Waktu Solat Putrajaya Subuh : 5:49 Syuruk : 7:10 Zohor : 1:22 Asar : 4:46 Maghrib : 7:31 Isyak : 8:45

PERUTUSAN AIDILFITRI 1439H/2018M
KETUA PENGARAH
JABATAN KEMAJUAN ISLAM MALAYSIA (JAKIM)

MELEBARKAN RISALAH MENYANTUNI UMMAH

________________________________________________
 
Datuk Nordin green white
 
Bismillahirrahmanirrahim

Assalamualaikum warahmatullahi wabarakatuh

الله اكبر الله اكبر الله اكبر
ولله الحمد

Segala puji bagi Allah Pencipta seluruh alam. Selawat dan salam ke atas junjungan besar Nabi Muhammad SAW dan juga seluruh ahli keluarga baginda.

Bersyukur kita kerana diberi kesempatan untuk bertemu sekali lagi dengan Syawal yang membawa seribu erti dalam kehidupan kita semua.

Ramadhan bukan hanya mengajar kita erti lapar dan dahaga, bahkan yang lebih besar dari itu ialah nilai ketaqwaan yang dibentuk melalui madrasah Ramadhan. Ketaqwaan sekiranya diterjemahkan dalam kehidupan umat sudah pasti memanifestasikan kehidupan insani yang syumul meliputi segenap aspek kehidupan manusiawi.

Dalam sebuah hadis riwayat At-Tirmizi, “Bahawa yang banyak memasukkan seseorang manusia ke dalam syurga ialah takwanya kepada ALLAH SWT dan akhlaknya yang elok (sesama manusia)”.

Ibadah yang dilakukan oleh kita tidak mencapai maksud ibadah yang sebenar sekiranya tidak membawa kepada akhlak yang baik. Ibadah puasa yang merupakan perhubungan dengan ALLAH SWT turut mempunyai perkaitan dengan amalan zakat yang membawa kepada pertalian sesama manusia. Kecenderungan dan fokus ibadah yang dilaksanakan di dunia ini tidak hanya tertumpu kepada ALLAH SWT sahaja, malah ianya perlu seimbang untuk mempunyai perhubungan sesama manusia melalui erti kata ‘Hablun Minallah, Hablun Minannas’.

ALLAH SWT berfirman dalam surah Ali ‘Imran ayat 133 hinga 134 yang bermaksud, “Dan segeralah kamu kepada (mengerjakan amal-amal yang baik untuk mendapat) keampunan dari Tuhan kamu, dan (mendapat) Syurga yang bidangnya seluas segala langit dan bumi, yang disediakan bagi orang-orang yang bertaqwa; Iaitu orang-orang yang mendermakan hartanya pada masa senang dan susah, dan orang-orang yang menahan kemarahannya, dan orang-orang yang memaafkan kesalahan orang. Dan (ingatlah), Allah mengasihi orang-orang yang berbuat perkara-perkara yang baik”.

Penerangan melalui surah tersebut memfokuskan beberapa aspek penting di mana ALLAH SWT suka kepada manusia yang mengerjakan amal kebaikan kepada-Nya serta menjaga kesempurnaan perhubungan semasa manusia dengan menderma, menahan kemarahan dan memberi kemaafan. Ertinya kehidupan manusia perlu dipenuhi dengan konsep hidup yang seimbang bersama Maha Pencipta-Nya dan sesama manusia.

Begitulah indahnya Islam, agama yang mengajar erti kedamaian dan keharmonian dalam segenap aspek kehidupan. Sayugia kita sebagai muslim perlu terjemahkan Islam agar menjadi agama yang bertoleransi dan membawa rahmat kepada semua lapisan masyarakat.

Marilah sama-sama kita hiasi Aidilfitri ini dengan pendekatan yang santun dan saling menjauhi persengketaan serta permusuhan. Sentiasalah berhikmah dalam setiap perkara agar umat Islam mampu menjadi contoh tauladan kepada semua pihak. Sambutlah Aidilfitri dengan penuh ilmu di dada dan jauhi unsur-unsur yang boleh mencemarkan keharmonian antara masyarakat.

Jakim sebagai agensi pusat dalam pengurusan dan pentadbiran hal ehwal Islam di Malaysia menyeru umat Islam agar terus komited dalam memartabatkan Islam ke arah menjadi pemangkin kepada perpaduan dan penyatuan ummah di Negara ini.

Akhir kalam, sekali lagi, Jakim mengulangi azam dan komitmen tinggi untuk terus melebarkan risalah dakwah Islamiyah berpandukan ajaran al-Quran dan al-Sunnah dengan penuh kesantunan tanpa mengabaikan hak dan kepentingan masyarakat umum.

Selamat Menyambut Hari Raya Aidilfitri 1439H/2018M kepada seluruh umat Islam.

Sekian

DATUK HAJI MOHAMAD NORDIN IBRAHIM
Ketua Pengarah
Jakim
 



QR Code Portal Jakim
Hakcipta © 2015 Jabatan Kemajuan Islam Malaysia
Kerajaan Malaysia dan JAKIM tidak bertanggungjawab atas kerugian atau kerosakan yang disebabkan oleh penggunaan dari setiap maklumat yang diperolehi daripada portal ini. Sesuai dilayari dengan menggunakan Internet Explorer versi 8 atau Mozilla Firefox versi 3 ke atas (dengan resolusi 1024 x 768)
Last Updated : 20 July 2018.
Jumlah Pelawat :12210235