Program Lawatan dan Penyampaian Sumbangan Anak-Anak Yatim dan Asnaf as-Solihin

Banting, Selangor - Masjid Negara telah menganjurkan Program Lawatan dan Penyampaian Sumbangan kepada anak-anak yatim di Rumah Anak-Anak Yatim dan Asnaf As-Solihin, Banting, Selangor pada Rabu, 22 Jun 2011 bermula jam 11.00 pagi di sini, hari ini. Ianya merupakan salah satu program kebajikan di luar Masjid Negara dan ianya merupakan program tahunan yang dijalankan secara bergilir-gilir di Rumah Anak-Anak Yatim di sekitar Lembah Klang.

 

Program ini dihadiri oleh Wakil YBhg. Tan Sri Dato’ Imam Besar Masjid Negara, YBhg. Ustaz Ehsan bin Mohd. Hosni, Penolong Pengarah Kanan Unit Dakwah dan Ibadah Masjid Negara serta Pengurus merangkap Pengerusi Rumah tersebut, Puan Nor Haniza binti Shahbaki. Turut serta ialah Pegawai serta kakitangan Masjid Negara seramai 20 orang. Sumbangan berupa hamper, barang keperluan dan wang tunai diserahkan kepada kira-kira 100 orang anak-anak yatim dan asnaf yang berumur antara 1 tahun sehingga 17 tahun yang ditempatkan di Rumah Anak-Anak Yatim dan Asnaf As-Solihin, Kanchong Darat, Banting, Selangor ini.


Mengenai Rumah Anak Yatim dan Asnaf As-Solihin pula, ianya telah ditubuhkan pada bulan Januari 2010. Rumah ini beroperasi di Lot 839, Jalan Aman, Kanchong Darat, Banting, Selangor. Penubuhan rumah kebajikan ini dibuat atas dasar tanggungjawab sosial untuk melihat generasi yang lahir dari kalangan anak-anak yatim dan asnaf ini akan lebih terbina sahsiah serta keperibadian dan mempunyai asas pendidikan yang kukuh. Rumah kebajikan ini diusahakan dan diuruskan oleh Tuan Haji Molyana bin Mahmud dan beberapa orang tenaga sokongan serta sukarelawan.

Objektif utama program ini adalah untuk mengeratkan lagi hubungan di antara kakitangan Masjid Negara dengan petugas dan anak-anak yatim di sini di samping dapat memupuk budaya bersedekah di kalangan masyarakat. Ianya juga dapat memberi sedikit sinar keceriaan kepada anak-anak yatim di sini dan mereka akan merasa dihargai dan diingati apabila adanya program lawatan sebegini. Ianya juga dapat mendidik dan mendekatkan lagi kakitangan Masjid Negara dengan masyarakat luar di mana ianya berperanan dan dianggap sebagai memenuhi tanggungjawab sosial.

Bagi pihak Rumah Anak Yatim dan Asnaf As-Solihin ini pula, sebagai sebuah organisasi yang bergerak secara sukarela, pengurusan Rumah ini mempunyai keterbatasan untuk mengatur kegiatan menjana kewangan. Namun, keperluan untuk menggiatkan aktiviti kepada penghuni harus dilaksanakan secara berterusan. Justeru itu, keprihatinan masyarakat, institusi dan organisasi korporat amatlah diharapkan untuk membantu ke arah mereaslisasikan harapan ini.

Manakala bagi pihak Masjid Negara, di harap program sebegini akan sentiasa mendapat perhatian dan sokongan daripada orang ramai demi untuk terus mengimarahkan Masjid sebagai institusi untuk merapatkan hubungan silaturrahim sesama Islam selain melakukan amalan-amalan yang sedia menjadi kewajipan bagi umat Islam di Malaysia khasnya dan di dunia amnya.

 

Groups: