantaraan Berasaskan Nilai atau Value Based Intermediation dalam produk kewangan serta Isu-isu terkini dalam transaksi perniagaan secara atas talian seperti Viral Marketing.
 
6. Perbincangan bagi muzakarah kali ini akan melibatkan empat (4) pembentangan kertas kerja iaitu:
 
PEMBENTANGAN KERTAS KERJA PERTAMA
Tajuk: Value-Based Intermediation (VBI): Pelaksanaan VBI oleh Institusi Kewangan Islam
Oleh: YBrs. Dr. Shamsiah binti Abd. Karim
Pengurus Bahagian Syariah dan Pembangunan Produk, Bank Muamalat Malaysia Berhad (BMMB)
 
PEMBENTANGAN KERTAS KERJA KEDUA
Tajuk: Value-Based Intermediation (VBI) Dari Sudut Pandang Syariah Oleh: YBrs. Prof Dr. Engku Rabiah Adawiah binti Engku Ali
Ketua Program Ph.D, Institut Perbankan dan Kewangan Islam, Universiti Islam Antarabangsa Malaysia (UIAM)
 
PEMBENTANGAN KERTAS KERJA KETIGA
Tajuk: Isu Viral Marketing & Paid Review Dalam Pemasaran Internet:Analisis Syarak
Oleh : YBrs. Dr. Ahmad Sufian bin Che Abdullah
Pensyarah Kanan, Jabatan Syariah dan Pengurusan
Universiti Malaya (UM)
 
PEMBENTANGAN KERTAS KERJA KEEMPAT
Tajuk: Pengawalseliaan dan Penguatkuasaan Berkaitan Perniagaan Secara Atas Talian dan Dropship
Oleh: YBrs. Tuan Ridzuan bin Kamis
Pegawai Penguatkuasa,
Kementerian Perdagangan Dalam Negeri dan Hal Ehwal Pengguna (KPDNHEP)
 
7. Inisiatif Pengantaraan Berasaskan Nilai atau VBI telah diperkenalkan oleh Bank Negara Malaysia ke atas produk perbankan Islam bagi memastikan setiap produk yang ditawarkan oleh Institusi Perbankan Islam dapat memberikan kesan dan nilai positif ke atas kelestarian alam sekitar, sosial dan masyarakat disamping nilai ekonomi yang sedia wujud dalam penawaran sesebuah produk.
 
8. Inisiatif yang diperkenalkan ini adalah selaras dengan Sustainable Development Goals atau Matlamat Pembangunan Lestari yang diperakukan semasa Sidangan Kemuncak Bangsa-bangsa Bersatu mengenai Pembangunan Lestari (UN Sustainable Development Summit) berlangsung di New York pada 25-27 September 2015. Agenda ini bukan hanya agenda menjaga kelestarian alam sekitar sahaja sebaliknya menekankan kesejahteraan komuniti dan pertumbuhan ekonomi menyeluruh.
 
9. Manakala bagi isu perniagaan atas talian pula, testimoni dan perakuan pelanggan ke atas sesuatu produk jualan sangat mempengaruhi pelanggan bahkan ia boleh menjadi pelengkap kepada syarat-syarat akad dalam muamalat Islam. Dalam transaksi muamalat Islam, maklumat dan ketelusan urus niaga sangat penting kerana ia menjadi asas kepada kesahihan sesuatu akad yang bebas daripada unsur-unsur yang tidak patuh syariah.
 
10. Justeru adalah penting untuk ahli muzakarah yang terdiri daripada pakar rujuk syariah untuk menilai sejauh mana konsep viral marketing dan kaedah paid reviews yang biasa diguna pakai oleh penjual dalam talian tidak melampaui ruang-ruang yang diharamkan oleh Syariah serta mengemukakan cadangan yang boleh dijadikan panduan dan parameter yang sewajarnya diikuti dalam pemasaran secara atas talian ini untuk memastikan kedua-dua kaedah ini bertepatan dengan hukum Syariah.
 
11. Selain itu, Muzakarah ini diharap dapat mengharmonikan pandangan-pandangan dikalangan Ahli Jawatankuasa Penasihat Syariah dari pelbagai latar belakang institusi kewangan di samping mewujudkan penyelarasan dalam perbincangan mengenai isu yang diketengahkan.
 
12. Sehubungan itu, saya memohon jasa baik pihak media untuk membuat hebahan dan liputan bagi penganjuran program ini.
 
Sekian
 
DATUK MOHAMAD NORDIN BIN IBRAHIM
Ketua Pengarah
Jabatan Kemajuan Islam Malaysia
Kompleks Islam Putrajaya
22 Safar 1440H
31 Oktober 2018M