Kurator Berita : Pejabat Ketua Pengarah
Tanggal 5 dan 6 Julai 2019, Bahagian Dakwah Jabatan Kemajuan Islam Malaysia melalui Cawangan Kefahaman Islam berjaya menganjurkan program Ziarah Mahabbah dan Street Dakwah ke perkampungan Cina Bagan Teochew, Pulau Ketam Selangor. Program tersebut membabitkan penyertaan seramai 35 orang peserta yang terdiri daripada kakitangan Jabatan Agama Islam Selangor, Pejabat Agama Islam Daerah Klang (PAID), sukarelawan daripada pertubuhan badan bukan kerajaan (NG0) Islam seperti Persatuan Cina Muslim Malaysia (MACMA), Pertubuhan Kebajikan Islam Malaysia (PERKIM).
 
Program ini diadakan bertujuan untuk membentuk jalinan ukhuwwah yang lebih erat dan kukuh dengan penduduk Cina di Pulau Ketam, menyampaikan informasi berkaitan Islam, memupuk semangat kerjasama antara agensi agama dengan pertubuhan badan bukan kerajaan (NGO) Islam serta platform untuk mengenal pasti dan membetulkan persepsi kaum Cina terhadap agama Islam sesuai dengan konsep “rahmah” yang diketengahkan oleh Yang Berhormat Menteri di Jabatan Perdana Menteri, Datuk Seri Dr Mujahid Bin Yusof.

Program pada kali ini menampilkan konsep dakwah yang unik kepada masyarakat Cina di Pulau Ketam iaitu ziarah rumah ke rumah sambil bertanya khabar berkaitan keadaan keluarga muallaf Cina dan bukan Islam di samping menghulurkan sumbangan berbentuk keperluan dapur seperti beras, minyak masak, biskut, milo dan susu, gula dan bihun kepada keluarga Cina yang kurang berkemampuan. Melalui program yang diadakan ini, hubungan ukhuwwah yang sememangnya sudah terjalin sebelum ini menjadi bertambah erat. Kaum Cina di Pulau Ketam turut memberikan layanan yang amat baik sepanjang aktiviti ziarah di kepulauan tersebut.

Program Ziarah Mahabbah juga telah berjaya menyantuni seramai 50 buah keluarga Cina Muslim dan bukan Islam yang tinggal di sekitar Bagan Teow Chew dan Pekan Pulau Ketam. Semoga program seperti ini akan dapat diteruskan lagi pada masa akan datang dalam usaha mewujudkan sebuah masyarakat yang bersatu padu dalam kepelbagaian agama, bangsa dan budaya.
 
Jelajah Mahabbah Kaum Cina Pulau Ketam 1
 
Jelajah Mahabbah Kaum Cina Pulau Ketam 2
 
Jelajah Mahabbah Kaum Cina Pulau Ketam 3
 
Jelajah Mahabbah Kaum Cina Pulau Ketam 4
 
Jelajah Mahabbah Kaum Cina Pulau Ketam 5
 
Jelajah Mahabbah Kaum Cina Pulau Ketam 6
 
Jelajah Mahabbah Kaum Cina Pulau Ketam 7
 
Jelajah Mahabbah Kaum Cina Pulau Ketam 8
 
Jelajah Mahabbah Kaum Cina Pulau Ketam 9