GOOD AGRICULTURAL PRACTICES SUIT THE CONCEPT OF ISLAM HADHARI By: Mohd. Zamir bin Bahall, Jakim

AMALAN PERTANIAN BAIK MENEPATI KONSEP ISLAM HADHARI

Oleh: Mohd. Zamir bin Bahall, Jakim

Majalah Sinar Rohani Keluaran 2007
 
Pembangunan berteraskan konsep Islam Hadhari yang diperkenalkan oleh Perdana Menteri Malaysia merupakan pendekatan terbaik pada masa kini yang menepati kepentingan negara, keperluan rakyat dan memenuhi aspirasi nasional.
 
Lantaran itu, sepuluh prinsip Islam Hadhari telah dijadikan intipati dalam setiap projek pembangunan negara iaitu keimanan dan ketakwaan kepada Ilahi; kerajaan yang adil dan beramanah; rakyat berjiwa merdeka; penguasaan ilmu pengetahuan; pembangunan ekonomi seimbang dan komprehensif; kehidupan berkualiti; pembelaan hak kumpulan minoriti dan wanita; keutuhan budaya dan moral; pemeliharaan alam semulajadi dan kekuatan pertahanan.
 
Sektor pertanian yang merupakan sektor ketiga terpenting negara turut tidak terkecuali mengaplikasikan konsep Islam Hadhari dalam setiap program dan perancangan. Amalan Pertanian Baik (APB) yang dilancarkan baru-baru ini jelas memperlihatkan tahap kesungguhan dan keprihatinan kerajaan dalam menjayakan mana-mana sektor ekonomi yang berdaya maju, berorientasi membela rakyat dan yang dapat menjana kekuatan negara menghadapi cabaran masa depan. Ini menunjukkan mandat dan kepercayaan rakyat telah dijalankan dengan penuh amanah, adil dan saksama.
 
Namun, program APB ini tidak akan berjaya tanpa penyertaan aktif di kalangan rakyat khususnya mereka yang terlibat secara langsung. Sehubungan itu, setiap pihak yang terlibat perlulah menimba ilmu pengetahuan dan mempunyai naluri yang kuat untuk memperbaiki kualiti hidup ke arah yang lebih baik dan selesa.
 
Kejayaan APB amat bergantung kepada tahap persediaan dan penambahan ilmu setiap pengamalnya terutama yang melibatkan teknik terkini, kaedah terbaik, teknologi canggih dan penggunaan sumber secara cekap lagi efisien sehingga mampu menghasilkan produk berkualiti tinggi dan berdaya saing. APB perlu disambut oleh pengamalnya dengan kesediaan mempelajari ilmu dan kemahiran baru. Hanya dengan ilmu, produk sasaran APB dapat ditingkatkan berlipat kaliganda dengan penjimatan pintar dari sudut tenaga, modal, masa, sumber dan aset pada tahap yang optimum.
 
Oleh itu, peluang-peluang yang tersedia bagi mempertingkatkan ilmu pengetahuan dan kemahiran perlu direbut, dicari dan dimanfaatkan agar sektor pertanian negara tidak terus ketinggalan dalam arus persaingan dunia global yang amat mementingkan kualiti, akauntibiliti, mesra pengguna, ekonomik, selamat dan memiliki nilai tambah.
 
Sesungguhnya garis panduan APB adalah hasil daya usaha berterusan pihak kerajaan dalam membangunkan industri pertanian menjadi lebih produktif, berpotensi tinggi, maju dan menarik. Mengimbau sejarah negara, usaha sebegini mula diberi perhatian serius apabila Persidangan Pertanian Malaya yang pertama diadakan pada 25 April 1917 yang disertai Jabatan Pertanian dan Persatuan Penanam-penanam Malaya yang terdiri daripada para pengurus ladang Negeri-negeri Melayu Bersekutu.
 
Persidangan yang dipengerusikan oleh L.Lowbon Brain, Pengarah Jabatan Pertanian ketika itu, telah membincangkan hasil penyelidikan yang dibuat dari tahun 1910 hingga 1916 berkenaan penanaman getah, kelapa sawit dan projek kediaman pekerja. Ia merangkumi teknik-teknik terbaru, memperkenalkan baja dan benih baka terbaik, mempertingkatkan tahap kebersihan ladang dan kediaman pekerja, jaminan kesihatan pekerja serta tanaman dan ekonomi sampingan.
 
Kini menerusi program APB, aspek perancangan, pembangunan aset, pengurusan sumber dan pemasaran menjadi lebih tersusun, berencana, sistematik, efisien dan menepati piawaian kualiti. Matlamat akhirnya adalah menjadikan sektor pertanian sebagai kerjaya pilihan yang menguntungkan sama ada kepada para pengusaha mahupun pihak kerajaan dan bukan lagi sektor pinggiran, bertaraf kelas dua apatah lagi pilihan kerjaya terakhir.
 
