Ucapan Aluan Menteri Di Jabatan Perdana Menteri Sempena Majlis Penutup Tilawah Al-Quran Peringkat Kebangsaan Kali Ke-50 di Pusat Dagangan Antarabangsa Melaka Pada 23 Julai 2007

TEKS UCAPAN ALUAN
YB. DATO’ ABDULLAH BIN MD ZIN,
MENTERI DI JABATAN PERDANA MENTERI
 
SEMPENA MAJLIS PENUTUP TILAWAH AL-QURAN
PERINGKAT KEBANGSAAN KALI KE-50
PUSAT DAGANGAN ANTARABANGSA MELAKA
 
23 JULAI 2007/ 8 REJAB 1428
 
Tuan Yang Terutama Tun Datuk Seri Utama Mohd Khalil bin Yaakub, Yang Di-Pertua Negeri Melaka,
Dan Yang Amat Berbahagia Toh Puan Dato’ Datin Seri Utama Zurina binti Kassim.
 
Terlebih dahulu saya merakamkan ucapan terima kasih dan setinggi-tinggi penghargaan kepada Tuan Yang Terutama Tun dan Yang Amat Berbahagia Toh Puan, di atas kesudian untuk hadir pada majlis ini.
 
Sesungguhnya kehadiran Tuan Yang Terutama Tun dan Yang Amat Berbahagia Toh Puan, amat bermakna kepada kita semua, umat Islam di Malaysia pada hari ini dalam Perasmian Penutupan Penyampaian Hadiah, Majlis Tilawah Al-Quran Peringkat Kebangsaan Ke-50 Tahun 1428 Hijrah bersamaan Tahun 2007 Masihi.
 
Tuan Yang Terutama Tun, saya memohon izin untuk menyampaikan ucapan kepada para hadirin.
 
Yang Amat Berhormat Datuk Seri Haji Mohd Ali bin Mohd Rustam
Ketua Menteri Melaka, dan
Yang Amat Berbahagia, Datin Seri Datuk Wira Hajah Asmah bte Abdul Rahman,
 
Yang Berhormat Datuk Wira Mo’min bin Haji Abdul Aziz
Speaker Dewan Undangan Negeri Melaka
Dan Yang Berbahagia Datin Wira,
 
Yang Berhormat Datuk Wira Ismail Saleh
Setiausaha Kerajaan Negeri Melaka,
Dan Yang Berbahagia Datin Wira.
 
Yang Berhormat Ahli-ahli Majlis Mesyuarat Kerajaan Negeri Melaka dan Datin,
 
Sahibussamahah Datuk Haji Rashid Redza bin Haji Mohd Salleh
Mufti Kerajaan Negeri Melaka, dan
Yang Berbahagia Datin.
 
Yang Berbahagia Dato’ Haji Wan Mohamad bin Dato’ Sheikh Haji Abdul Aziz, Ketua Pengarah JAKIM
Dan Yang Berbahagia Datin,
 
Ahli-ahli yang berhormat,
 
Barisan Jemaah Hakim, Para Peserta dan Perwakilan Negeri-Negeri.
 
Seterusnya hadirin dan hadirat yang dirahmati Allah sekalian.
 
1. Saya bersyukur ke hadrat Allah s.w.t. kerana dengan izin dan limpah perkenan-Nya kita dapat bersama-sama meraikan malam terakhir ini bagi mengikuti, mendengar dan menghayati bacaan al-Quran yang disampaikan oleh qari dan qariah negara kita.
 
2. Marilah kita merafakkan rasa penuh kesyukuran ke hadrat Allah s.w.t. atas rahmat dan keizinanNya, Majlis Tilawah al-Quran Peringkat Kebangsaan Kali Ke-50 Bagi Tahun 1428H/2007M dapat dilangsungkan dalam suasana yang penuh muhibbah, aman dan harmoni. Setelah lima malam majlis berlangsung maka pada malam ini, Majlis Tilawah al-Quran Peringkat Kebangsaan Kali Ke-50 telah pun tiba ke penghujungnya.
 
