Sambutan Raya Perdana Agensi Dan NGO Islam Sabah 1433H/2012M
Majlis Sambutan Hari Raya Perdana Agensi Dan NGO Islam Sabah telah diadakan pada hari Isnin yang lalu bersamaan dengan 10 September 2012 bertempat di Dewan Sa’adah, Wisma MUIS, Kota Kinabalu. Terdapat 17 buah gerai yang melibatkan pelbagai agensi Islam di negeri ini telah mengambil bahagian dalam majlis yang dianjurkan oleh Jabatan Hal Ehwal Agama Islam Negeri Sabah (JHAEINS) itu.
Tetamu kehormat, Dato Sri Haji Nasir Bin Tun Dr. Haji Sakaran, Menteri di Jabatan Ketua Menteri telah sudi untuk bersama-sama meraikan majlis sambutan pada kali ini. Turut hadir, YBhg. Al-fadhil Ustaz Bongsu Aziz Jaafar, Mufti Kerajaan Negeri Sabah, Datuk Suhaili Mohd Said, ADUN N49 Tungku, Ketua Polis Sabah, Pengarah JHEAINS dan Pengarah Jakim Sabah.
Majlis dimulakan kira-kira pukul 10 pagi dengan sesi penghakiman bagi pertandingan gerai terbaik. Seterusnya, ucapan alu-aluan oleh YBhg. Datuk Haji Amri A.Suratman, Pengarah JHEAINS merangkap Pengerusi Jawatankuasa sambutan pada kali ini, dan diikuti 3 jenis persembahan yang diatur khas oleh pihak penganjur yang mana salah satu diantaranya ialah persembahan ‘Kulin Tangan’.
Pelbagai ragam dan keramahan petugas di setiap gerai menjadikan majlis sambutan raya kali ini bertambah ceria dan meriah. Pada masa yang sama, di kesempatan itu seluruh warga agensi dan NGO Islam Sabah dapat bertemu dan turut bertukar-tukar pandangan mengenai perancangan aktiviti dakwah masing-masing.
2 orang juri yang dijemput khas dari Jabatan Ketua Menteri Sabah dan Pejabat Setiausaha Persekutuan Sabah telah menilai dan bersepakat memberikan kemenangan kepada Jakim Cawangan Sabah dengan markah 90 peratus, diikuti JHEAINS (85%) dan Pejabat Mufti Negeri Sabah (80%). Sesi penyampaian hadiah telah disempurnakan sendiri oleh Dato Sri Nasir.








Date:
Sep 18, 2012   Groups:
- Hits : 984





