Kurator Berita : Bahagian Dasar Kemajuan Islam

MULTAQA PEGAWAI MASJID, GURU TAKMIR DAN GURU KAFA

PERINGKAT NEGERI SELANGOR 2016

PADA : 28 APRIL 2016

TEMPAT: AUDITORIUM DEWAN JUBLI PERAK,

BANGUNAN SULTAN ABDUL AZIZ, SHAH ALAM, SELANGOR

 

Duli Yang Maha Mulia Sultan Sharafuddin Idris Shah AlHaj Ibni AlMarhum Sultan Salahuddin Abdul Aziz Shah AlHaj telah berkenan untuk merasmikan program Multaqa Pegawai Masjid, Guru Takmir Dan Guru Kafa Peringkat Negeri Selangor 2016pada 28 April  2016 bertempat di Dewan Jubli Perak, Bangunan Sultan Abdul Aziz, Shah Alam, Selangor. Program yang dianjurkan oleh JAKIM melalui Bahagian Kemajuan Islam dengan kerjasama Jabatan Agama Islam Selangor (JAIS)  ini telah dihadiri oleh 1200 orang peserta yang terdiri daripada Pegawai Masjid, Guru Takmir dan Guru KAFA dari seluruh Negeri Selangor. Turut hadir dalam majlis perasmian ialah YAB. Dato’ Seri Mohamed Azmin bin Ali- Menteri Besar Selangor, YB. Mejar Jeneral Dato’ Seri Jamil Khir bin Hj. Baharom (B) -Menteri di Jabatan Perdana Menteri,  YB Datuk Seri Hj Noh bin Omar -   Ahli Parlimen Tanjung Karang, YBhg. Dato’ Haji Othman bin Mustapha -Ketua Pengarah Jakim, Pengarah JAIS dan dif-dif kehormat.

Multaqa ini dimulakan dengan sesi pembentangan yang bertajuk “Halal dan Isu-isu Semasa Umat Islam” oleh Ustaz Mohd Amri bin Abdullah- Penolong Pengarah Kanan Bahagian Hab Halal Jakim. Sesi pembentangan ini merupakan pendedahan kepada peserta berkaitan isu-isu berkaitan produk halal di Malaysia yang perlu difahami dan seterusnya disebar luaskan kepada masyarakat setempat.

Pengisian program seterusnya berbentuk Forum Khas dari panelis yang berpengalaman dan arif dalam bidang-bidang masing-masing dengan tajuk: “Wasatiah Ahli Sunnah Wal Jamaah Dalam Memperkasa Ummah”. Forum telah dipengerusikan oleh YBrs. Ustaz Abdul Halem Hapiz bin Salihin, Ketua Penolong Pengarah Bahagian Penyelidikan dan Pembangunan JAIS, manakala panel terdiri daripada S.S Dr Anhar bin Opir, Timbalan Mufti Negeri Selangor, YBhg Dato’ Prof. Haji Mahamad Naser bin Disa, Ketua Pegawai Eksekutif Institut Kajian Strategik Islam Malaysia (IKSIM) dan YBhg. Dr Mohd Farid bin Mohd Shahran, Pengarah Pusat Kajian Syariah, Undang-Undang dan Politik IKIM.

Majlis perasmian Multaqa dimulakan dengan sembah ucapan aluan oleh YBhg Dato’ Haris bin Kasim - Pengarah JAIS.  Dalam majlis tersebut, DYMM Sultan Selangor turut berkenan untuk menyampaikan anugerah penghargaan kepada Imam, Guru Takmir, Penyelia KAFA dan Guru KAFA dengan masing-masing menerima RM5,000.00 beserta sijil penghargaan. Anugerah Sekolah KAFA terbaik menerima RM10,000.00 dan sijil penghargaan.

DYMM Sultan Selangor juga berkenan menerima Mock Cheque sumbangan Kerajaan Persekutuan berjumlah RM37,963,200.00 bagi bayaran imbuhan imam, guru takmir, guru KAFA dan PPMD Negeri Selangor yang disampaikan oleh YB Menteri di Jabatan Perdana Menteri. Baginda turut berkenan melancarkan buku ‘Tokoh Ulama Melayu Nusantara’ yang diterbitkan oleh Jabatan Agama Islam Selangor.

Dalam titah ucapan semasa merasmikan program ini, Baginda menegaskan agar sekalian rakyat berpegang teguh dengan akidah Ahli Sunnah Wal Jamaah. Baginda turut merakamkan ucapan terima kasih Kerajaan Persekutuan dengan peruntukan yang disumbangkan kepada Kerajaan Negeri Selangor. 

 

multaqa selangor 20162

multaqa selangor 20163

multaqa selangor 20164

multaqa selangor 20165

multaqa selangor 20167