TAKLIMAT KEPUTUSAN FATWA SKIM AR-RAHN INSTITUT LATIHAN ISLAM MALAYSIA (ILIM) 13 OKTOBER 2008/13 SYAWAL 1429H
PERUTUSAN Y. BHG. TUAN HAJI OTHMAN BIN MUSTAPHA
TIMBALAN KETUA PENGARAH (OPERASI)
JABATAN KEMAJUAN ISLAM MALAYSIA
SEMPENA
TAKLIMAT KEPUTUSAN FATWA SKIM AR-RAHN
INSTITUT LATIHAN ISLAM MALAYSIA (ILIM)
13 OKTOBER 2008/13 SYAWAL 1429H
Assalamualaikum w.b.t.
Yang berusaha saudara Pengerusi Majlis,
Yang dihormati panel-panel jemputan
Sahibus Samahah Dato’ Seri Utama Diraja Dato’ Setia Haji Mohd. Tamyes bin Abd. Wahid, Mufti Negeri Selangor,
Y. Bhg. Prof. Madya Datin Dr. Paizah binti Haji Ismail, Panel Kajian Syariah,
Dr. Muhammad Yamin bin Ismail, Pengurus BaitulMal,
Dato’-Dato’, Datin-Datin, Tuan-Tuan dan Puan-Puan yang dihormati sekalian.
Syukur ke hadrat Allah S.W.T kerana dengan limpah kurnia-Nya dapat kita berkumpul bersama hari ini untuk mendengar taklimat keputusan fatwa skim al-Rahn.
Dato’-Dato’, Datin-Datin, Tuan-Tuan dan Puan-Puan yang dirahmati Allah,
Skim ar-Rahn telah mula diperkenalkan di Malaysia semenjak tahun 1992. Aktiviti ini dikawalselia oleh peraturan-peraturan dalaman (internal regulations) di institusi-institusi yang menawarkan skim ini. Tiada peruntukan perundangan yang khusus bagi skim ini. Oleh yang demikian, timbul persoalan bentuk perlaksanaan yang dibenarkan oleh syarak. Justeru, Jabatan Kemajuan Islam Malaysia (Jakim) melalui Muzakarah Jawatankuasa Fatwa Majlis Kebangsaan Bagi Hal Ehwal Ugama Islam Malaysia telah bersidang dan mengeluarkan fatwa berkenaan perlaksanaan skim al-Rahn.
Dato’-Dato’, Datin-Datin, Tuan-Tuan dan Puan-Puan yang dirahmati Allah,
Taklimat Keputusan Fatwa Skim Al-Rahn yang diadakan pada hari ini bertujuan mewar-warkan kepada pihak yang menawarkan perkhidmatan skim al-Rahn serta pihak berwajib yang mengawal selia perlaksanaan al-Rahn mengenai keputusan Muzakarah Jawatankuasa Fatwa Kebangsaan Bagi Hal Ehwal Ugama Islam Malaysia berhubung pelaksanaan Skim Pajak Gadai (al-Rahn) di Malaysia. Taklimat ini juga boleh dijadikan sebagai satu platform ke arah penggubalan Akta Pemegang Pajak Gadai Islam supaya dapat menjadi garis panduan dalam pelaksanaan Skim Al-Rahn di Malaysia.
Hadirin hadirat sekalian,
Jakim juga mengharapkan agar dengan berlangsung program hari ini dapat membuka ruang bagi tujuan percambahan idea dan buah fikiran di kalangan pelbagai agensi serta institusi yang menawarkan perkhidmatan skim al-Rahn ke arah menyeragamkan pelaksanaan al-Rahn di Malaysia. Jakim mengharapkan agar taklimat seperti ini dapat memberi manfaat yang berguna kepada semua yang hadir sama ada terlibat secara langsung dalam skim ar-Rahn atau tidak.
Melalui program ini juga Jakim amat mengharapkan agar para hadirin dan hadirat sekalian dapat memberi input dan maklum balas berhubung perlaksanaan skim al-Rahn. Maklum balas dan input yang diberikan amat berguna pada Jakim bagi menilai kedudukan fatwa skim al-Rahn sama ada sesuai dijadikan satu garis panduan kepada semua institusi yang menawarkan skim ini atau sebaliknya.
Oleh itu, Jakim amat berharap agar semua jemputan yang hadir pada hari ini dapat melibatkan diri dengan memberi idea, pandangan dan maklumat sekaligus dapat membantu Jakim menjadi sebuah agensi kerajaan yang disegani.
Hadirin hadirat sekalian,
Harapan Jakim amat menggunung agar taklimat pada hari ini dapat menghasilkan rumusan yang dapat memberi sumbangan kepada kelangsungan dan perkembangan perkhidmatan skim al-Rahn di Malaysia seterusnya mencapai keberkatan dan keredhaan Allah S.W.T.
Akhir sekali saya mengucapkan terima kasih tak terhingga kepada panel-panel jemputan yang sudi hadir ke majlis taklimat ini. Begitu juga kepada jemputan-jemputan dari pelbagai agensi dan institusi yang berkaitan. Terima kasih sekali lagi di atas sokongan yang tidak berbelah bahagi kepada usaha untuk memartabatkan perkhidmatan skim al-Rahn. Semoga Allah S.W.T jua yang membalas segala jasa baik dan sumbangan yang telah diberikan.
- Hits : 2673





