TEKS UCAPAN PERASMIAN MENTERI DI JABATAN PERDANA MENTERI BAGI MAJLIS PERASMIAN MUZAKARAH PANEL-PANEL PENASIHAT SYARIAH INSTITUSI KEWANGAN DI MALAYSIA PADA 18 JUN 2009, DI HOTEL PAN PACIFIC KLIA
PERASMIAN
YB. MEJAR JENERAL DATO’ JAMIL KHIR BIN HJ BAHAROM (B)
MENTERI DI JABATAN PERDANA MENTERI
MAJLIS PERASMIAN MUZAKARAH PANEL-PANEL PENASIHAT SYARIAH INSTITUSI KEWANGAN DI MALAYSIA
18 JUN 2009
HOTEL PAN PACIFIC KLIA
_____________________________________________________________________
Bismillahirrahmanirrahim., Assalamualaikum wr. wbth.
Y.Amat Berbahagia Tun Abdul Hamid bin Haji Mohamad,
Ahli Majlis Penasihat Syariah Bank Negara Malaysia
Y.Bhg. Prof. Dato’ Dr. Abdul Shukor bin Haji Husin
Pengerusi Muzakarah Ahli-Ahli Majlis Penasihat Syariah Institusi Kewangan di Malaysia kali ke-5 Merangkap Pengerusi Muzakarah Jawatankuasa Fatwa Majlis Kebangsaan Bagi Hal Ehwal Agama Islam.
Y. Bhg. Dato’ Haji Wan Mohamad bin Dato’ Sheikh Abd. Aziz,
Ketua Pengarah Jabatan Kemajuan Islam Malaysia
Y.Bhg. Tan Sri Sheikh Ghazali bin Abdul Rahman
Pakar Rujuk Muzakarah Ahli-Ahli Majlis Penasihat Syariah Institusi Kewangan di Malaysia
Sahibussamahah Dato’ Haji Hassan bin Haji Ahmad,
Mufti Negeri Pulau Pinang merangkap Pakar Rujuk Muzakarah Ahli-Ahli Majlis Penasihat Syariah Institusi Kewangan di Malaysia
.
Pegawai-Pegawai Kanan Jakim, Para Pembentang Kertas Kerja, Wakil-wakil Bank Negara, Suruhanjaya Sekuriti, wakil-wakil institusi perbankan dan kewangan Islam, serta rakan-rakan media,
Alhamdulillah, saya bersyukur ke hadrat Allah S.W.T. kerana dengan limpah kurnia-Nya, kita bertemu di sini bagi menjayakan Muzakarah Ahli-ahli Penasihat Syariah, Institusi Kewangan Di Malaysia Kali Ke Lima. Terlebih dahulu saya mengucapkan terima kasih kepada pihak penganjur iaitu Jabatan Kemajuan Islam Malaysia (JAKIM) kerana memberi kesempatan kepada saya untuk menyampaikan ucaptama dan seterusnya merasmikan Muzakarah pada kali ini.
PENDAHULUAN
Saya amat berbesar hati kerana dapat bersama-sama dalam satu majlis penting, yang menggembleng usaha, kepakaran dan intelek pakar-pakar syariah dan golongan profesional dalam menjayakan Muzakarah Ahli-Ahli Panel Penasihat Syariah Institusi Kewangan di Malaysia Kali Ke-5.
Saya sekali lagi ingin merakamkan setinggi-tinggi tahniah kepada JAKIM di atas inisiatif menghimpunkan pakar-pakar kewangan Islam di negara ini. Melalui forum ini, saban tahun pelbagai isu mengenai muamalah dan kewangan Islam dapat diketengah dan dibahaskan bagi mencari penyelesaian yang tuntas dan bernas dari aspek teori dan aplikasinya.
SENARIO KEGAWATAN EKONOMI DUNIA
Dunia hari ini sedang berdepan dengan krisis kegawatan ekonomi yang tercetus ekoran daripada krisis subprima di Amerika Syarikat yang mengakibatkan pihak bank terpaksa menanggung hutang tertunggak yang tinggi sehingga melumpuhkan sektor kredit global. Situasi tersebut memberikan kesan langsung serta mencetuskan kesan rantaian hingga mengundang kejatuhan pasaran saham dan kewangan di seluruh dunia. Menurut Amartya Sen, penerima Hadiah Nobel Ekonomi dalam The New York Review Books, “berkemungkinan terjadinya kemerosotan yang mendadak dan banyak ahli ekonomi menjangkakan akan berlaku kemerosotan besar-besaran malah sebesar kemelesetan pada tahun 1930-an.” Sementara itu, Presiden Bank Dunia, Robert Zoellick dalam satu kenyataannya turut meramalkan ekonomi dunia akan menyusut sebanyak satu peratus hingga dua peratus pada tahun 2009, dan menambah bahawa kesukaran akan berlanjutan sehingga tahun 2010.
