Independence Sexuality, Collapsed at the Gate of Lust
Seksualiti Merdeka , Tersungkur Di pintu Nafsu
Datuk Dr Masitah Ibrahim
Timbalan Menteri di Jabatan Perdana Menteri.
Reaksi awam mengenai program Seksualiti Merdeka akhirnya reda apabila Polis Diraja Malaysia mengeluarkan kenyataan perhimpunan tersebut adalah haram pada hari Khamis lalu dan pada hari Sabtu penganjurnya membuat kenyatakan membatalkannya walaupun perjumpaan yang sama telah berjaya dilaksanakan pada tahun 2008.
Pengharaman itu kerana ia bertentangan dengan undang-undang negara, tetapi ada sedikit keraguan dalam kalangan pendokong apabila melihat tegahan tersebut sebagai tidak menghormati kebebasan individu sehingga ada andaian bahawa homoseksualiti adalah sesuatu yang lumrah dalam kehidupan manusia.
Pandangan itu sebenarnya adalah sebuah premis yang keliru, kerana seorang peguam menulis dengan nada menyindirnya sebagai sesuatu yang tidak sepatutnya dijadikan isu kerana masalah rasuah adalah lebih serius berbanding kerosakan budaya yang dikaitkan dengan golongan yang celaru dan hilang jati diri itu.
Menurut pandangan peguam yang memperjuangkan kebebasan itu, “kita mudah untuk mengharamkan dan menghalalkan sesuatu tanpa berfikir panjang dan mengambilkira situasi dan keadaan semasa. Jika ia tidak halal pasti ianya haram dan begitulah sebaliknya. Ketahuilah Islam lebih luas dari masjid dan surau kita.”(Afiq M Noor, Catatan Ringkas: Islam dan Homoseksualiti, Malaysiakini, 5 November 2011).
Alasan beliau adalah mudah, kerana Islam merupakan agama yang diasaskan prinsip kasih sayang, maka mengharamkan homoseksualiti itu adalah sesuatu yang tidak wajar kerana ia boleh mengaibkan mereka yang memangnya dilahirkan secara tabienya begitu.
Kesimpulan sedemikian sebenarnya menggunakan premis yang salah, tidak melihat bahawa Islam dengan jelasnya menentang sebarang bentuk maksiat, termasuk berzina apatah lagi hubungan seks sejenis, berdasarkan gambaran al-Qur’an mengenai kisah manusia di zaman Nabi Luth a.s. dan peraturan-peraturan dalam pergaulan antara muhrim dan bukan muhrim.
Memang benar al-Qur’an bukanlah sebuah kitab hukum kerana daripada sejumlah lebih 6,000 ayat yang ada, hanyalah sekitar 81 ayat merupakan ayat-ayat hukum yang kemudiannya dilembagakan sebagai perimbangan haram dan halal. Maka, disebabkan zina itu termasuk dosa besar, ia telah dijelaskan dengan begitu terang, bahawa seseorang yang berzina itu perlu dihukum termasuk rejam sampai mati.
Natijah peguam tersebut amat mudah kerana menganggap pengharaman dan kemarahan umat Islam terhadap Seksualiti Merdeka hanyalah sebuah petunjuk yang tidak menghormati tabie, kerana homoseksual itu adalah sesuatu yang semula jadi. Benarkah pandangan itu?
Allah SWT menjadikan manusia sebaik-baik kejadian dalam keadaan berpasangan-pasangan, iaitu lelaki dan wanita. Dari segi fitrahnya sudah jelas, tidak ada lelaki separuh dan separuh lagi wanita. Ini bermakna secara fizikal, seseorang lelaki adalah mereka yang mempunyai alat kelamin yang berlainan dengan wanita.
Naluri yang bersarang dalam diri seorang lelaki setengah masak, ialah dari sudut fizikalnya cukup sifat sebagai lelaki, tetapi psikologinya bersifat keperempuanan. Bagaimana ia boleh berlaku, apakah ia merupakan kesalahan genetik atau pembawaan diri yang disokong oleh persekitaran budaya?
Secara saintifiknya, ada pemerhatian ilmiah dibuat ke atas mereka yang termasuk dalam kategori ketiga atau keempat (lesbian dan gay, maknyah atau pondan dan bapok atau khunsa). Lesbian asalnya diambil dari nama sebuah pulau iaitu Lesbos, yang terletak di tengah-tengah Laut Aegen. Pulau tersebut hanya dihuni oleh wanita.Sesiapa yang lahir di situ, di akhir namanya diletakkan nama Lesbos, dan dari situlah penghuninya dipanggil lesbian.
