Ucapan Alu-aluan Y.Bhg. Dato' Ketua Pengarah Jakim Sempena Seminar Pendidikan Fatwa Peringkat Kebangsaan 1430H/2009M

UCAPAN

ALU-ALUAN YBHG. DATO’ KP JAKIM

SEMPENA MAJLIS PERASMIAN SEMINAR PENDIDIKAN FATWA
PERINGKAT KEBANGSAAN TAHUN 1430H/2009M
“PERDERMAAN ORGAN DARI PERSPEKTIF ISLAM”

17 Zulkaedah 1430H bersamaan 5 November 2009M
Dewan Serbaguna, Masjid Wilayah Persekutuan, Kuala Lumpur

 

Terima Kasih saudara Pengerusi Majlis

Y.B. Senator Dato’ Dr. Mashitah binti Ibrahim
Timbalan Menteri di JPM

Y.Bhg. Dato’ Dr. Azmi bin Shapie
Pengarah Bahagian Perkembangan Perubatan, Kementerian Kesihatan Malaysia

Y.Bhg. Prof. Dato’ Dr. Abdul Shukor bin Hj. Husin
Pengerusi Jawatankuasa Fatwa Kebangsaan,

Y.Bhg. Tuan Hj. Abdul Jabar bin Ahmad
Pengarah Bahagian Pendidikan Kesihatan, Kementerian Kesihatan Malaysia

Ashabas Samahah Mufti-Mufti

Ketua-ketua Agensi, Ketua-ketua Jabatan Agama Islam Negeri-Negeri,

Yang Berbahagia Tan Seri-Tan Seri, Puan Seri-Puan Seri
Dato’-Dato’, Datin-Datin

Pemimpin-Pemimpin Masyarakat, Para Peserta Seminar, Seterusnya Hadirin Dan Hadirat Yang Dirahmati Allah S.W.T. Sekelian.

1. Alhamdulillah, setinggi-tinggi kesyukuran saya panjatkan ke hadrat Allah SWT kerana dengan izin-Nya, kita dapat sama-sama berada di sini bagi menjayakan Seminar Pendidikan Fatwa Peringkat Kebangsaan 2009. Selawat dan salam ke atas Junjungan besar, Nabi Muhammad SAW, Penghulu segala nabi dan penutup para Rasul a.s.

2. Saya dengan penuh hormat dan taazimnya mengucapkan selamat datang dan terima kasih kepada Y.B. Senator Dato’ Dr. Mashitah binti Ibrahim Timbalan Menteri di di Jabatan Perdana Menteri kerana sudi meluangkan masa hadir bagi menyampaikan ucapan dan seterusnya merasmikan seminar yang julung-julung kali kita adakan pada hari ini.

3. Seminar Pendidikan Fatwa Kebangsaan 2009 ini dianjurkan oleh JAKIM dengan kerjasama dengan Kementerian Kesihatan Malaysia (KKM). Isu yang menjadi fokus Seminar Pendidikan Fatwa pada kali ini ialah “Pendermaan Organ Dari Perspektif Islam”. Antara lain objektif seminar ini diadakan adalah bertujuan untuk:

Memberi pendidikan fatwa kepada masyarakat mengenai isu pendermaan organ dari perspektif Islam;

 

Menggalakkan percambahan idea mengenai isu pendermaan organ di antara JAKIM dan KKM; dan

 

Mewujudkan kerjasama padu dengan semua peserta supaya maklumat yang tepat mengenai isu pendermaan organ dapat disampaikan kepada semua pihak;

Hadirin hadirat sekalian,

4. Isu mengenai pendermaan organ ini sebenarnya bukanlah isu baru bahkan ia merupakan isu lama yang telah pun mempunyai pandangan hukum mengenainya hampir 39 tahun lalu. Jawatankuasa Fatwa MKI Kebangsaan telah membuat keputusan mengenainya pada 23-24 Jun 1970 iaitu:

Pemindahan mata dan jantung orang-orang mati kepada orang hidup adalah dibenarkan dalam Islam, dan di atas pertimbangan-pertimbangan berikut hendaklah di ambil kira:

 

* Di dalam keadaan mendesak dan mustahak, bahawa nyawa penerimanya bergantung kepada pemindahan anggota itu dan pemindahannya difikirkan berjaya;

 

* Di Dalam keadaan pemindahan jantung, kematian penderma telah dipastikan sebelum dipindahkan jantungnya;

 

* Tindakan-tindakan yang sewajarnya hendaklah diambil supaya tidak ada pembunuhan manusia dan perdagangan anggota-anggotanya; dan

 

* Kebenaran hendaklah diperoleh daripada penderma-penderma sebelum pemindahan sebarang anggota di dalam kematian biasa, atau dari kaum keluarga atau keluarganya, di dalam kematian akibat kemalangan.

