Meraih Sahabat Syurga
Daripada Abu Umamah r.a berkata : Aku mendengar Rasulullah S.A.W. bersabda:
Bacalah Al-Quran sesungguhnya ia akan datang di hari kiamat sebagai syafa'at kepada pembacanya. (Riwayat Muslim)
Seringkali kita dengar umat Islam akan berlumba-lumba untuk mengkhatamkan bacaan Al-Quran pada bulan Ramadhan. Namun Muslimin terdahulu sebenarnya sentiasa melazimi bacaan Al-Quran pada sepanjang masa tanpa mengira bulan. Mereka sangat mengharapkan Al-Quran ini akan menjadi sahabat dan pelindung mereka di hari Akhirat kelak. Justeru Masjid Wilayah Persekutuan Kuala Lumpur telah mengambil inisiatif untuk mengadakan satu program menggalakkan peserta mengkhatamkan al-Quran dalam masa tiga bulan.
Program anjuran Unit Ibadah & Dakwah, Pengimarahan Masjid Wilayah Kuala Lumpur ini telah dimulakan pada seawal April lalu. Program yang bertemakan Meraih Sahabat Syurga ini telah mendapat sambutan yang baik dengan berjaya mengumpulkan seramai 150 orang peserta yang berdaftar dari setiap peringkat umur.
Maka Majlis Khatam Perdananya telah diadakan pada 18 Jun lalu yang berlangsung di Dewan Solat Utama selepas solat Maghrib. Majlis yang diadakan ini telah dihadiri lebih 500 orang jemaah muslimin dan muslimat. Majlis Khatam Al-Quran tersebut telah dipimpin oleh, Syeikh Dr. Solah Mohamad Zaki Al-Qadiri yang menjadi pakar rujuk Al-Quran di Negeri Sembilan. Program tersebut turut dihadiri Timbalan Pengarah Operasi JAWI; Tuan Haji Omar bin Said bersama YBhg. Imam Besar Masjid Wilayah Persekutuan; Tuan Haji Zakariah bin Isa.
Bagi menyerikan lagi majlis, Tahniq juga diadakan sejurus selesai khatam al-Quran yang disempurnakan oleh Syeikhj Dr. Solah kepada anak-anak yang telah mengambil bahagian dalam Aqiqah Perdana. Majlis turut diiringi dengan alunan selawat yang dipimpin oleh Pensyarah KUIS, Selangor; Ustaz Shuhadak bin Mahmud.
Menurut Pengarah Program Ustaz Mohammad Ashraf bin Ibrahim, majlis seumpama ini adalah satu usaha baru yang akan diteruskan pada setiap tahun bagi mengimarahkan lagi masjid di samping dapat merapatkan ukhuwah sesama jemaah dan Pihak Pentadbiran Masjid sendiri. Melihat kepada sambutan yang sangat meriah ini, harapan Masjid Wilayah Persekutuan Kuala Lumpur semoga program ini akan dapat diadakan dengan lebih baik dengan mendapat sokongan dari semua pihak termasuk agensi kerajaan dan swasta.




- Hits : 1631





