Kurator Berita : Bahagian Pengurusan Halal

PUTRAJAYA - Usahawan Kecil dan Sederhana (SME) di Malaysia digalakkan untuk meneroka ruang dan peluang sedia ada melalui pensijilan halal Malaysia bagi membantu perusahaan mereka melonjak dengan lebih meluas ke pasaran antarabangsa.

Mohd Fakarudin bin Mas’od, Ketua Penolong Pengarah, Bahagian Pengurusan Halal, Jabatan Kemajuan Islam Malaysia (JAKIM) berkata sekiranya sijil pengesahan halal diberikan maka, ia menjadi satu kelebihan kepada pemain industri tersebut untuk melebarkan sayap bukan sahaja di arena nasional malah lebih jauh lagi ke pasaran antarabangsa. Perkara ini secara tidak langsung dapat melonjak kapasiti pengeluaran industri SME agar produk atau perkhidmatan yang dihasilkan boleh diterima sehingga ke pasaran global.

Realitinya, pensijilan halal Malaysia adalah pemacu utama kejayaan dan perkembangan pesat industri halal Malaysia. Pencapaian ini membuktikan bahawa usaha proaktif kerajaan Malaysia untuk merealisasikan harapan menjadikan negara ini sebagai Hab Halal Global boleh menjadi realiti.

Memberi respon kepada situasi yang digambarkan tersebut, Mohd Fakarudin berkata, “JAKIM amat menitikberatkan aspek keseragaman melalui pembangunan Manual Prosedur Pensijilan Halal Malaysia agar ia selari dan menepati kehendak Standard Halal Malaysia."

“Ini penting kerana ia menjadi satu panduan atau penanda aras yang boleh dipenuhi oleh industri secara kolektif”, tambah beliau ketika memberi respon kepada soalan yang dilontarkan oleh panel Webinar di Ambank’s BizConference bagi sesi Halal Quest pada 17 Julai lepas.

Sehingga kini, 8 skim Sijil Pengesahan Halal Malaysia telah ditawarkan bagi melengkapkan keseluruhan rantaian halal Malaysia. Ia dihasratkan sebagai mewujudkan ekosistem halal yang lebih komprehensif untuk dilengkapkan oleh penggiat industri bagi manfaat pengguna.

JAKIM menyokong segala inisiatif yang disediakan oleh pihak agensi, kementerian atau mana-mana pihak untuk membantu mempergiat usaha melestarikan pensijilan halal Malaysia dalam sektor-sektor industri yang pelbagai. Kerjasama yang diterima oleh pihak industri ini mampu meletakkan jenama Halal Malaysia lebih kukuh dalam negara dan di persada dunia.

Perkongsian yang diadakan semalam merupakan sesi pertama yang disertai oleh panelis daripada JAKIM dan sesi berikutnya JAKIM serta Jabatan Agama Islam Negeri tidak akan melepaskan peluang dengan membariskan 8 orang panel yang berpengalaman dalam bidang pensijilan halal Malaysia sebagai satu usaha membantu usahawan SME dan meneruskan kerjasama bersepadu dalam menjayakan program tersebut.

#YakiniHalalMalaysia
#HalalConnectingTheWorld
#HalalMalaysiaHaveFaith
#StayAtHome
#MusaadahCovid19
#AgainstCovid19AMBANK SME 1AMBANK SME 2AMBANK SME 3AMBANK SME 4AMBANK SME 5AMBANK SME 6AMBANK SME 7