WAKTU SOLAT BAGI KUALA LUMPUR, PUTRAJAYA
IMSAK : | SUBUH : | SYURUK : | ZOHOR : | ASAR : | MAGHRIB : | ISYAK :

TADABBUR KALAMULLAH 23 SYAWAL 1441H
FIKIRKAN KEBESARAN ALLAH
 
 
وَفِي أَنفُسِكُمْ ۚ أَفَلَا تُبْصِرُونَ
"Dan pada diri kamu, apakah kamu tidak memikirkannya."
[Surah az-Zariyat 21]
 
Allah swt memerintahkan agar kita memikirkan tentang kejadian diri kita dan juga makhluk-makhluk ciptaan Allah supaya dengan cara tersebut dapat menambahkan keyakinan dalam beriman kepada Allah SWT.
 
Imam at-Thabari berkata: Pandangan paling tepat dalam menjelaskan makna ayat ini adalah: "Pada diri kamu juga wahai umat manusia terdapatnya tanda-tanda kebesaran Allah dan juga ibrah yang menunjukkan kepada kamu akan keEsaan pencipta kamu. Dan sesungguhnya tidak ada Tuhan bagi kamu selainNya. Dari sudut tidak ada yang berkuasa menciptakan seperti ciptaanNya kepada kamu. Maka apakah kamu tidak merenung secara mendalam akan hal tersebut serta berfikir padanya. Nescaya kamu akan mengetahui hakikat keesaan Tuhan kamu’’. (Rujuk Tafsir at-Thabari)
 
Dengan berfikir tentang diri dan makhluk ciptaan Allah juga dapat membantu seseorang itu menambahkan lagi keimanan akan kekuasaan dan keagungan Allah SWT serta merasai kehebatan Allah swt. Firman Allah SWT:
 
قُلۡ سِیرُوا۟ فِی ٱلۡأَرۡضِ فَٱنظُرُوا۟ كَیۡفَ بَدَأَ ٱلۡخَلۡقَۚ ثُمَّ ٱللَّهُ یُنشِئُ ٱلنَّشۡأَةَ ٱلۡـَٔاخِرَةَۚ إِنَّ ٱللَّهَ عَلَىٰ كُلِّ شَیۡءࣲ قَدِیرࣱ
Katakanlah: "Mengembaralah kamu di muka bumi, serta lihatlah bagaimana Allah telah memulakan ciptaan makhluk-makhluk dari asal jadinya; kemudian Allah akan memulakan ciptaan itu semula (pada hari akhirat) dalam bentuk kejadian yang baharu. Sesungguhnya Allah Maha Kuasa atas tiap-tiap sesuatu."
[Surah al-Ankabut 20]
 
Firman Allah swt lagi:
 
إِنَّ فِي خَلْقِ السَّمَاوَاتِ وَالْأَرْضِ وَاخْتِلَافِ اللَّيْلِ وَالنَّهَارِ لَآيَاتٍ لِّأُولِي الْأَلْبَابِ الَّذِينَ يَذْكُرُونَ اللَّهَ قِيَامًا وَقُعُودًا وَعَلَىٰ جُنُوبِهِمْ وَيَتَفَكَّرُونَ فِي خَلْقِ السَّمَاوَاتِ وَالْأَرْضِ رَبَّنَا مَا خَلَقْتَ هَٰذَا بَاطِلًا سُبْحَانَكَ فَقِنَا عَذَابَ النَّارِ
"Sesungguhnya pada penciptaan langit-langit dan juga bumi serta pertukaran malam kepada siang, nescaya terdapat padanya tanda-tanda kebesaran Allah bagi golongan ulul albab. Iaitu golongan yang sentiasa mengingati Allah dalam keadaan berdiri, duduk, serta berbaring dan mereka memikirkan kepada penciptaan langit-langit dan juga bumi lalu mengatakan ‘’Wahai Tuhan kami, tidaklah Kau menciptakan kesemuanya ini secara sia-sia, maha suci Kamu maka peliharalah kami dari azab api neraka.’’
[Surah Aali Imran 190-191]
 
Berfikir tentang Allah juga dapat dilakukan melalui zikrullah dan membaca kalamNya yakni mengkaji al-Quran. Dengan zikrullah dan bacaan al-Quran akan mendekatkan kita kepada Allah, menambah keimanan dan merasai kehebatan dan keagungan Allah SWT. Bahkan perkara ini amat digalakkan oleh Islam.
 
Sabda Rasulullah saw:
 
وَرَجُلٌ ذَكَرَ اللَّهَ خَالِيًا فَفَاضَتْ عَيْنَاهُ
"Dan seorang lelaki yang mengingati Allah dalam keadaan bersendirian lalu berlinanglah kedua matanya (dengan airmata)."
(HR al-Bukhari)
 
Banyakkan berfikir tentang keunikan ciptaan manusia serta seluruh makhlukNya yang lain, moga dapat mengukuhkan pegangan dan keimanan kita kepada Allah. Jangan sesekali sibuk memikirkan hal dunia yang mengkhayalkan dan melalaikan kita daripada mengingati Allah SWT!
 
 
 



QR Code Portal JAKIM
Hakcipta © 2019 Jabatan Kemajuan Islam Malaysia
Kerajaan Malaysia dan JAKIM tidak bertanggungjawab atas kerugian atau kerosakan yang disebabkan oleh penggunaan dari setiap maklumat yang diperolehi daripada portal ini. Sesuai dilayari dengan menggunakan Internet Explorer versi 8 atau Mozilla Firefox versi 3 ke atas (dengan resolusi 1024 x 768)
Last Updated : 27 November 2020.
Jumlah Pelawat :12480621