Tiada sebab APB dipandang sepi kerana selain ia mempertingkatkan produk pertanian menjadi lebih berkualiti, selamat dan berdaya maju, ia turut menjanjikan pulangan jangka panjang. Ini kerana kelebihan memiliki kualiti piawaian bertaraf antarabangsa berupaya memenuhi permintaan dan seterusnya menguasai pasaran baik di peringkat domestik mahupun luar negara pada masa hadapan.
 
APB meletakkan para pengusaha dan pengamalnya pada landasan yang tepat menjadi penggerak ekonomi negara dan pelopor generasi baru menghasilkan produk pertanian berkualiti tinggi, terjamin dan mesra alam. Pulangannya bukan sahaja dalam bentuk wang ringgit dan peningkatan kuasa beli, bahkan merapatkan jurang ekonomi segenap lapisan masyarakat khususnya warga tani, penternak, peladang dan pengusaha.
 
Ini seterusnya meningkatkan kualiti hidup menjadi lebih baik, sempurna, selesa dan makmur. Program APB juga berupaya menjadi salah satu wadah membentuk jatidiri masyarakat menjadi lebih yakin dengan kemampuan sendiri, berani bersaing, semangat ingin maju, sanggup menerima perubahan dan berdikari.
 
Selama ini sering berlaku pasang-surut hubungan antara pengusaha, pembekal, peniaga dan pembeli disebabkan dakwaan wujudnya manipulasi harga, kekurangan bekalan, produk tercemar, pemulauan, boikot dan seumpamanya. Namun menerusi APB, banyak cabaran dan halangan sedemikian dapat diatasi kerana produk pertaniannya lebih berkualiti, selamat dan berpotensi tinggi yang menguntungkan semua pihak. Tambahan pula, produk biopertanian yang menjadi keutamaan pada masakini bakal menguasai pasaran sedikit masa lagi.
 
Melaksanakan APB perlulah mengikut garis panduannya yang betul, penuh komitmen, konsisten, sabar dan berilmu. Tanpa elemen sebegini, program APB akan menjadi sia-sia, lari dari objektif asal, membazir, gagal dan hanya merugikan masa, tenaga, aset dan wang ringgit. Lantaran itu, skim pensijilan APB yang merangkumi pemeriksaan, pemantauan dan penilaian amatlah tepat pada masanya dan langkah yang amat baik sekali. Ini bagi mengelakkan sebarang anasir yang boleh menganggu, menjejaskan seterusnya menggagalkan Skim APB daripada menjadi pemangkin kepada kemajuan industri pertanian alaf baru.
 
Program skim pensijilan APB iaitu Skim Amalan Ladang Baik Malaysia, Skim Amalan Ladang Ternakan dan Skim Pensijilan Ladang Akuakultur Malaysia seharusnya menjadi kayu ukur dalam menilai sebarang produk sektor pertanian pada masa akan datang. Ia juga sewajarnya menjadi pilihan utama para pengusaha dan pengguna memandangkan pengiktirafan yang diberi mencerminkan setiap produk tersebut telah melepasi semua tahap pemeriksaan yang ketat, telus dan menepati piawaian kualiti.
 
Di samping itu, pemakaian sijil dan logo skim pensijilan APB ke atas setiap produk sektor pertanian bukan sahaja menjamin ia selamat, mesra alam dan berkualiti tinggi, malahan satu penjenamaan semula terhadap semua produk pertanian negara. Ini penting sebagai langkah awal meletakkan produk pertanian negara di persada dunia sehingga mampu bersaing dalam pasaran antarabangsa yang lebih luas, kompetitif dan mencabar. Tanpa jaminan kualiti, selamat dan mesra alam, lebih banyak peluang yang akan terlepas begitu sahaja sedangkan pasaran dunia menyaksikan masih banyak ruang untuk diisi dan direbut.
 
Sudah tiba masanya Malaysia mengorak langkah menjadi ‘pemain’ yang aktif dalam pasaran global produk pertanian dan tidak mustahil suatu masa nanti negara ini bakal menjadi pencorak dan penentu arah aliran perdagangan antarabangsa. Ia pasti menjadi kenyataan asalkan semua pihak bersama-sama menjayakan setiap program kerajaan dengan tekun, sabar, berilmu dan yakin diri. Kesemua formula ini terkandung dalam konsep Islam Hadhari yang kini menjadi teras kepada pembangunan sektor pertanian negara ke arah mencapai Wawasan 2020 pada tahap yang cemerlang, gemilang dan terbilang.