Kurator Berita : Pejabat Ketua Pengarah
DULI YANG MAHA MULIA PADUKA SERI SULTAN PERAK DARUL RIDZUAN, SULTAN NAZRIN MUIZZUDDIN SHAH IBNI ALMARHUM SULTAN AZLAN MUHIBBUDDIN SHAH AL-MAGHFUR-LAH MELANCARKAN MODUL FIQH KESIHATAN NEGERI PERAK DAN KITAB NAILU AL-MARAM FI GHAZAWAT KHAIR AL-ANAM 302 HADITH JIHAD DAN PEPERANGAN RASULULLAH SAW
 
19 Oktober 2018 telah berlangsung Majlis Anugerah Kecemerlangan Pendidikan Islam Peringkat Negeri Perak Darul Ridzuan bertempat di Dewan Saidina Abu Bakar, Institut Tadbiran Islam Perak (INTIM), Ipoh bagi meraikan pengiktirafan kepada seluruh warga pendidik khususnya serta kecemerlangan para pelajar dalam bidang Pendidikan Islam seterusnya majlis pelancaran dua buah buku Modul Fiqh Kesihatan Negeri Perak dan Kitab Nailu Al-Maram Fi Maghazi Khairul Anam 302 Hadith Jihad Dan Peperangan Rasulullah SAW dibawah Jabatan Agama Islam Perak (JAIPk). Duli Yang Maha Mulia Paduka Seri Sultan Perak Darul Ridzuan, Sultan Nazrin Muizzuddin Shah Ibni Almarhum Sultan Azlan Muhibbuddin Shah Al-Maghfur-Lah telah berkenan untuk melancarkan dua buku ini pada majlis tersebut.

Pembukuan dan Penerbitan Modul Fiqh Kesihatan sebagai panduan dan rujukan bagi pembelajaran berkaitan kesihatan yang diadakan di seluruh Masjid negeri Perak Darul Ridzuan adalah menjunjung titah Duli Yang Maha Mulia Paduka Seri Sultan Perak Darul Ridzuan melalui Persidangan Majlis Agama Islam Dan Adat Melayu Perak kali ke 204 agar diwujudkan satu pengajian ilmiah di masjid seluruh negeri Perak. Hj Muhammad Imran Hj Ibrahim Penolong Pengarah Kanan Takmir, Unit Takmir Bahagian Masjid Jabatan Agama Islam Perak telah diberikan tanggungjawab dalam menyelaras penerbitan dua buah buku yang istimewa ini.

Bagi pembinaan buku Modul Fiqh Kesihatan, JAIPk telah mengadakan kerjasama dengan Pertubuhan Kesihatan Jantung Malaysia (My Heart) dan Yayasan Dana Kebajikan Muslim Malaysia (YDKMM) untuk menghasilkan penerbitan modul yang pertama di Malaysia yang berteraskan ilmu Sains Kesihatan (Perubatan, Pergigian dan Farmasi) yang amat tepat pada pada masanya.

Dato’ Hj Mohd Yusop Hj Husin Pengarah Jabatan Agama Islam Perak (JAIPk) menyatakan falsafah rancangan program pengajian pengimarahan masjid surau merupakan usaha berterusan ke arah memperkasakan ilmu ukhrawi tanpa melupakan duniawi. Dengan modul ini kuliah pengajian di masjid bukan sahaja terhad kepada enam subjek teras ilmu turath Islam, bahkan Modul Fiqh Kesihatan ini akan merubah variasi pengimarahan masjid dengan ilmu kesihatan. Ianya diharap akan memberi kefahaman kepada masyarakat dalam menghayati Islam dalam penjagaan kesihatan pemakanan dan kecergasan secara komprehensif untuk mencapai kejayaan juga kecemerlangan hidup di dunia dan akhirat.

Modul yang disusun bagi setahun ini terdiri 12 topik akan disampaikan oleh mereka berpengalaman dan pakar di masjid-masjid seluruh negeri Perak. Topik-topik terdiri :

Tajuk 1: Pengenalan Fiqh Kesihatan
Tajuk 2: Solat dan Kesihatan
Tajuk 3: Puasa dan Kesihatan
Tajuk 4: Gaya Hidup Sihat I: Kebersihan diri
Tajuk 5: Gaya Hidup Sihat II: Pengurusan Berat Badan (Pemakanan dan Aktiviti Fizikal)
Tajuk 6: Kesihatan Mental dan Pengurusan Stres
Tajuk 7: Penyakit Umum di Kalangan Masyarakat
Tajuk 8: Keselamatan ketika Pengambilan Ubat
Tajuk 9: Bahaya Rokok, Vape dan Sisha
Tajuk 10: Kesihatan Pancaindera
Tajuk 11: Ibadah Pesakit
Tajuk 12: Fiqh Kesihatan berkaitan Beberapa Isu
 
Tranformasi sukatan pengajaran berkaitan kesihatan di masjid iaitu secara bulanan mengikut modul di masjid negeri Perak dijangka dapat memberi impak yang besar dan menarik ramai Jemaah untuk menghadiri kelas pengajian di 606 masjid seluruh negeri Perak.

Manakala penerbitan Kitab Nailu Al-Maram Fi Ghazawat Khair Al-Anam 302 Hadith Jihad Dan Peperangan Rasulullah Saw lahir dari dunia Islam kini yang mengalami pelbagai cabaran hasil dari kekeliruan individu umatnya sendiri dan kesalahan konsep digembar-gemburkan oleh pihak yang tidak bertanggungjawab menimbulkan kesan Islamophobia kepada pandangan masyarakat bukan Islam di dunia ini.

