Kurator Berita : Bahagian Penyelidikan
Mesyuarat Jawatankuasa Muzakarah Khas Majlis Kebangsaan Bagi Hal Ehwal Ugama Islam Malaysia (MKI)
Edisi Khas Pandemik COVID-19
 
Novel Coronavirus 2019 mula menular di Malaysia bermula 23 Januari 2020 apabila Kementerian Kesihatan Malaysia mengesahkan kes pertama 2019-nCoV membabitkan tiga warga China yang masuk ke Malaysia melalui Johor dari Singapura. Hari demi hari virus ini merebak bukan sahaja di Malaysia malah seluruh Negara di dunia. Pada 12 Februari 2020, WHO mengumumkan COVID-19 sebagai nama baharu bagi menggantikan 2019-nCoV dan mengisytihatkan ianya sebagai pandemik pada 12 Mac 2020 akibat peningkatan ketara kes di Negara-negara lain selain China.
 
Malaysia mencatatkan kes positif tertinggi di Asia Tenggara iaitu 553 kes positif dalam masa 16 hari dan ini menyebabkan Kerajaan Malaysia telah mengumumkan Perintah Kawalan Pergerakan (PKP) Fasa Pertama bermula 18 Mac hingga 31 Mac 2020 bagi tujuan memutuskan rangkaian kebolehjangkitan COVID-19 dalam kalangan masyarakat. Melihat kepada trend peningkatan kes, PKP Fasa Kedua dilanjutkan pada 1 hingga 14 April diikuti Fasa Ketiga pada 15 – 28 April dan Fasa Keempat sehingga 12 Mei 2020.
 
Memandangkan isu COVID-19 bersifat nasional, penjelasan tentang beberapa hukum melibatkan aktiviti seharian masyarakat hendaklah dibincang dan diselaras secara kolektif dalam Jawatankuasa Muzakarah MKI dengan tidak melangkaui bidang kuasa negeri yang mengeluarkan fatwa.
 
Menjunjung titah Seri Paduka Baginda Yang Dipertuan Agong, Muzakarah Khas Jawatankuasa MKI Kali Pertama telah bersidang pada 15 Mac 2020 melibatkan Ahli Jawatankuasa Muzakarah yang terdiri dalam kalangan Mufti-Mufti Seluruh Malaysia, Ahli-Ahli Dilantik Majlis Raja-Raja dan turut hadir semua Ketua Jabatan dan Majlis Agama Islam Negeri-Negeri Seluruh Malaysia, Ketua Pengarah Kementerian Kesihatan Malaysia serta Ketua Pengarah Agensi Pengurusan Bencana Negara (NADMA). Melalui Muzakarah Khas kali pertama ini, satu resolusi melibatkan dua (2) perkara dikeluarkan iaitu:

i. Semua aktiviti masjid dan surau termasuk solat berjemaah, solat jumaat ditangguhkan bermula 17 – 26 Mac 2020; dan
ii. Sekiranya berlaku kematian akibat COVID-19, jenazah hendaklah diuruskan melalui prosedur tayammum hanya di atas permukaan beg jenazah atau pembalut plastik yang membalut jenazah sahaja.
 
Dalam ketetapan hal pengurusan jenazah ini, Muzakarah merujuk kepada keputusan yang telah dikeluarkan oleh Muzakarah Jawatankuasa Fatwa MKI Kali Ke-107 mengenai hukum Pengurusan Jenazah Orang Islam Yang Disyaki atau Disahkan Dijangkiti Virus Ebola.
 
Muzakarah MKI juga telah mengeluarkan Resolusi Dalam Talian pada 20 Mac 2020 selepas Perintah Kawalan Pergerakan (PKP) bermula 18 – 31 Mac 2020 diumumkan oleh YAB Perdana Menteri Malaysia pada 16 Mac 2020. Resolusi itu menyebut semua aktiviti masjid dan surau termasuk solat berjemaah, solat jumaat ditangguhkan bermula 18 - 31 Mac 2020 seiring dengan tempoh PKP yang telah diumumkan.
 
Melihat kepada kebarangkalian lanjutan tempoh PKP akan dilaksanakan untuk satu tempoh masa yang agak lebih lama, Muzakarah Khas MKI telah bersidang sebanyak 2 kali pada bulan April iaitu pada 9 dan 21 April 2020 melalui teleconference bagi membincangkan beberapa penetapan hukum dan aktiviti untuk bulan Ramadan dan Syawal yang bakal menjelang.
 
Melalui Resolusi Muzakarah Khas MKI Kali Ke-2, beberapa panduan dalam tempoh PKP telah diputuskan iaitu:-
i. Kaedah Melihat Anak Bulan Ramadan, Syawal dan Zulhijjah;
ii. Kaedah Pembayaran Zakat Fitrah; dan
iii. Kaedah Pelaksanaan Ibadah pada Bulan Ramadan dan Solat Jumaat.
 
Manakala Resolusi Muzakarah Khas MKI Kali Ke-3 pula telah memutuskan beberapa perkara seperti berikut:
i. Panduan Hukum Berkaitan Ujian Saringan dan Prosedur Rawatan Pesakit COVID-19 pada bulan Ramadan;
ii. Kedudukan Saf Solat Jemaah ketika PKP;
iii. Garis Panduan Sambutan Hari Raya Ketika PKP;
iv. Garis Panduan Perkahwinan Orang Islam dalam Tempoh PKP dan Pasca PKP; dan
v. Panduan Kaedah Pelaksanaan Ibadah dalam Bulan Ramadan sepanjang tempoh PKP.
 
Dalam melaksanakan kesemua ketetapan tersebut, Pihak Berkuasa Negeri telah mengambil pertimbangan dan mengeluarkan garis panduan di negeri masing-masing. Bersama kita berdoa agar Malaysia berjaya memerangi wabak pandemik ini dan dapat menjalani rutin norma baharu seperti biasa.
 
Mesyuarat Jawatankuasa Muzakarah Khas MKI Edisi Khas Pandemik COVID19 1
Rekod : Muzakarah Khas MKI Kali Pertama di Hotel Pulse Grande, Putrajaya pada 15 Mac 2020.
 
Mesyuarat Jawatankuasa Muzakarah Khas MKI Edisi Khas Pandemik COVID19 2
Rekod : Yang Berhomat Menteri di Jabatan Perdana Menteri (Hal Ehwal Agama) bersama Pengerusi Muzakarah MKI mendengar taklimat dari Ketua Pengarah Kementerian Kesihatan Malaysia
 
Mesyuarat Jawatankuasa Muzakarah Khas MKI Edisi Khas Pandemik COVID19 3
Datuk Dr Noor Hisham bin Abdullah, Ketua Pengarah KKM sedang memberi penjelasan berkenaan pandemik COVID-19 kepada ahli muzakarah. Turut Kelihatan Ketua Pengarah NADMA, Dato’ Mokhtar bin Mohd Abd Rahman.
 
Mesyuarat Jawatankuasa Muzakarah Khas MKI Edisi Khas Pandemik COVID19 4
Rekod : Telesidang Muzakarah Khas MKI Kali Ke-2 pada 9 April 2020 di Kompleks Islam Putrajaya.
 
Mesyuarat Jawatankuasa Muzakarah Khas MKI Edisi Khas Pandemik COVID19 5
Rekod: Telesidang Muzakarah Khas MKI Kali Ke-3 pada 21 April 2020 di Kompleks Islam Putrajaya.