Konsep itu kemudiannya berkembang menjadi jalinan seks sesama wanita termasuk ketertarikan seks. Perlakuan ini turut mempengaruhi naluri sehingga tidak melihat bahawa keperluan untuk hidup adalah atas dasar hubungan sepasang manusia yang kelainan jantina. Ini mungkin disebabkan oleh tekanan persekitaran yang akhirnya mempengaruhi kecenderungan otak sehingga memberikan kesimpulan bahawa lelaki adalah pasangan yang banyak mendatangkan kesan negatif.
Istilah gay pula merujuk kepada tabiat atau perlakuan seks sejenis yang diamalkan oleh lelaki. Istilah gay pada awalnya bermaksud “ceria”, “gembira” atau “terang” akhirnya disebabkan adanya perasaan sesama lelaki dianggap sebagai sesuatu yang menggembirakan, ia bertukar kepada perlakuan seks atau ketertarikan seks sesama lelaki.
Istilan ini sebenarnya merupakan dua struktur yang dikhaskan untuk menggambarkan orientasi seksual seseorang dalam sifat dan jenis homoseksual. Istilah homoseksual pertama kali diperkenalkan oleh seorang penulis keturunan Austria, Karl-Maria Kertbeny dalam sebuah risalah yang diterbitkan di Jerman pada tahun 1869. Homoseksual merupakan gabungan dua perkataan Yunani, iaitu homo yang bermaksud “sama” dan seks yang bereti seks.
Berdasarkan pengalaman sejarah kuno, Charlotte Higgins dalam buku It’s All Greek to Me (2008), perilaku homoseksual sudah pun berlaku dalam negara polis iaitu Sparta. Pada waktu itu, lelaki diwajibkan menjalani kerahan tenaga dan sepanjang tempoh tersebut, mereka tidak dibenarkan berkahwin. Dalam situasi itulah perilaku ketertarikan seks sesama jantina terjadi. Ia berbeza dengan Athens, yang mengamalkan prinsip kebebasan.
Di negara Athens, perlakuan seks sesama jantina sukar dikesan, kerana mereka mengamalkan kehidupan yang bebas, iaitu seseorang bebas memilih pasangannya yang kelainan jantina. Mereka mementingkan prinsip kebebasan, kerana boleh memiliki seberapa ramai wanita asalkan pemilikan tersebut tidak berdasarkan paksaan.
Menerusi gabungan dua perspektif itulah kemudiannya homoseksual itu dilihat sebagai perlakuan seks sesama jantina dengan syarat dilakukan bukan dalam keadaan terpaksa. Prinsip ini kemudiannya berkembang hingga ke hari ini, dan dijadikan asas untuk mendesak undang-undang sesebuah negara agar menghalalkan perkahwinan sesame jenis. Jika undang-undang tidak dapat mengesahkannya, mereka akan tetap melakukannya secara senyap, berselindung menerusi kelab-kelab eksklusif atau pertunjukan paper doll dan sebagainya.
Berdasarkan kajian saintifik, faktor genetik bukanlah penyebab utama lahirnya pengamal homoseksual. Ia berkaitan rapat dengan persekitaran hormon yang dihasilkan oleh badan seseorang sehingga boleh mengawal struktur otak. Misalnya kajian Simon LeVay pada tahun 1991, kelompok kecil neuron pada anterior hypothalamus mengawal tabiat seksual dua kali ganda pada imbasan otak homoseksual berbanding mereka yang mengamalkan seks kelainan jantina.
Dean Hamer pula dalam kajiannya pada tahun 1993 mendapati pengamal homoseksual cenderung berkongsi kromoson Xq28, manakala pasangan normal bergantung kepada feromon dan senyawa kimia bernama oksitosin. Oksitosin menjadi pengikat kasih sayang yang berkekalan dalam hubungan suami isteri dan seterusnya melahirkan kebahagiaan sebuah keluarga.
Ekoran berkembangnya fahaman kebebasan, orientasi seks sejenis dijelmakan melalui pelbagai tulisan erotic yang dihasilkan oleh penulis-penulis yang merasakan dirinya tertekan oleh persekitaran lazim, kerana menganggap kelaziman itu sesuatu yang amat membosankan. Dalam analisis Christopher Bram, Mapping the Territory (2009), “The flowering of gay and lesbian writing has been astounding, in an literary explosion that is positively uncanny in an age that many critics consider postliterate” yang berlaku dengan hebatnya dalam tahun-tahun 1970-an.
