Program Pemulihan Aqidah Di Baitul Iman

Lawatan kajian ke Pusat Pemulihan Akidah(PPA) Baitul Iman telah diadakan oleh Bahagian Penyelarasan Penguatkuasaan Undang-undang JAKIM pada 14 Jun 2007. Objektif kajian dijalankan adalah untuk menilai keperluan penubuhan Pusat Pemulihan Aqidah dan masalah serta cabaran pelaksanaannya.

Pusat Pemulihan Aqidah perlu diwujudkan di negara ini selaras dengan Perlembagaan Persekutuan yang menyatakan bahawa Islam adalah Agama Rasmi Persekutuan. PPA ini ditubuhkan bertujuan membimbing serta memulihkan akidah bagi kumpulan yang terlibat dengan penyelewengan aqidah seperti ajaran sesat atau murtad supaya kembali kepada ajaran Islam sebenar.

<?xml:namespace prefix = o ns = "urn:schemas-microsoft-com:office:office" />

Setakat ini dua pusat seumpamanya telah diwujudkan di dalam negara ini antaranya Pusat Pemulihan Aqidah di Jelebu, Negeri Sembilan dan Pusat Pemulihan Aqidah Baitul Iman di Ulu Yam Bharu, Selangor. PPA Jelebu terletak di bawah pentadbiran JAKIM manakala PPA Baitul Iman di bawah pengurusan Majlis Agama Islam Selangor (MAIS).

Fungsi kedua-dua PPA adalah berbeza, di mana PPA Jelebu menerima pelatih secara sukarela di samping menganjurkan kursus dan latihan kepada individu serta agensi yang ingin mengikuti kursus berkaitan aqidah.

Pusat Pemulihan Aqidah Baitul Iman menjadi pusat tahanan kepada pesalah yang diperintahkan oleh Mahkamah Syariah bagi menjalani hukuman kerana melakukan kesalahan yang berhubungan dengan aqidah sama ada di Selangor atau negeri lain. Walaubagaimanapun dalam masa yang sama ia turut menempatkan kes-kes sukarela setelah mendapat kebenaran Pengarah Jabatan Agama Islam Selangor (JAIS).

Pusat yang beroperasi sejak tahun 2000 ini telah ditubuhkan di bawah peruntukan Seksyen 53 dan 54(1), Enakmen Jenayah Syariah (Selangor) No. 9 1995. Pusat ini mempunyai 20 orang pegawai dan kakitangan, serta berupaya menempatkan 50 orang pelatih bagi satu-satu masa.

Bajet tahunan bagi urusan pelatih dan pelaksanaan program telah diperuntukkan menerusi dana zakat di bawah asnaf al-riqab sebanyak RM 400, 000.00 setahun. Pengurusan dan pentadbiran pusat ini dibuat berpandukan kepada Peraturan-Peraturan Pusat Pemurnian Akidah Baitul Iman yang merupakan salah satu dari Arahan Tetap Pengarah JAIS.