Hadirin Hadirat Sekalian,
 
3. Majlis Tilawah al-Quran mula diperkenalkan oleh Pertubuhan Melayu Bersatu dikenali sebagai Majlis Membaca al-Quran, dan buat kali pertamanya ia diadakan pada 4 September 1947 di Masjid Jami’ Abu Bakar Johor Bahru. Setelah negara mencapai kemerdekaan pada 31 Ogos 1957 Majlis Membaca al-Quran ini diteruskan dengan penganjuran Majlis Tilawah al-Quran Peringkat Kebangsaan dengan penyertaan semua negeri di Persekutuan Tanah Melayu . Yang Teramat Mulia, Allahyarham Tunku Abdul Rahman Putra al-Haj Perdana Menteri ketika itu telah menyuarakan hasrat supaya Majlis Tilawah al-Quran diadakan setiap tahun dan alhamdulillah, sehingga kini hasrat tersebut masih dapat diteruskan.
 
4. Catatan sejarah ini membuktikan bagaimana para pemimpin (umara) dan para ulama’ telah mencurahkan segala tenaga dan usaha sehingga program seumpama ini mampu bertahan selama 50 tahun dan berjaya memartabatkan Islam di bumi Malaysia ini.
 
Hadirin hadirat sekalian,
 
5. Sejajar dengan sambutan ulang tahun kemerdekaan negara dan Majlis Tilawah al-Quran Peringkat Kebangsaan ke 50, Kerajaan telah memilih tema, iaitu ” Insan Cemerlang Ummah Terbilang ”, yang amat signifikan dengan keadaan umat Islam pada hari ini. Sudah sampai masanya umat Islam di Malaysia pada hari ini mengungguli amanah keilmuan dalam melahirkan insan cemerlang yang seterusnya akan melahirkan ummah terbilang. Kita perlu melahirkan sebanyak mungkin ulul-albab iaitu cendekiawan atau ilmuan yang mantap ilmunya dalam bidang-bidang tertentu seperti sains dan teknologi serta mantap pula keimanan dan ketaqwaannya kepada Allah s.w.t., yang akan tampil dengan semangat juang yang hebat bagi memacu kemajuan dan pembangunan negara.
 
6. Dalam konteks ini, cendekiawan Islam Ibn Khaldun telah menyebutkan bahawa ilmu dan penghayatannya amat penting bagi melahirkan manusia yang mempunyai ciri-ciri ulul albab. Oleh itu usaha berterusan secara intensif dan berstrategi perlu dilaksanakan tanpa mengabaikan unsur-unsur rohani dan jasmani yang telah digariskan oleh Islam.
 
Hadirin hadirat sekalian,
 
7. Para ilmuan perlu menunaikan amanah keilmuan, iaitu sentiasa setia kepada misi dan moral kecendekiawanan. Setiap ilmu mempunyai ciri nilai, dan falsafah yang mesti dihuraikan menurut perspektif syarak yang dipandu oleh al-Quran, iman dan taqwa. Sebarang penyimpangan dan penyelewengan oleh para ilmuan dalam menghuraikan sesuatu ilmu akan mewujudkan ketidakseimbangan, kerosakan dan gangguan kepada manusia dan alam sekitar.
 
8. Oleh kerana itulah para ilmuan mesti berlaku adil dan amanah dalam menyampaikan ilmu supaya mereka yang akan menerima ilmu tersebut tidak terpesong dari ajaran Islam yang sebenar. Para ilmuan ini hendaklah sentiasa membimbing ummah sehingga berupaya meneroka, mencipta dan mengendali kemajuan.
 
