Hari Kebangsaan Malaysia Ke-49 Di Kedutaan Besar Malaysia Di Jakarta, Indonesia

Masyarakat Malaysia di Jakarta yang terdiri daripada pegawai dan kakitangan yang bertugas diKedutaan Besar Malaysia Jakarta, pegawai-pegawai dari syarikat swasta, penuntut Malaysia serta tetamu jemputan telah berkumpul beramai-ramai memenuhi kawasan lapang di Kedutaan Besar Malaysia di Jakarta dalam rangka menjayakan upacara menaikkan Jalur Gemilang sempena sambutan Hari Kemerdekaan ke-49 Tahun 2006.

Upacara tersebut telah diketuai oleh TYT Dato' Zainal Abidin Bin Mahamad Zin, Duta Besar Malaysia di Jakarta.Upacara dimulakan dengan menaikkan Jalur Gemilang serta diikuti dengan nyanyian lagu Negaraku, bacaan Ikrar serta diakhiri dengan bacaan Doa' Selamat yang telah dipimpin oleh Atase Agama Kedutaan iaitu Ustaz Tuan Ismail Bin Tuan Abdullah.

Majlis telah dihadiri seramai 400 orang tetamu, membuktikan semangat rakyat Malaysia cintakan tanahair begitu tinggi walaupun berada di perantauan.

Seterusnya satu Majlis Bacaan Yassin, Tahlil dan Doa' Selamat telah diadakan di Masjid As-Salam pada malam 31 Ogos 2006. Manakala satu majlis resepsi khas telah diadakan pada keesokkan harinya dengan mendapat sambutan begitu menggalakkan .

Dianggarkan seramai 1000 orang tetamu termasuk beberapa menteri dan wakil menteri dari Kabinet Indonesia Bersatu, wakil Pertubuhan Sosial dan Keagamaan Indonesia, serta masyarakat Malaysia di Indonesia hadir.