Teks Ucapan Menteri di JPM, YB Senator Mejar Jeneral Dato' Jamil Khir Bin Hj. Baharom Bersempena Majlis Perasmian Multaqa Guru SMAN/SMAR Kedah 2009

YB SENATOR MEJAR JENERAL DATO’ JAMIL KHIR BIN HJ BAHAROM (B), MENTERI DI JABATAN PERDANA MENTERI
SEMPENA MAJLIS PERASMIAN MULTAQA GURU SMAN/SMAR

NEGERI KEDAH TAHUN 2009

 

 


TARIKH : 14 NOVEMBER 2009
TEMPAT : CINTA SAYANG GOLF & COUNTRY RESORT, SG. PETANI, KEDAH.
MASA : 11.00 PAGI.
--------------------------------------------------------------
 

Assalamualaikum

 


Tahmid dan selawat.

 


Terima kasih pengerusi majlis,

 


- Y.B. Dato’ Hj Mohamed Taulan bin Mat Rasul, Exco Agama & Pelajaran Negeri Kedah.

 


- Y.Bhg Dato’ Hj Wan Mohamad bin Dato’ Sheikh Abdul Aziz, Ketua Pengarah JAKIM.

 


- Y.Bhg Tn. Hj. Othman bin Musthapa, Timbalan Ketua Pengarah (Operasi), JAKIM.

 


- Y.Bhg Dato’ Sheikh Uzir bin Hj baharom, Yang Di Pertua MAIK.

 


- Y.Bhg Dato’ Hj Kharuddin bin Hj Zain, Pengarah Jabatan Hal Ehwal Agama Islam Kedah.

 


- Y.Bhg Dato’-Dato’,

 


- Tuan-tuan dan puan-puan yang dikasihi.

 


1. Alhamdulillah, syukur saya ke hadrat Allah SWT kerana dengan limpah kurnia-Nya kita dapat sama-sama berkumpul pada hari ini untuk majlis Perasmian Multaqa’ Guru-guru Sekolah Menengah Agama Negeri (SMAN) dan Sekolah Menengah Agama Rakyat (SMAR) Negeri Kedah bagi tahun 2009.

 


2. Terlebih dahulu saya mengucapkan syabas dan terima kasih kepada Y.Bhg Dato’ Hj Wan Mohamad bin Dato’ Sheikh Abdul Aziz, Ketua Pengarah JAKIM dan Pengarah Jabatan Hal Ehwal Agama Islam Kedah selaku penganjur bersama, kerana berjaya mengadakan multaqa ini. Saya juga berharap agar program seumpama ini dapat diteruskan dari semasa ke semasa. Insya Allah, saya akan memberi perhatian dan keutamaan kepada usaha untuk memartabatkan pendidikan Islam di negara ini. Terima kasih juga kepada Tuan/Puan kerana begitu bersemangat menghadiri program ini pada kali.

 


Y. Bhg. Dato’-Dato’/Tuan-Tuan/Puan-Puan para peserta Multaqa’.

 


3. Kita seharusnya berbangga dengan pencapaian dan perkembangan pendidikan ummah masa kini. Sistem pendidikan Islam turut mengalami perubahan secara drastik dan struktur oerganisasinya ditambahbaik dari semasa ke semasa berdasarkan keperluan masyarakat dan negara. Kalau dahulu masyarakat berbangga dengan adanya sistem pendidikan secara pondok/madrasah kini sistem ini juga turut mengalami perubahan dan telah memberi banyak faedah kepada para pelajar.

 


4. Pada hari ini kerajaan melalui JAKIM dan agensi agama yang mengurus pendidikan Islam di negeri-negeri sentiasa berusaha memastikan pelajar sekolah agama tidak tertinggal/terpinggir dari arus pendidikan national dengan menyediakan berbagai kemudahan serta peluang pembelajaran yang lebih sistematik dan berdaya saing.

 


5. Tuan-tuan dan puan-puan yang bertanggungjawab secara langsung dalam bidang pendidikan khususnya pendidikan Islam adalah sebagai agen penggerak dan perubah untuk sering berbincang dan mencari idea bagi meningkatkan lagi mutu pengajaran dan pembelajaran yang telah dilaksanakan selama ini. Kita sewajarnya tidak mudah rasa berpuashati dengan apa yang telah dimiliki selama ini melainkan akan sentiasa ingin lebih baik lagi.

 


6. Saya juga menaruh keyakinan yang tinggi kepada tuan/puan semua di atas usaha dan pengorbanan yang dilakukan selama ini dalam mengurus dan mentadbir sekolah-sekolah agama dan membawa kemajuan kepadanya.

