Majlis Menandatangani Memorandum Perjanjian Persetujuan (MoA) Bagi Program Persijilan Tahfiz al-Quran Antara Jabatan Kemajuan Islam Malaysia (Jakim) dan Universiti Tenaga Nasional (UNITEN)

Majlis menandatangani Memorandum Perjanjian Persetujuan (MoA) bagi Program Persijilan Tahfiz al-Quran antara Jabatan Kemajuan Islam Malaysia (Jakim) dan Universiti Tenaga Nasional (UNITEN) telah berlangsung pada hari Rabu, 20 Mac 2013 jam 1.00 petang bertempat di Aras 9, Jabatan Kemajuan Islam Malaysia. Majlis ini telah disempurnakan perasmiannya oleh YB Dato’ Dr. Masyitah binti Haji Ibrahim, Timbalan Menteri di Jabatan Perdana Menteri.
 
Memorandum Perjanjian Persetujuan (MoA) Persijilan Tahfiz al-Quran antara Jakim dan UNITEN ini telah ditandatangani oleh YBhg. Dato’ Haji Othman bin Mustapha, Ketua Pengarah Jakim dan YBhg. Dato’ Seri Prof. Mashkuri bin Yaacob, Naib Canselor Universiti Tenaga Nasional.  Saksi bagi majlis menandatangani MoA ini adalah YBhg. Tuan Haji Razali bin Shahabudin, Timbalan Ketua Pengarah (Pembangunan Insan) bagi pihak Jakim dan Y.Bhg Dato’ Prof. Ir. Dr.Ibrahim bin Husein, mewakili pihak UNITEN.
 
Lebih membanggakan, majlis menandatangani MoA ini telah disaksikan bersama oleh YB Dato’ Dr. Mashitah binti Ibrahim, Timbalan Menteri di Jabatan Perdana Menteri, YB Dato’ Hassan bin Malek, Timbalan Menteri Pembangunan Luar Bandar dan Wilayah, serta Tuan Haji Azman bin Zakaria, Pengarah  Yayasan Tenaga Nasional merangkap Lembaga Pengarah UNITEN.
 
Program Persijilan Tahfiz al-Quran Jakim-UNITEN ini merupakan satu program yang dirangka khusus bagi melahirkan para huffaz yang profesional dalam bidang kejuruteraan. Ini merupakan satu usaha yang murni bagi membina kesepaduan ilmu duniawi dan ukhrawi, dengan memartabatkan Program Tahfiz Al-Quran merentasi Kurikulum Kejuruteraan.
 
Justeru itu, penggabungan kedua-dua ilmu Islam dan ilmu Kejuruteraan dan Teknologi ini akan memberikan impak baru dalam proses transformasi pendidikan di negara ini.Ini seterusnya dapat merealisasikan matlamat jangka masa panjang untuk melahirkan modal insan yang holistik dan bersepadu.
 

Syabas di ucapkan kepada pihak Jakim dan UNITEN atas usaha murni mewujudkan kesepaduan antara Program Persijilan Tahfiz al-Quran dan program Kejuruteraan dan Teknologi ini. Semoga kemunculan generasi jurutera huffaz negara ini dapat mengembalikan tradisi zaman kegemilangan keilmuan Islam.

 

 

 

 

 

 

 

Date: 
Mar 25, 2013