Dalam tempoh tersebut, beberapa buah universiti di Amerika Syarikat memulakan pengajian dalam bidang budaya gay dan lesbian manakala Universiti Harvard memulakannya sebagai salah satu pengkhususan dalam bidang sosiologi dan psikologi pada akhir tahun 1990-an. Keadaan itulah akhirnya memaksa kerajaan mula membuat penelitian semula mengenai kedudukan undang-undang sehinggalah ia dibenarkan upacara perkahwinan sejenis secara meluas pada pertengahan tahuan 2011.
Sebelum itu, Britain turut memberikan kelonggaran pasangan sejenis berkahwin dan pada tahun 2010, Iceland meluluskan undang-undang perkahwinan sejenis manakala Perdana Menteri wanita pertama negara itu menjadi pasangan lesbian pertama di dunia yang berkahwin secara sah. Sebelumnya, perkahwinan sejenis hanya berlaku dalam kalangan lelaki.
Islam melarang keras perkahwinan sejenis berdasarkan ayat 80 surah al-Araf: “Dan Nabi Lut juga (Kami utuskan). Ingatlah ketika ia berkata kepada kaumnya: `Patutkah kamu melakukan perbuatan yang keji, yang tidak pernah dilakukan oleh seorang pun dari penduduk alam ini sebelum kamu? Kemudianya, Allah menyambungnya dalam ayat ke-81: “Sesungguhnya kamu mendatangi lelaki untuk memuaskan nafsu syahwat kamu dan meninggalkan perempuan, bahkan kamu ini adalah kaum yang melampaui batas.Seharusnya peguam yang mendakwa pejuang kebebasan itu meneliti dengan mendalam pengkisahan yang berlaku pada zaman Nabi Luth a.s. sebelum membuat kesimpulan berdasarkan perspektif yang terkeluar daripada al-Qur’an yang dianggapnya bukan sebagai kitab hukum.
Berdasarkan kepada kutukan itulah Islam tetap mengharamkan perkahwinan sejenis, maka pandangan seorang peguam yang bersalutkan fahaman kebebasan melampau itu adalah tidak tepat apabila menganggap homoseksual adalah sesuatu yang lumrah dalam kehidupan. Islam tidak memandangnya sebagai lumrah, kerana ia adalah suatu cirri zina dan menghina prinsip kemanusiaan itu sendiri.
Homoseksual sebenarnya disumbangkan oleh persekitaran kekeluargaan, di mana seseorang itu pernah mengalami trauma dikasri oleh anggota keluarga sendiri akhirnya menyebabkan rasa benci kepada kelainan jantina. Predominan dalam pemilihan identiti itu juga berlaku dalam persekitaran perhubungan kekeluargaan yang renggang.
Tabiat pergaulan dan persekitaran menjadi faktor terbesar menyumbang kepada kecelaruan identity di mana salah seorang anggota keluarga tidak menunjukkan kasih sayang dan sikap ibu bapa yang merasakan penjelasan mengenai seks adalah sesuatu yang taboo untuk diketahui oleh anak-anak.Melalui pengamatan psikologi, homoseksual berlaku melalui pengalaman seperti kompleksiti hidup dan bukannya bawaan sejak lahir.
Secara jelasnya, faktor pergaulanlah yang amat besar mempengaruhi perilaku seksual dalam kalangan mereka yang kehilangan jatidiri dan kecelaruan psikologi, maka itulah telah menyumbang kepada kurang keyakinan diri terhadap keupayaan seks.
Ketidakupayaan seks itulah akhirnya mengawal otak dan membawa kepada tindak balas erotik yang pasif. Inilah sebenarnya merupakan kelemahan dan kompleksiti rendah diri kalangan mereka yang hidup dalam kecelaruan jantina dan aktiviti homoseksual secara berterusan.
Maka, kerana homoseksual itu berada di tahap kerosakan proses regenerasi, pembudayaan moral, kehidupan bermasyarakat dan agama, maka sebarang percubaan untuk mendesak pindaan peraturan yang menghalang perkahwinan sejenis mendapat kecaman meluas, masyarakat Malaysia masih boleh memikirkan secara jelas dan matang, budaya sedemikian adalah satu strategi untuk melunturkan keyakinan beragama dan merosakkan negara.
Tindakan polis mengharamkan perhimpunan tersebut amat wajar manakala desakan meluas masyarakat dan pertubuhan-pertubuhan bukan kerajaan untuk dikenakan tindakan tegas kepada penganjur atau pendokongnya bukanlah sesuatu yang bertentangan dengan prinsip kebebasan individu. Mereka sebenarnya ingin memugarkan hakikat kebebasan individu agar kehidupannya lebih beradab dan bermoral.
- Hits : 300