 


Tuan-tuan dan puan-puan,

 


7. Sebenarnya bukan di negara kita sahaja yang memperjuangkan isu pendidikan agama ini, bahkan negara lain juga demikian. Baru-baru ini, sembilan negara (E-9) di bawah UNESCO (United Nations Educational, Scientific and Cultural Organization juga berbincang mengenai usaha untuk mempertingkatkan kualiti sekolah-sekolah agama. Malaysia turut dijemput sebagai pemerhati. Isu yang dibincangkan juga adalah sama seperti yang kita sedang lakukan iaitu mewujudkan satu model sekolah agama moden dan menyediakan keperluan latihan kepada guru-guru. Hal ini diperlukan bagi meningkatkan tahap kecekapan dan profesionalisma pentadbiran pendidikan sekolah serta guru-guru.

 


8. Dengan perkembangan dan penambahbaikan terhadap sistem pendidikan Islam di negara kita, kerajaan melalui JPA telah bersetuju memperakukan sijil STAM setaraf dengan STPM dan lulusan STAM layak untuk memohon jawatan kerajaan bergred 27. Oleh itu saya berharap dengan pengiktirafan ini, STAM akan diperkasakan lagi dari semasa ke semasa bagi menjamin kualiti dan mutunya setanding dengan pengiktirafatn tersebut. Maka apa sahaja yang berkaitan dengannya seperti pengurusan, peperiksaan, kurikulum, buku teks, tenaga pengajar (guru), latihan kemahiran guru sama ada dalam negara atau luar negara perlu diberi perhatian dan keutamaan.

 


Y.Bhg Dato’/tuan/puan yang dikasihi,

 


9. Di sini saya ingin mengambil kesempatan memaklumkan bahawa kerajaan sentiasa memberi perhatian dan komitmen yang tinggi terhadap sistem dan pengurusan pendidikan Islam di negara ini. Sejajar dengan hasrat untuk membangun dan melahir modal insan yang berkualiti dan berpengetahuan tinggi, kerajaan telah memperkenalkan program pendaftaran sekolah-sekolah agama negeri dan rakyat pada tahun 2004 sebagai Sekolah Agama Bantuan Kerajaan (SABK). Program ini bertujuan untuk membantu meningkatkan kualiti pengurusan dan pentadbiran sekolah, melengkapkan prasarana, menyediakan bantuan kewangan dan memelihara kebajikan guru serta murid.

 


10. Program pendaftaran ini adalah merupakan satu langkah yang baik dan seharusnya diterima oleh negeri. Pada masa ini terdapat sebanyak 303 buah Sekolah Menengah Agama seluruh negara iaitu 126 buah Sekolah Menengah Agama Negeri (SMAN) dan 177 buah Sekolah Menengah Agama Rakyat (SMAR). Mengikut statistik terkini bilangan Sekolah Agama Negeri dan Rakyat yang telah berdaftar di bawah program Sekolah Agama Bantuan Kerajaan (SABK) adalah 139 buah (45.87%) iaitu 60 buah SMAN dan 79 buah SMAR. Manakala hanya 17 buah daripada 2,255 Sekolah Rendah Ag
ma Negeri dan Rakyat (0.75%) yang berdaftar di bawah program SABK ini seluruh negara.

 


11. Bagi Negeri Kedah, bilangan sekolah Sekolah Menengah Agama Negeri (SMAN) adalah sebanyak 12 buah dan Sekolah Menengah Agama Rakyat (SMAR) sebanyak 28 buah. Hanya 14 buah (50%) daripada Sekolah Menengah Agama Rakyat sahaja yang berdaftar sebagai SABK manakala Sekolah Menengah Agama Negeri belum ada yang berdaftar buat masa ini. Sementara itu terdapat sebanyak 10 buah Sekolah Rendah Agama Rakyat di Kedah namun begitu semuanya tidak berdaftar.

 


Tuan-puan para guru semua,

 


12. Saya berasa teruja untuk mengetahui mengapa sekolah SMAN dan SRAR ini tidak memilih untuk menerima program yang diperkenalkan ini?

 


Y. Bhg. Dato’-Dato’/Tuan-Tuan/Puan-Puan,

 


Kita semua tahu bahawa melalui pendidikan Islam diyakini dapat membantu mengurang masalah-masalah kemerosotan sosial dan kerapuhan akidah yang memporakperandakan kehidupan masyarakat. Ia dikesan berlaku akibat dari kurangnya ilmu agama serta kehidupan pula tidak disulami dengan penghayatan dan amalan.

