Kenyataan JAKIM berkenaan Pertemuan Bersama Mantan Pegawai San Warga Yang Berkhidmat Lebih 25 Tahun di JAKIM

 
 
 
 
 
 
KENYATAAN MEDIA
 
JABATAN KEMAJUAN ISLAM MALAYSIA(JAKIM)
 
BERKENAAN
 
JAKIM ANJUR PERTEMUAN BERSAMA MANTAN PEGAWAI DAN WARGA YANG BERKHIDMAT LEBIH 25 TAHUN DI JAKIM
 
Sukacita dimaklumkan bahawa Jabatan Kemajuan Islam Malaysia (JAKIM) bersama Persatuan Kakitangan Perkhidmatan Ugama (PKPU), JAKIM akan menganjurkan MAJLIS HI-TEA MERAIKAN 25 TAHUN PERKHIDMATAN KAKITANGAN DI JAKIMDAN MANTAN PEGAWAI JAKIM pada 11 FEBRUARI 2011 (Jumaat). Majlis akan bermula pada  jam 3.00 petang bertempat di Restoran D’Tasik, Universiti Tenaga Nasional (UNITEN), Bangi.
 
Tujuan penganjuran majlis seumpama ini adalah bagi menghargai jasa dan sumbangan warga JAKIM yang telah berkhidmat selama atau lebih 25 tahun di JAKIM sejak era penubuhan Bahagian Hal Ehwal Ugama Islam (BAHEIS), Jabatan Perdana Menteri sebelum dinaik taraf menjadi Jabatan.
 
Selain itu, JAKIM juga turut menjemput  mantan warga JAKIM yang pernah sama-sama memberi khidmat di JAKIM serta menjulang nama JAKIM suatu ketika dahulu tanpa mengira latar belakang ideologi politik serta skim perkhidmatan mereka. Antara mantan pegawai JAKIM yang menjadi tokoh dalam masyarakat pada hari ini dan dijemput hadir ialah Tuan Haji Yunus Lahadi, Y.Bhg. Tan Sri Dato’ Dr. Abdul Hamid bin Othman, Y.Bhg. Datuk Zainal Abidin Abd Kadir, Y.Bhg. Brig. Jen. Dato’ Seri Abdul Hamid Zainal Abidin, Y.Bhg. Dato’ Mustafa Abd. Rahman yang pernah menjawat jawatan Ketua Pengarah JAKIM sebelum ini.
 
Tokoh-tokoh lain seperti Y.Bhg. Tan Sri Abd. Kadir Talib, Y.Bhg. Datuk Haji Che Min Che Ahmad, Y.Bhg. Datuk Mohd. Amin Salleh, Y.B Dato’ Taib Azamuddin, Y.Bhg. Dato’ Ismail Kamus, Y.Bhg. Ustaz Ahmad Awang, Y.Bhg. Datuk Pirdaus Ismail, Y.Bhg. Datuk Abu Hassan Din Al-Hafiz, Y.Bhg. Dato’ Kamarudin zakaria dan lain-lain lagi turut dijemput hadir.
 
JAKIM percaya, dengan pertemuan ini sudah pasti akan membangkitkan semula nostalgia lama apabila sama-sama dapat bertemu dan bermesra dengan sahabat yang pernah berkhidmat di JAKIM suatu ketika dahulu dan berharap pertemuan ini dapat dijadikan satu platform untuk mereka menyalurkan pandangan dan buah fikiran dalam sama-sama membantu kejayaan JAKIM di masa akan datang.
 
Sehubungan itu, pihak JAKIM memohon kerjasama pihak media agar dapat menguwar-uwarkan berita ini dan menjemput pihak-pihak berkenaan yang mendapat berita ini untuk hadir bagi menjayakan matlamat program ini.
 
Untuk maklumat lanjut dan pengesahan kehadiran, bolehlah menghubungi urusetia, Encik Zakaria Othman di talian 019-3951481 atau Encik Abdul Karim Zakaria di talian 019-2655007
 
Sekian, terima kasih.
 “BERKHIDMAT UNTUK NEGARA”
Saya yang menurut perintah,
 
 
ASIAH BINTI ALKHARIB SHAH
Pegawai Perhubungan Awam
Jabatan Kemajuan Islam Malaysia