Perutusan Khas Idul Fitri Ketua Pengarah Jakim
PERUTUSAN KHAS IDUL FITRI
DARI KETUA PENGARAH, JAKIM
Sempena Syawal yang bakal menjelang, marilah sama-sama kita menginsafi keadaan diri serta merayakan bulan kemenangan ini dengan penuh kesederhanaan, bermaaf-maafan dan mahabbah. Syawal ialah bulan kemenangan setelah kita berjuang mengawal hawa nafsu sepanjang Ramadhan. Oleh itu, penuhilah Syawal dengan kesinambungan daripada amalan-amalan di bulan Ramadhan. Semoga hidup kita beroleh keberkatan dan kemuliaan dari Allah s.w.t.
Dalam suasana menyambut Hari Raya Idul Fitri, adalah wajar ia disambut mengikut lunas-lunas yang digariskan oleh syarak serta tidak dicemari dengan perkara-perkara yang dilarang. Saya menyeru kepada semua kakitangan Jakim dan seluruh muslimin muslimat agar berusaha untuk memahami dan menghayati konsep hari raya yang sebenarnya. Sekiranya ia disambut di atas landasan agama, maka hari yang diraikan itu akan menjadi satu ibadah, tetapi jika ia disambut secara berlebihan, maka ditakuti ia akan menjadi dosa baru kepada kita setelah jiwa kita dibersihkan pada bulan Ramadhan. Rapatkanlah ukhuwah dengan jalinan silaturrahim, sebagai melengkapi tarbiyah ruhiyyah Ramadhan.
Bagi pihak pengurusan Jakim dan dan seluruh kakitangan, saya ingin mengucapkan Selamat Menyambut Idul Fitri 1430 Hijrah dan maaf zahir batin.
( DATO’ HJ. WAN MOHAMAD BIN DATO’ SHEIKH ABDUL AZIZ )
- Hits : 2791