SISTEM KEWANGAN ISLAM SEBAGAI ALTERNATIF
Ketika masyarakat global berdepan dengan cabaran getir yang berakar umbi daripada pergolakan dalam sistem kewangan konvensional, terdapat peluang dan ruang untuk sistem kewangan Islam bercambah dan berkembang di atas prinsip, kerangka dan norma murni yang selaras dengan tuntutan syari’i. Namun impian yang ingin dikecapi bukanlah semudah yang dijangka kerana ia menagih usaha yang bersepadu dan jitu daripada semua pihak yang terlibat secara langsung dalam industri tersebut.
Bagi mencapai sasaran tersebut, terdapat 3 aspek penting yang perlu diberikan perhatian. Pertama mewujudkan industri kewangan Islam yang robust iaitu yang benar-benar utuh, kukuh, berdaya maju dan mapan bagi menghadapi sebarang krisis dan cabaran. Kedua, menggalakkan pertumbuhan dan perkembangan landskap kewangan Islam berteraskan kepada instrumen yang berdaya saing, kreatif dan inovatif, dan ketiga, pemantapan aspek kawal selia peraturan dan perundangan bagi mendepani persekitaran kewangan global yang kian mencabar.
MODAL INSAN YANG BERKUALITI BAGI MENYOKONG INDUSTRI
Pada awalnya, industri kewangan Islam dilihat sebagai pilihan alternatif bagi memenuhi keperluan 1.6 bilion umat Islam di seluruh dunia. Namun, perkembangan beberapa tahun kebelakangan ini menunjukkan industri ini mula mendapat tempat dan perhatian daripada masyarakat non-Muslim. Malah beberapa negara yang majoriti rakyatnya bukan beragama Islam seperti Singapura, Hong Kong, United Kingdom, Perancis dan Jepun sudah mula menunjukkan minat untuk mempromosikan kewangan Islam. Negara-negara maju ini kini sedang giat merekrut kepakaran dalam bidang kewangan Islam untuk merealisasikan hasrat menjadi hub kewangan dunia.
Berdasarkan data terkini yang dikeluarkan oleh Universiti Islam Antarabangsa Malaysia, industri kewangan Islam global memerlukan sehingga 2 juta pekerja mahir dalam bidang berkenaan berbanding 92,000 orang pada tahun 2007. Ini menunjukkan bahawa setiap tahun, terdapat permintaan terhadap 135,000 orang secara purata untuk menyokong perkembangan industri ini. Dalam era kegawatan ini kita menyaksikan begitu ramai orang telah hilang pekerjaan dalam pelbagai sektor, namun senario yang sebaliknya yang telah berlaku dalam industri kewangan Islam.
Malaysia dan negara-negara Islam yang seangkatan seharusnya tidak berpeluk tubuh sebaliknya harus komited untuk terus memperluaskan penguasaan dalam bidang ini dengan memberi fokus kepada usaha melahirkan modal insan yang dinamik, berkepakaran tinggi, berkualiti dan berinovasi. Ahli-ahli panel penasihat syariah sedia ada harus terus meningkatkan kepakaran, kompetensi dan integriti dalam bidang berkenaan sejajar dengan tuntutan dan cabaran semasa menerusi program latihan berterusan.
INSTRUMEN KEWANGAN YANG SELARI DENGAN HUKUM
Di sebalik keghairahan merebut title hub kewangan antarabangsa atau one stop centre yang menawarkan variasi instrumen kewangan, tumpuan harus diberikan dalam melahirkan satu standard global yang harmoni dari segi produk dan operasi. Usaha perlu diperkasa bagi mewujudkan produk-produk kewangan yang berdaya saing dan fleksibel yang memenuhi keperluan masyarakat dan industri.
