Persidangan LEPAI Kali Ke-39

Persidangan Lembaga Penasihat Penyelarasan Pelajaran dan Pendidikan Agama Islam (LEPAI) Kali Ke-39 telah diadakan pada 19 Julai 2012 bertempat di Pusat Konvensyen Antarabangsa, Putrajaya. Persidangan ini telah dipengerusikan oleh Pengerusi LEPAI iaitu YBhg. Tan Sri Dr. Mohd Yusof Noor. Persidangan ini juga turut dihadiri oleh YBhg. Prof. Emeritus Dato’ Dr. Mahmood Zuhdi bin Abdul Majid iaitu Naib Pengerusi LEPAI, ahli-ahli LEPAI yang dilantik Exco-exco Negeri, Pengarah-pengarah Jabatan Agama Islam Negeri (JAIN), wakil kementerian dan Jabatan Kerajaan.
 
Persidangan pada kali ini bertumpu kepada pembentangan kertas cadangan dan makluman untuk dibincang serta dipersetujui sebelum dilaksanakan bertepatan dengan modus operandi LEPAI  sebagai  lembaga yang berfungsi untuk menyelaras pelajaran dan pendidikan agama Islam di sekolah agama negeri dan sekolah agama rakyat di seluruh negara.
 
Selain itu LEPAI juga berperanan sebagai platform ke arah meningkatkan mutu pelajaran dan pendidikan agama di peringkat kebangsaan.Pengiktirafan sijil Tahfiz di peringkat negeri dan kebangsaan merupakan antara topik perbincangan pada persidangan kali ini. Perbincangan juga ditumpukan kepada usaha mempertingkat mutu pengajian serta kualiti pengurusan sekolah tahfiz kerajaan atau swasta supaya berdaftar dengan kerajaan negeri agar penyelarasan kurikulum sekolah tahfiz tersebut dengan lebih sistematik dapat dilaksanakan.
 
 
Date: 
Jul 19, 2012