Program Minggu Halal Tingkat Kesedaran Penggunaan Produk Halal

<?xml:namespace prefix = o ns = "urn:schemas-microsoft-com:office:office" />

Jabatan Kemajuan Islam Malaysia (JAKIM) dan Kementerian Perdagangan Dalam Negeri dan Hal Ehwal Pengguna (KPDN & HEP) dengan kerjasama i-Pro Event Management telah berjaya mengadakan program Minggu Halal kepada orang awam dan para pengusaha industri halal di Malaysia.

Program yang berlangsung selama 3 hari bermula pada 15 hingga 17 Disember 2006 di Penang International Sport Arena (PISA) Pulau Pinang itu telah dirasmikan oleh Ketua Pengarah JAKIM, Dato’ Mustafa Abd. Rahman.

Pelbagai acara telah diadakan sempena program tersebut seperti pameran dan jualan produk halal, taklimat pensijilan halal oleh JAKIM, seminar keusahawanan dan sebagainya bertujuan memberi kesedaran kepada pengguna dan pengeluar mengenai kepentingan produk halal.

Dato’ Mustafa semasa berucap merasmikan program berkenaan telah menekankan betapa pentingnya persoalan halal dan haram khususnya dalam perkara makanan, minuman dan barang-barang-gunaan umat Islam.

“Pihak kerajaan di negara ini, amat prihatin dan mengambil berat persoalan halal dan haram yang menyentuh umat Islam di negara ini. Ini kerana persoalan halal dan haram dalam makanan umat Islam ada kaitannya dengan ibadah umat Islam. Sekiranya makanan halal lagi baik yang dimakan, maka ia akan memberi kesan yang positif ke arah pembangunan generasi yang baik budi bahasa dan akhlaknya”. Kata Dato’ Mustafa.

Turut hadir semasa majlis perasmian ialah Dato’ Wan Mohamad Dato’ Sheikh Abd. Aziz, Timbalan Ketua Pengarah Operasi JAKIM, Haji Sumali Amat, Timbalan Ketua Pengarah Pengurusan JAKIM, wakil pihak KPDN & HEP, Pengurus i-Pro Event, dan lain-lain tetamu jemputan.

Dato’ Mustafa dan tetamu-tetamu kenamaan yang lain turut mengambil kesempatan mengunjungi gerai-gerai pameran sambil beramah mesra dengan para peserta. Sebanyak lebih kurang 80 peserta telah mengambil bahagian dalam aktiviti pameran dan jualan yang disertai oleh pelbagai syarikat dan agensi yang berkaitan dengan pengeluaran dan penjualan produk halal di negara ini.