WAKTU SOLAT BAGI KUALA LUMPUR, PUTRAJAYA
IMSAK : | SUBUH : | SYURUK : | ZOHOR : | ASAR : | MAGHRIB : | ISYAK :

jata negara small
 
KENYATAAN MEDIA
YB MENTERI
DI JABATAN PERDANA MENTERI

SEMPENA MAJLIS PELANCARAN TAFSIR PIMPINAN AL-RAHMAN KEPADA PENGERTIAN AL-QUR’AN VERSI MANDARIN
DAN MAJLIS MOU E-BRAILLE AL-QUR’AN ANTARA KERAJAAN MALAYSIA DENGAN UNIVERSITI TEKNOLOGI MALAYSIA (UTM)
__________________________________________________________________________________________________________
 
Tafsir Pimpinan Ar-Rahman Kepada Pengertian Al-Quran Versi Mandarin
 
1. Al-Hamdulillah, pada hari ini kita telah sama-sama menyaksikan detik bersejarah iaitu Pelancaran Tafsir Pimpinan Ar-Rahman Kepada Pengertian Al-Quran Versi Mandarin yang diterbitkan oleh JAKIM.
 
2. Ucapan syabas dan tahniah atas usaha dan inisiatif yang dilakukan oleh JAKIM sejak tahun 2007. Saya berharap dengan terbitnya tafsir al-Quran versi Mandarin ini, ia dapat membantu masyarakat khususnya masyarakat cina yang berhasrat untuk memahami al-Quran sama ada Muslim mahupun non Muslim.
 
3. Antara kelebihan Tafsir Pimpinan edisi Mandarin adalah penggunaan Bahasa yang mudah berbanding kitab tafsir yang diedarkan oleh Arab Saudi yang menggunakan terjemahan perkata yang agak sukar untuk difahami. Penggunaan Tafsir Pimpinan Rahman mudah difahami oleh pelbagai peringkat umur samada yang masih baru atau telah lama memeluk Islam.
 
4. Usaha-usaha yang dijalankan bagi memudahkan umat Islam memahami dan menghayati Al Quran dalam pelbagai bahasa adalah amat penting sebagai satu medan dakwah yang sentiasa perlu diterokai pada hari ini. Dengan iltizam yang tinggi, Kerajaan akan teruskan langkah-langkah seperti ini agar seluruh rakyat di negara ini dapat menerima dari sekecil-kecil manfaat sehingga sebesar-besarnya sesuai gagasan Rahmatan Lil Alamin yang diperkenalkan.
 
5. Saya juga difahamkan projek penerbitan al-Quran ini juga mendapat sokongan kuat hasil kolaborasi strategik JAKIM dengan pelbagai NGO Cina Muslim. Kerjasama dan komitmen semua pihak dalam menjayakan misi dakwah selama ini harus dipuji. Saya berharap kerjasama ini terus subur dan membuahkan manfaat yang lebih besar utuk masyarakat berbilang kaum dan agama di negara ini.
 
6. Dalam kesempatan ini, saya juga ingin mencadangkan agar JAKIM dapat menerbitkan Tafsir Pimpinan al-Rahman versi baharu yang lebih berkualiti, menarik dan mesra pengguna. Hal ini penting supaya kitab ini dapat dimanfaat lebih menyeluruh dan bersesuaian dengan konsep Rahmatan Lil Alamin yang diperkenalkan oleh Kerajaan.
 
 
MOU E-Braille Al-Qur’an Antara Kerajaan Malaysia Dengan Universiti Teknologi Malaysia (UTM)
 
1. Dalam kesempatan ini, saya juga ingin mengucapkan syabas dan tahniah kepada JAKIM dan Fakulti Kejuruteraan Mekanikal, UTM kerana berjaya mewujudkan kerjasama bagi memasukkan Tafsir Pimpinan Ar Rahman ke dalam e-Braille yang merupakan sebuah mesin taip braille elektronik berteknologi tinggi yang mula dibina oleh UTM semenjak tahun 2009 lagi.
 
2. Alhamdulillah peralatan ini telah berjaya dihasilkan pada tahun 2016 dengan kos RM 17,000.00 sebuah. In sya Allah dengan kejayaan memasukkan Tafsir Pimpinan Ar Rahman ke dalam E-Braille ini nanti akan dimanfaatkan oleh Orang Kurang Upaya (OKU) Penglihatan untuk memahami dan menguasai al-Qur’an. e-Braille boleh diakses dengan mudah di PERTIS Kuala Lumpur, PERTIS Cawangan Terengganu dan Sekolah OKU Penglihatan di Setapak, Kuala Lumpur.
 
3. Kitab Tafsir Pimpinan al-Rahman yang dimasukkan ke dalam e-Braille pastinya dapat membantu generasi OKU penglihatan Muslim untuk menguasai ilmu tafsir al-Quran dengan lebih cepat dan tepat, Insya Allah. Usaha ini jelas membuktikan bahawa kerajaan begitu prihatin dalam usaha menyantuni ummah khususnya melibatkan golongan kurang upaya.
 
4. Saya berharap agar e-Braille ini menjadi satu medium pendidikan berterusan kepada OKU Penglihatan. Dan kita juga begitu komited untuk mencari dana bagi mengurangkan kos e-Braille sehingga ia dapat dimanfaatkan secara lebih meluas kepada OKU penglihatan di negara ini.
 
5. Akhirnya, saya sekali lagi mengucapkan syabas dan tahniah kepada pihak JAKIM, Fakulti Kejuruteraan Mekanikal UTM kerana berjaya menerbitkan al-Quran versi Mandarin dan melancarkan e-Braille pada petang ini.
 
Sekian
 
YB Datuk Seri Dr Mujahid Yusof
Menteri di Jabatan Perdana Menteri
28 Februari 2019
 
 
 
 



QR Code Portal Jakim
Hakcipta © 2015 Jabatan Kemajuan Islam Malaysia
Kerajaan Malaysia dan JAKIM tidak bertanggungjawab atas kerugian atau kerosakan yang disebabkan oleh penggunaan dari setiap maklumat yang diperolehi daripada portal ini. Sesuai dilayari dengan menggunakan Internet Explorer versi 8 atau Mozilla Firefox versi 3 ke atas (dengan resolusi 1024 x 768)
Last Updated : 19 March 2019.
Jumlah Pelawat :12271290