 

5. Namun begitu, walaupun telah ada keharusan untuk umat Islam menderma organ setelah mereka meninggal dunia, jumlah individu muslim yang sanggup mewasiatkan pendermaan organ setelah kematian mereka adalah amat kecil bilangannya berbanding dengan orang bukan Islam. Berdasarkan statistik yang dikeluarkan oleh Pusat Sumber Transplan Kebangsaan (NTRC) di Hospital Kuala Lumpur iaitu statistik sehingga 30 November 2005 menunjukkan penderma organ di kalangan orang-orang Melayu yang umumnya mewakili orang Islam, adalah terlalu kecil hanya 8%, berbanding orang Cina 64% dan India 22% .Sedangkan orang Melayu dan Muslim juga mewakili senarai mereka yang memerlukan organ kerana mereka juga berhadapan dengan kesakitan yang memerlukan organ seperti kaum lain.

Hadirin hadirat sekalian,

6. Statistik kaji selidik yang dikeluarkan oleh pihak Institut Kefahaman Islam Malaysia (IKM) mengenai pendermaan organ, nyata sekali, agama bukanlah faktor utama yang menghalang kita menderma organ, tetapi faktor utama yang dikenal pasti adalah rasa takut dan diikuti dengan faktor-faktor lain seperti:

 

SEBAB
PERATUSAN (%)
Takut
56.3
Kurang pendedahan
17.8
Agama tidak Membenarkan
5.2
Takut dan kurang pendedahan
8.1
Semua faktor
12.6

Sumber: Kaji Selidik IKIM: Majalah “Kefahaman Islam” Jan 2006 Bil 61 Muka Surat 1

 

7. Perasaan takut yang wujud di kalangan orang-orang Islam mungkin terbit dari keadaan tidak kenal mengenal. Kebanyakan kita memusuhi apa yang kita tidak kenal. Kita takut sesuatu yang kita tidak mengerti. Takut seperti ini mungkin kerana kurang maklumat dan kurang pendedahan. Maka perasaan takut seperti ini boleh dirawat dengan membekalkan maklumat dan memberi pendedahan yang sepatutnya

8. Maka, usaha kita mengadakan Seminar ini diharapkan dapat memberi pendedahan berguna kepada masyarakat Islam untuk tidak takut dengan pendermaan organ bahkan dengan pendedahan dari seminar ini dapat menggalakkan umat Islam untuk turut menderma organ mereka sebagaimana yang dilakukan oleh kebanyakan orang bukan Islam bagi membantu pihak yang memerlukan.

Hadirin hadirat yang kasihi sekalian,

9. Bagi pihak JAKIM, Seminar Pendidikan Fatwa ini adalah salah satu usaha yang akan dilaksanakan secara berterusan dari semasa ke semasa sebagai salah satu usaha pendidikan fatwa kepada masyarakat di negara ini. InsyaAllah, pada masa yang akan datang lebih banyak isu yang akan diketengahkan sama ada melalui seminar seperti ini atau pun dialog akan diadakan baik di peringkat pusat atau pun dengan kerjasama Jabatan Mufti Negeri. Semoga dengan usaha begini, masyarakat Islam akan lebih memahami serta mematuhi sebarang keputusan fatwa yang telah dikeluarkan oleh pihak kerajaan khususnya fatwa yang diputuskan oleh Muzakarah Jawatan Kuasa Fatwa Kebangsaan (MKI).

10. Akhir sekali, saya mengucapkan berbanyak terima kasih kepada pihak Kementerian Kesihatan Malaysia yang sudi untuk bekerjasama menganjurkan seminar ini. Begitu saya ucapkan ribuan terima kasih kepada YB Senator Dato’ Dr Mashitah bt Ibrahim, Timbalan Menteri di JPM dan kepada semua pihak yang terlibat memberikan komitmen penuh serta memberikan kerjasama dalam menjayakan seminar ini . Semoga usaha kita ini diberkati dan diredhai oleh Allah SWT.

Sekian , Wabillahi Taufik Wal Hidayah Wassamualaikum Warahmatullahi Wabarakatuh..