 


Saya sedar Dato’-Dato’/Tuan-Tuan/Puan-Puan yang bertugas di sekolah agama ini bertugas penuh dengan keikhlasan, oleh itu saya yakin para guru mampu untuk mempersiapkan golongan lepasan Sekolah Agama sebagai remaja/belia yang mempunyai kualiti, mampu menghadapi cabaran dan persaingan, dinamik dan kreatif, berdisiplin serta beretika. Golongan inilah yang akan berperanan untuk membentuk generasi masa depan dan bertindak sebagai pembina personaliti yang beriman, berilmu dan beramal serta sebagai pembina masyarakat dunia yang mengutamakan perdamaian, bermaruah, dan saling hormat-menghormati.

 


Sekiranya ada pihak yang bersedia membantu kita terutama dari segi meningkatkan keupayaan pengurusan, melengkapkan prasarana untuk pembelajaran dan pengajaran, dan kebajikan guru serta pekerja-pekerja, maka sudah tentu akan memberi impak yang lebih baik lagi, contohnya kalau masa ini masih menjadi guru sambilan, kontrak atau sebagainya tetapi selepas berdaftar guru-guru yang mempunyai kelayakan akan dilantik ke jawatan tetap ataupun dinaikkan pangkat di samping kemudahan-kemudahan yang lain sudah tentu ianya patut difikirkan bersama.

 


Saya mengucapkan terima kasih kepada JAKIM dan JAIN yang sentiasa berusaha untuk meningkatkan kualiti dan kecekapan Sekolah Menengah Agama Negeri dan Rakyat serta pelajarnya khususnya dalam menyediakan maklumat dan latihan-latihan, antaranya Kursus P&P kepada para guru STAM, wacana kecemerlangan pelajar STAM, menyemak dan mengemaskini kurikulum, menyediakan modul-modul latihan dan lain-lain.

Saya mengucapkan tahniah dan syabas kepada semua pihak yang terlibat dalam pendidikan agama di negara ini kerana telah berjaya meningkatkan pencapaian pelajar-pelajar dalam setiap aktiviti kurikulum dan ko-kurikulum, khususnya dalam peperiksaan STAM di mana setiap tahun terus cemerlang.

 


Y. Bhg. Dato’-Dato’/Tuan-Tuan/Puan-Puan,

 


Saya mengharapkan usaha cemerlang ini akan diteruskan memandangkan generasi kini sebagai pewaris umah. Adalah perlu ditekankan pembelajaran agama kepada mereka kerana dalam abad informasi melalui tekologi digital amat memerlukan penampilan berkualiti serta berhikmah agar mampu membezakan kebenaran dan kebatilan. Dewasa ini pelbagai fahaman dan ajaran sesat cuba mempengaruhi dan menarik masyarakat untuk menjadi pengikutnya. Insya Allah dengan keilmuan yang kukuh akan melahirkan manusia muslim yang tinggi ketaqwaan dan sentiasa beramal soleh.

 


Marilah kita berikrar sama-sama membantu dan bekerjasama dengan pihak berkuasa agama dalam menangani isu-isu pendidikan Islam khususnya mengurang dan menghapus kejahilan di kalangan masyarakat Islam dan meningkatkan pengetahuan Islam mereka sebaik mungkin sepanjang masa. Ini kerana pendidikan Islam menjadi teras kepada pembinaan tamaddun ummah yang cemerlang.

 


Berdasarkan tanggungjawab tersebut, maka kita perlu memperkasakan pendidikan Islam sehingga di peringkat global. Untuk itu kita perlu memikirkan dan merancang berbagai program untuk meningkatkan kemahiran agar setanding dengan ilmuan aliran lain supaya kita mampu membaiki kelemahan dan kekurangan kita dan masyarakat.

 


Setakat ini sahaja yang ingin saya sampaikan dan sekiranya tuan-puan ada pandangan serta buah fikiran untuk meningkatkan lagi martabat pendidikan Islam saya mengalu-alukan pandangan tersebut dan kemukakan kepada JAKIM untuk tindakan.

 


Untuk akhirnya, bagi menyempurnakan majlis perasmian Multaqa Guru SMAN/SMAR, dengan lafaz ‘BISMILLAHIRRAHMANIRRAHIM’ saya merasmikan majlis Multaqa Guru Sekolah Menengah Agama Negeri (SMAN) dan Sekolah Menengah Agama Rakyat (SMAR) Negeri Kedah tahun 2009.


Sekian terima kasih.