Firman Allah SWT
(Dan tiadalah Kami (Allah) mengutus engkau (Muhammad), kecuali untuk menjadi rahmat bagi semesta alam) (QS. Al-anbiya’ :lO7).
Islam sebagai agama Rahmatan Lil ’Alamin (pembawa rahmat ke seluruh alam). Islam agama perdamaian, sangat toleran dan penuh dengan kelembutan serta kasih sayang. Islam menolak sikap kekerasan, terorisme, kebencian dan sebagainya

Hasil dari perkara tersebut, ekstrimis bertopengkan agama telah memburukkan lagi situasi dihadapi oleh umat Islam, ianya telah menyebabkan begitu banyak kemusnahan jiwa dan alam hasil dari kejahilan mereka berkenaan konsep jihad yang sebenar. Sepatutnya mereka mengetahui dan mempraktikkan nilai dan tatatertib yang ditonjolkan oleh Nabi ﷺ dalam setiap peperangan baginda dan sifat rahmatan yang mengiringi baginda dalam setiap tingkah laku baginda.
Justeru itu, Perak sekali lagi selangkah ke hadapan dengan penerbitan buku berkaitan jihad dan peperangan Rasulullah SAW untuk memberi penjelasan sebenar.

Bermula awal tahun 2017 Jabatan Agama Islam Perak telah bekerjasama dengan Akademi Pemikiran Turath Al-Mustanir bagi perancangan dan pembikinan Kitab Nailu Al-Maram Fi Ghazawat Khair alAnam : 302 Hadith Jihad Dan Peperangan Rasulullah SAW. Ianya terdiri dari tiga bab utama iaitu :
(Bab Pertama)Konsep Jihad dan Salah Faham Berkenaannya
(Bab Kedua) Hadis-Hadis Berkaitan Kelebihan Dan Tatatertib Jihad Dalam Islam
(Bab Ketiga) Hadis-Hadis Berkaitan Peristiwa Peperangan Rasulullah ﷺ
 
Diikuti dengan mewujudkan Lajnah Pentashih untuk mengedit isi kandungan yang diketuai oleh Pengarah Jabatan Agama Islam Perak sendiri bertungkus lumus untuk menyiapkan kitab yang pertama seumpanya di negeri Perak khasnya dan Malaysia amnya. Ianya telah dibentuk dan dirangka isi kandungannya sebegitu rupa yang akan memberi manafaat kepada 314 orang guru Takmir negeri Perak khasnya dan masyarakat amnya. Semestinya tidak lari dari ajaran ahli sunnah wal jamaah.
 
Objektif kitab ini adalah :
1. Membentangkan dengan bahasa yang mudah berkenaan konsep-konsep jihad hakiki kepada masyarakat awam
2. Menzahirkan nilai-nilai dan manhaj Rasulullah ﷺ dan menghadapi setiap peperangan bahkan dalam setiap gerak-geri kehidupan baginda ﷺ
3. Menggalakkan penyebaran hadis-hadis dan sirah Rasulullah ﷺ dalam masyarakat awam.
 
Berpandukan kitab-kitab hadith yang muktabar kitab ini mengangdungi :
1. Ayat-Ayat Al-Quran berkaitan Jihad & Peperangan Rasulullah ﷺ
2. Hadis-Hadis Nabawi berkaitan Jihad & Peperangan Rasulullah ﷺ
3. Riwayat-Riwayat Sirah yang mu’tabar berkaitan Peperangan Rasulullah ﷺ
4. Hukum-Hukam Yang Diambil Dari Kitab-Kitab Fiqh Ulama Mu’tabar
 
Fokus diberikan kepada peperangan utama Rasulullah agar dapat diambil pengajaran dan teladan yang berguna bagi memastikan Islam itu merupakan rahmat kepada seluruh alam. Ianya merangkumi keperluan spiritual dan jasmani insan untuk mencapai kehidupan berkualiti dan kebahagiaan hidup di dunia dan di akhirat.
 
Puan Hajah Hakimah binti Mohd Yusoff,Timbalan Ketua Pengarah (Dasar) Jabatan Kemajuan Islam Malaysia (JAKIM) mewakili Ketua Pengarah JAKIM turut hadir sebagai jemputan dipentas utama dalam majlis tersebut. Unit Takmir dan barisan Penyelaras Pentadbiran Masjid Daerah (PPMD) Perak turut serta dalam menjayakan majlis tersebut. Majlis selesai jam 12 tengahari dan para dif kehormat serta tetamu dijamu dengan jamuan makan tengahari.

Syabas dan tahniah kepada mereka yang terlibat secara langsung atau tidak langsung dalam menggubal Modul Fiqh Kesihatan Negeri Perak dan menerbitkan Kitab Nailu Al-Maram Fi Ghazawat Khair Al-Anam : 302 Hadith Jihad Dan Peperangan Rasulullah SAW
 
DYMM Sultan Perak Lancar Fiqh Kesihatan Perak 1
 
DYMM Sultan Perak Lancar Fiqh Kesihatan Perak 2
 
DYMM Sultan Perak Lancar Fiqh Kesihatan Perak 3
 
DYMM Sultan Perak Lancar Fiqh Kesihatan Perak 4
 
DYMM Sultan Perak Lancar Fiqh Kesihatan Perak 5
 
 
Oleh :
Muhammad Imran bin Ibrahim
Penolong Pengarah Kanan Takmir,
Bahagian Pengurusan Masjid, Jabatan Agama Islam Perak