Kurator Berita : Bahagian Dakwah

Untuk melangkah ke masa hadapan yang lebih cemerlang, Jakim harus bijak mengurus kejayaan serta dengan tegas dan berkesan mengatasi pelbagai kelemahan dan kekurangannya. Cabaran besar yang perlu ditanganinya dalam usaha tersebut ialah pemantapan etika dan integriti pegawai dan kakitangan Jakim. Budaya etika dan integriti adalah selaras dengan cabaran keempat Wawasan 2020 iaitu untuk membentuk sebuah masyarakat yang kukuh ciri-ciri moral dan etikanya dengan warganya mempunyai nilai keagamaan dan kerohanian yang utuh dan ditunjangi oleh budi pekerti yang luhur. Oleh yang demikian, Jakim perlu memberi penekanan terhadap pemantapan sahsiah dan jati diri para pegawai dan kakitangannya melalui program-program motivasi atau seumpamanya secara menyeluruh setiap tahun bagi memupuk semangat berpasukan yang jitu, mengeratkan ukhuwah, membentuk individu serta organisasi berkualiti dan melahirkan warganya yang cemerlang holistik dan berintegriti.

Sejajar dengan hasrat dan matlamat itu, Bahagian Dakwah Jakim dengan kerjasama Unit Integriti Jakim dan Jakim Cawangan Sarawak telah menganjurkan Program Smart Integriti Team Building pada 22 hingga 25 Ogos 2016 bertempat di Permai Rainforest Resort, Santubong, Sarawak. Program ini adalah sebagai satu usaha untuk Mentransformasikan Sahsiah dan Integriti Perkhidmatan Awam di kalangan pegawai dan kakitangan Jakim melalui pendekatan keagamaan dan penghayatan nilai-nilai murni.

Program selama 4 hari 3 malam ini telah disertai oleh pegawai dan kakitangan Jakim dari Ibu Pejabat, Jakim Cawangan Sarawak, kader dari Jabatan Penjara Malaysia Negeri Sarawak dan Bahagian Agama dan Kaunseling (BAKA) Polis Diraja Malaysia. Program ini menggariskan tiga objektif utama iaitu:

  1. Menerapkan nilai-nilai murni dan akhlak berteraskan agama yang selari dengan prinsip dan nilai integriti
  2. Meningkatkan kesedaran dan komitmen peserta dalam memperkukuhkan kerjasama cintakan organisasi; dan
  3. Memperkukuhkan daya kepimpinan dan memantapkan nilai-nilai yang positif dalam menjalankan tugas dan tanggungjawab dengan penuh dedikasi.

Justeru bagi mencapai objektif tersebut, para peserta telah didedahkan dengan beberapa slot ceramah, slot penghayatan dan aktiviti bersifat indoor dan outdoor yang dibimbing oleh barisan penceramah dan fasilitator dari Jakim, SPRM Sarawak dan jurulatih permai. Antara slot yang dilaksanakan ialah Salam Ukhuwah, Bina Imej Kumpulan, Anjung Nurani, Ceramah Penghayatan Integriti Dalam Perkhidmatan Awam, Interaktif Trivia (Kenali Diri), Kembara Iman, Titian Hisab, Halangan dan Rintangan Kehidupan, Ceramah Sentuhan Insani; Integriti dan Hari Pembalasan, Renungan Pagi: Klinik Hati, Integriti Amal Jama’ie, Idola Integriti, Ceramah Sentuhan Nurani, Imsak Walk dan Ceramah Gerak Hati dan Minda; Integriti 1Azam 1Tekad.

Melalui slot dan aktiviti ini, para peserta diuji dengan pelbagai aktiviti yang santai, sederhana lasak dan lasak. Aktiviti-aktiviti tersebut menguji daya tahan fizikal, pengawalan emosi agar stabil dan rasional serta membudayakan kerja berpasukan. Keyakinan diri dalam mengurus dan memimpin secara beretika dan berintegriti juga dapat diterapkan selain pengamalan nilai-nilai murni dan positif dalam setiap perkara. Di samping itu juga, sempena bulan kemerdekaan Negara Malaysia yang ke-59 dengan bertemakan ‘Sehati Sejiwa’, para peserta dipupuk dengan semangat cintakan tanah air dengan mengibarkan bendera Jalur Gemilang di sepanjang aktiviti bagi membudayakan integriti dalam kalangan warga Jakim sebagai penjawat awam yang sentiasa memberikan taat setia kepada pemimpin, negara dan kerajaan.

Penangguhan program ini telah disempurnakan oleh Tuan Haji Abd Aziz bin Jusoh, Pengarah, Jakim Cawangan Sarawak. Dalam ucapan penutup, beliau amat berpuas hati dengan pelaksanaan program ini dan mengucapkan tahniah kepada para peserta atas komitmen terbaik dan kesungguhan yang telah ditunjukkan di sepanjang program berlangsung.

 

 

smartintegritisarawak 2

smartintegritisarawak 1

smartintegritisarawak 3

smartintegritisarawak 4

smartintegritisarawak 5

smartintegritisarawak 6

smartintegritisarawak 7

smartintegritisarawak 8

smartintegritisarawak 9

smartintegritisarawak 10