Meskipun wujud perbezaan pendapat di kalangan sarjana Islam dalam menentukan sama ada sesuatu produk perlu lahir dari prinsip syariah yang tulen (shariah based) atau patuh syariah (shariah compliant), masih terdapat risiko bahawa sesuatu produk baru yang ditawarkan dalam pasaran dari segi ruh dan prinsipnya merupakan produk konvensional tetapi telah mendapat label Islam kesan daripada penafsiran longgar dari aspek hukum atau kaedah fiqh Islam. Lantaran itu timbullah polemik yang mengatakan bahawa produk kewangan Islam yang berada dalam pasaran sebenarnya adalah carbon copy kepada produk konvensional.
Oleh itu, terdapat keperluan mendesak agar instrumen kewangan Islam yang berada dalam pasaran sentiasa diaudit dan dipantau. Yang paling utama, produk kewangan Islam mestilah bercirikan perkara berikut iaitu bebas daripada unsur riba, maysir/qimar, telus, berasaskan perkongsian untung rugi, pembiayaan yang bersandarkan kepada aset dan tidak menindas pengguna.
PENGGUNAAN DINAR EMAS
Kejatuhan sistem kewangan konvensional yang berpaksikan kepada fiat money atau penghasilan wang yang tidak disandarkan kepada aset merupakan punca berlakunya keruntuhan kredit atau credit crunch yang memberi impak kepada kemelesetan ekonomi dunia. Timbul persoalan bagaimana hutang yang bernilai sebanyak US11 trilion wujud dalam subprime mortgage sedangkan hanya terdapat US1.3 trilion wang kertas yang berlegar dalam pasaran?
Dalam situasi yang tidak menentu ini, bank-bank Islam kelihatan stabil kerana dilindungi oleh rangkaian aset dan tidak bersandarkan kepada hutang. Namun disebabkan bank-bank Islam turut mempunyai perkaitan dengan bank-bank konvensional, institusi-institusi ini tidak dapat lari daripada gelombang kegawatan.
Oleh itu, sudah tiba masanya umat Islam memberikan pertimbangan secara serius untuk beralih kepada penggunaan matawang dinar emas iaitu penghasilan matawang yang bersandarkan kepada emas. Kajian mengenai pelaksanaan penggunaan dinar emas sebagai pengganti fiat money perlu disegerakan dan penstrukturan semula sistem kewangan agar mengikut acuan dan kerangka syariah perlu diletakkan sebagai asas dalam mengembangkan sistem ekonomi Islam yang hakiki dan sejati.
SKIM PEMBIAYAAN MESRA USAHAWAN
Sektor perbankan Islam kontemporari juga harus memainkan peranan agar lebih mesra usahawan. Ini bagi merealisasikan hasrat melahirkan lebih ramai usahawan Muslim dengan menawarkan lebih banyak instrumen pembiayaan daripada mengutamakan keuntungan semata-mata. Seterusnya dapat merealisasikan hasrat untuk memperkasakan usahawan muslim seperti yang digariskan dalam resolusi ke 15 Kongres Ekonomi Islam Ketiga yang berlangung pada 12-15 Januari 2009 yang lalu. Senario yang cuba diterapkan ini juga selaras dengan hasrat Perdana Menteri agar kepentingan rakyat didahulukan dalam setiap urusan.
Dalam situasi ekonomi yang tidak menentu hari ini, kita seharusnya berupaya menunjukkan sama ada secara teori mahupun praktikal bahawa pendekatan Islam dalam pembangunan ekonomi mampu menyediakan penyelesaian konkrit dan realistik bagi menghadapi kemelut ekonomi dan kewangan yang melanda kini.
PENUTUP
Saya menaruh harapan yang tinggi menerusi penganjuran wacana intelektual seperti ini akan dapat menjadi platform bagi terus merangsang percambahan idea dan sumbang saran ke arah mewujudkan sistem ekonomi Islam yang bersifat holistik dan universal. Resolusi bernilai yang dicetuskan menerusi muzakarah ini diharap akan dipanjangkan kepada agensi bersesuaian untuk bersama-sama menjayakan hasrat murni memperkasa umat Islam dalam sektor kewangan dan ekonomi. Saya mendoakan semoga program ini akan berjalan lancar dan mencapai kejayaan. Dengan doa dan harapan itu saya sekali lagi ingin mengucapkan tahniah kepada JAKIM selaku sekretariat di atas komitmen dalam menjayakan program ini.
Dengan lafaz Bismillahirrahmanirrahim, saya merasmikan Muzakarah Ahli-Ahli Panel Penasihat Syariah Institusi Kewangan di Malaysia
Kali Ke-5.
Sekian, wabillahi tawfiq wal hidayah. Wassalamualaykum wrh. wbth.
- Hits : 3262





