Sinar Baharu Kepada Saudara Muslim

SINAR BAHARU KEPADA SAUDARA MUSLIM
 
MERLIMAU – Jabatan Kemajuan Islam Malaysia (JAKIM) dengan kerjasama Pertubuhan Kebajikan Islam Malaysia (PERKIM) Bahagian Negeri Melaka telah mengadakan Kursus Pemantapan Aqidah Saudara Muslim sempena Majlis Penyerahan Rumah PPRT Taman Saudara Muslim PERKIM Bahagian Negeri Melaka yang bertempat di Taman Saudara Muslim, Merlimau Melaka.
 
Sebanyak tiga kategori bantuan telah diberi diantaranya bantuan peralatan perniagaan dan bantuan ekonomi dapur yang telah disampaikan oleh Pengerusi PERKIM Bahagian Melaka Datuk Hj Abu Pit. Manakala penyerahaan untuk 5 buah rumah PPRT kepada golongan saudara muslim ini telah disempurnakan oleh YB. En. Roslan Ahmad; ADUN Merlimau.. Dalam masa sama, beliau dalam ucapannya merakamkan setinggi-tinggi penghargaan dan ucapan terima kasih yang tidak terhingga kepada semua yang menjayakan program ini khususnya pihak PERKIM dan JAKIM yang telah banyak menyumbangkan idea dan bantuan sehingga terlaksana program yang telah disertai oleh 250 orang saudara baharu Muslim itu.
 
Sementara itu, Pengarah Bahagian Dakwah Tuan Hj Ali B. Mohamad dalam ucapannya menyatakan bahawa beliau sangat menggalakkan program seperti ini dalam memperkukukan akidah serta akhlak saudara-saudara baharu Muslim supaya lebih mengenal erti ajaran Islam yang sebenar. Sehubungan itu, Jakim akan sentiasa membantu lebih-lebih lagi dari sudut kerahonian bersama-sama dengan badan NGO Islam, PERKIM Pusat dan Sekretariat NGO yang lain.
 
Jakim sebagai agensi agama di peringkat Persekutuan dan juga Jabatan Agama Islam Negeri-Negeri telah, sedang dan akan merancang untuk melaksanakan aktiviti-aktivi berbentuk bengkel, kelas pengajian, kursus, seminar dan ziarah ukhuwah saudara muslim di peringkat Negeri dan Persekutuan yang terdiri daripada saudara muslim seluruh Malaysia.
 
Beliau juga menggalakkan program-program seperti ini diteruskan dan JAKIM akan cuba sentiasa membantu dari semasa ke semasa. Tidak lupa juga, beliau mengucapkan syabas dan tahniah kepada Badan-badan Bukan Kerajaan (NGO) pada hari ini, khususnya PERKIM yang aktif dalam menjayakan program-program seperti ini. Beliau juga berharap agar jalinan antara PERKIM Bahagian Melaka, Jabatan Agama Islam Melaka (JAIM) dan JAKIM akan berterusan. Oleh itu, saudara baharu Muslim haruslah memperkasakan diri mereka dengan ilmu Islam agar mampu berdiri setanding Muslim-muslim yang lain.
 
Orang ramai selepas itu menyaksikan penyampaian sijil dan cenderahati serta upacara memotong riben dan lawatan ke 5 buah rumah PPRT berkenaan. Majlis juga diakhiri dengan jamuan makan dan ramah mesra bersama penduduk yang berdekatan.
 
Dengan penganjuran program seperti ini diharap dapat memberi banyak manfaat dan kebaikan kepada semua pihak khususnya saudara baharu Muslim  di seluruh negara dan menjadikan akidah sebagai teras untuk mendapatkan kejayaan cemerlang di dunia dan di akhirat kelak.