9. Al-Quran yang mengandungi 114 Surah dan 6236 ayat sentiasa memberi keutamaan kepada kepentingan ilmu pengetahuan kerana jatuh bangunnya sesuatu ummah itu bergantung kepada kekuatan ilmu pengetahuan yang dimiliki oleh insan. Kekuatan insan ini tidak mungkin dicapai tanpa bekalan ilmu yang secukupnya.
10. Firman Allah dalam surah az-Zumar ayat 9:
 
” Katakanlah lagi (kepadanya): ” Adakah sama orang-orang yang mengetahui dengan orang-orang yang tidak mengetahui ”
 
11. Firman Allah lagi dalam surah al-Mujadalah ayat 11:
 
Maksudnya: “ Allah meninggikan darjat orang-orang yang beriman di antara kamu, dan orang-orang yang diberi ilmu pengetahuan (dari kalangan kamu ) beberapa darjat “
 
Para hadirin yang dimuliakan,
 
12. Sesungguhnya di dalam Islam itu sendiri telah terpancar kegemilangan. Sama ada kita sedar atau tidak, bimbingan Ilahi ke arah menjadi insan yang cemerlang sentiasa mengiringi setiap detik kehidupan kita. Begitulah sinar Islam yang mula menerangi Melaka pada awal abad ke 15, telah menjadikannya maju, membangun dan terkenal sebagai pusat perkembangan Islam dan pembelajaran ilmu pengetahuan serta menjadi pusat perdagangan yang tersohor pada ketika itu. Sejarah telah mencatatkan perkembangan ini berlaku setelah agama Islam diterima dan agama Islam berkembang di negeri berkenaan. Inilah contoh ummah terbilang yang mampu mengangkat kerajaan Melaka ke peringkat antarabangsa.
 
13. Ini merupakan suatu anugerah dan nikmat Allah Subhanahu Wataala yang amat jelas menunjukkan kepada kita bahawa agama Islam itu sendiri mampu mengangkat martabat manusia ke mercu kegemilangan sekiranya dihayati dan diamalkan secara bersungguh-sungguh.
 
14. Hakikatnya, bukan mudah untuk membina insan yang cemerlang yang sekaligus melahirkan ummah yang terbilang. Ia memerlukan perancangan yang rapi dan usaha yang gigih, berterusan dan tidak pernah jemu. Peringatan Rasulullah Sallallahu ’Alaihi Wasallam bermaksud:
 
”Bahawa Allah mencintai seseorang yang apabila ia mengerjakan sesuatu kerja, ia laksanakan dengan cemerlang ” (Riwayat al-Baihaqi )
 
15. Hadis ini menekankan supaya apabila kita melakukan sesuatu pekerjaan hendaklah dilakukan dengan penuh ketekunan. Pesanan ini perlu dijadikan pegangan dan penyuntik semangat supaya matlamat untuk melahirkan ’khaira ummah’ ummah terbilang dalam sebuah ’Baldatun Tayyibatun Wa Rabbun Ghafurr’ dapat direalisasikan.
 
Hadirin-hadirat yang dirahmati sekalian,
 
16. Sesungguhnya kemampuan dan kejayaan kita menganjurkan majlis ini secara tahunan dalam tempoh yang begitu lama membuktikan bahawa nikmat keamanan dan kemakmuran sentiasa dilimpahi oleh Allah Subhanahu Wata”ala kepada negara Malaysia. Ini adalah berkat kepimpinan negara yang berwawasan dan sentiasa mendaulatkan agama Islam sebagai agama rasmi negara.
 
17. Bagi mengakhiri ucapan saya ini, saya bagi pihak Ahli Jawatankuasa Pusat Majlis Tilawah Al-Quran Peringkat Kebangsaan, dengan ini merakamkan ucapan setinggi-tinggi penghargaan dan terima kasih khususnya kepada Kerajaan Negeri Melaka dan kepada semua tenaga penggerak yang telah berusaha keras menyumbang tenaga dan idea serta menabur bakti untuk bersama-sama menjayakan Majlis Tilawah Al-Quran Peringkat Kebangsaan Kali Ke-50 yang akan berakhir pada malam ini. Semoga segala usaha diterima oleh Allah s.w.t. sebagai amal soleh.
 
18. Tuan Yang Terutama Tun, Demikianlah ucapan saya,
 
19. Sekian, terima kasih,