"Peranan Ulama' Amat Penting Dalam Pembangunan Dan Siasah Negara": YB Dato' Dr. Ahmad Zahid Hamidi

Selepas dilantik sebagai Menteri di Jabatan Perdana Menteri , Y.B. Dato’ Dr. Ahmad Zahid bin Hamidi telah mengadakan pertemuan kali pertama dengan semua ahli Jawatankuasa Fatwa Majlis Kebangsaan Bagi Hal Ehwal Islam Malaysia yang telah berlangsung bertempat di Universiti Sains Islam Malaysia (USIM) pada 31 Mac 2008.

Majlis yang bermula pada jam 9.00 pagi dimulakan dengan sesi bergambar semua ahli Jawatankuasa bersama Y.B. Menteri. Dalam perutusan beliau, Y.B. Menteri melahirkan keyakinan bahawa tugas berat yang telah diamanahkan kepadanya akan dapat dilaksanakan bersama-sama dengan tunjuk ajar dan bimbingan daripada para ulama’ khususnya semua Ahli Jawatankuasa Fatwa Kebangsaan. Menurut beliau, ” peranan alim ulama’ dalam pembangunan dan siasah negara adalah sama penting dengan para pentadbir.

Sinergi yang kukuh antara ulama’ yang sarat dengan ilmu agama dan umara’ yang mahir dalam bidang pengurusan, mampu memperkasakan lagi pentadbiran negara”. Beliau juga berharap, jalinan kerjasama dan sillaturrahim yang telah sedia ada antara beliau dengan ahli-ahli Jawatankuasa Fatwa akan terus diperkukuhkan supaya segala cabaran mendatang yang cuba menggugat maruah dan kesucian Islam dapat ditangani dengan sebaik mungkin.

<?xml:namespace prefix = o ns = "urn:schemas-microsoft-com:office:office" />

Dato’ Dr. Ahmad Zahid juga turut mengingatkan bahawa situasi dunia pada hari ini sedang mencabar Islam dan Islamphobia sengaja dijadikan isu bagi menyuburkan bibit-bibit kebencian terhadap Islam. Oleh itu beliau amat berharap, para ulama’ dan cendekiawan Islam di negara ini akan sama-sama memikir dan mengatur tindakan bagi menangani isu Islamphobia ini.

Sementara itu, Pengerusi Jawatankuasa Fatwa Y. Bhg. Prof. Dato’ Dr. Abdul Shukor Husin dalam ucapan alu-aluan beliau merakamkan ucapan tahniah daripada Jawatankuasa kepada Y.B. Dato’ Dr. Zahid bin Hamidi di atas pelantikan sebagai Menteri di Jabatan Perdana Menteri.

Menurut Prof. Dato’ Dr. Abdul Shukor, pelantikan ini menunjukan bahawa pucuk pimpinan negara berkeyakinan tinggi di atas kemampuan Y.B. Dato’ Dr. Zahid bagi meneruskan kesinambungan pengurusan dan pentadbiran hal ehwal Islam yang telah dilaksanakan di bawah kepimpinan Y.B. Dato’ Dr. Abdullah bin Md Zin.

Prof. Dato’ Dr. Abdul Shukor turut merakamkan setinggi-tinggi penghargaan dan terima kasih kepada Y.B. Dato’ Dr. Abdullah bin Md Zin di atas usaha dan kegigihan yang telah beliau curahkan dalam membangun dan memartabatkan syiar Islam di negara ini.

Di akhir ucapan, Prof. Dato’ Dr. Abdul Shukor berharap melalui sumbangan dan penyatuan pemikiran dan ilmu daripada ulama’ dan umara’, umat Islam mampu membina kekuatan sakhsiah, ekonomi dan politik yang lebih membanggakan pada masa akan datang.