Ucapan Dato' Mustafa Abd. Rahman, Ketua Pengarah JAKIM
Saudara Pengacara Majlis,
Y.B Dato’ Dr. Abdullah Bin Md. Zin,
Menteri di Jabatan Perdana Menteri
Y.B Datuk Dr. Mashitah Binti Ibrahim,
Setiausaha Parlimen di Jabatan Perdana Menteri
Ketua –Ketua Agensi di bawah Y.B Menteri di JPM,
Y.Bhg.Dato’ Azman Ujang,
Ketua Pengarang
Pertubuhan Berita Nasional
Dif-dif Kehormat,
Rakan-rakan Media,
Datuk-Datuk/Datin-Datin/Tuan-Tuan/Puan-Puan Sekalian,
Assalamualaikum w.b.h
1. Alhamdulillah, bersyukur kita ke hadrat Allah s.w.t kerana dengan limpah kurnianya kita semua dapat hadir ke Majlis Malam Bersama Media anjuran Jabatan Kemajuan Islam Malaysia (JAKIM) pada malam yang mulia ini.
2. Pertamanya, saya ingin mengambil kesempatan untuk mengucapkan setinggi-tinggi penghargaan dan terima kasih kepada Y.B Dato’ Dr. Abdullah bin Md. Zin, Menteri di Jabatan Perdana Menteri kerana sudi melapangkan masa hadir ke majlis ini dan tidak ketinggalan kepada dif-dif kehormat khususnya rakan-rakan media yang dihargai sekalian. Saya begitu menghargai kehadiran Datuk-datuk/Datin-datin/Tuan-tuan dan Puan/puan sekalian ke majlis yang julung-julung kali diadakan oleh JAKIM ini khusus untuk meraikan rakan-rakan media yang ada pada hari ini.
3. Kita semua sedia maklum bahawa pihak media telah memainkan peranan yang sangat penting dalam melaksanakan tanggungjawab sosial dengan mendapat serta menyebarkan maklumat berkaitan dengan permasalahan yang melanda masyarakat. Peranan mereka seperti juga golongan profesional yang lain, memikul beban tanggungjawab yang berat. Apatah lagi apabila media hari ini berfungsi dalam masyarakat yang bukan sahaja sedang pesat membangun, tetapi juga masyarakat majmuk seperti di
4. Tuan-tuan dan puan-puan sekalian, perlu diketahui bahawa kewujudan Jabatan Kemajuan Islam Malaysia (JAKIM) adalah bagi memenuhi aspirasi negara dan rakyat amnya bagi memastikan pembangunan dan kemajuan ummah berasaskan tuntutan Islam. Justeru JAKIM bertanggungjawab menguruskan pembangunan hal ehwal Islam di negara ini. Ini selaras dengan visi JAKIM iaitu menjadi sebuah “agensi pusat” yang unggul dalam menguruskan pembangunan hal ehwal Islam ke arah melahirkan ummah yang progresif dan berakhlak mulia. Sementara misi JAKIM pula ialah menguruskan sistem pengurusan berkualiti dalam hal ehwal Islam bagi merealisasikan penghayatan Islam sebagai ad-din melalui penyelidikan, pendidikan dan penggunaan teknologi maklumat. Tanggungjawab ini memerlukan JAKIM mempunyai hubungan yang luas dengan seluruh lapisan masyarakat. Dalam memastikan terjalinnya hubungan ini, JAKIM amat bergantung kepada rakan media sebagai perantara di mana rakan media akan menyampaikan maklumat-maklumat semasa berkaitan bidang tugas JAKIM kepada masyarakat dan begitu juga sebaliknya daripada masyarakat kepada JAKIM.
5. Saya berbesar hati kerana kerjasama yang wujud di antara JAKIM dengan media selama ini adalah sangat memuaskan. Ingin saya nyatakan harapan saya agar hubungan baik ini menjadi pemangkin bagi rakan media untuk terus menyampaikan bahan berita yang boleh memanfaatkan semua pihak. Saya juga berharap agar kewujudan rangkaian hubungan yang erat antara JAKIM dan rakan media akan dapat membantu JAKIM untuk terus mempertingkatkan kualiti perkhidmatan melalui komen, aduan, penulisan artikel dan sumbangsaran yang dikemukakan melalui media massa samada melalui rakan media ataupun orang ramai.
6. Hadirin sekalian, suka saya maklumkan bahawa, sebagai sebuah agensi agama di peringkat pusat yang berperanan menyelaras dan menyeragamkan pentadbiran hal ehwal agama Islam di negara ini, JAKIMm menggunakan pendekatan secara hikmah dan bijaksana dalam sesuatu perkara. Sesuatu isu yang timbul berkaitan agama Islam perlu difikirkan secara teliti sebelum sesuatu keputusan dan tindakan dibuat. Ini adalah supaya setiap tindakan yang diambil tidak menyinggung perasaan mana-mana pihak khususnya Duli Yang Maha Mulia Sultan-sultan dan Raja-raja negeri yang bertanggungjawab terhadap urusan agama Islam.
7. Tuan-tuan dan puan-puan sedia maklum bahawa setiap isu yang timbul berkaitan agama Islam perlu ditanggani secara berbeza dengan pendekatan yang digunakan dalam menangani isu jenayah oleh pihak polis umpamanya. Dalam hal ini, JAKIM lebih menggunakan pendekatan pencegahan dan pemulihan berbanding pendekatan penguatkuasaan.Contohnya dalam isu ajaran sesat dan isu halal umpamanya, pendekatan pencegahan dan pemulihan adalah lebih sesuai digunakan berbanding isu penguatkuasaan. Kita bimbang sekiranya agensi agama terlalu menekankan pendekatan penguatkuasaan terhadap sesuatu isu berkaitan agama yang ditimbulkan, masyarakat akan mudah salah faham terhadap ajaran agama. Masyarakat akan berfikir bahawa Islam agama yang keras, atau yang lebih teruk lagi apabila Islam dianggap sebagai agama yang ganas. Oleh sebab itu, kita sering menggunakan pendekatan secara hikmah dan penuh berhati-hati. Ini selaras dengan tuntutan Islam, supaya dalam gerak kerja amar makruf ini, kita dituntut menggunakan pendekatan yang bijaksana (hikmah), kemudian pendekatan nasihat, dan akhir sekali boleh menggunakan pendekatan yang lebih tegas daripada itu sekiranya masyarakat masih berdegil.
8. Pendekatan yang saya sebutkan tadi jelas menunjukkan bahawa Islam begitu teliti dalam menanggani isu yang timbul di tengah-tengah masyarakat. Walaupun sering kali kita didesak oleh sesetengah masyarakat agar sesuatu isu agama yang ditimbulkan supaya diambil tindakan yang drastik, namun kita sebenarnya mempunyai cara tersendiri dalam menangani isu seumpama ini, sehinggakan kadang-kadang masyarakat beranggapan bahawa institusi agama tidak proaktif, mengambil jalan berdiam diri atau tidak membuat apa-apa tindakan terhadap sesuatu isu yang dibangkitkan. Kita sedar bahawa jiwa masyarakat Islam amat sensitif apabila berhadapan dengan sesuatu isu yang melibatkan agama Islam. Sebab itu mereka terus mendesak agar sesuatu tindakan dapat diambil segera. Di sebalik itu, institusi agama seperti JAKIM umpamanya, terpaksa memikirkan jalan penyelesaian terbaik bagi menangani isu umpama ini. Tidak semestinya diam itu tidak bertanggungjawab, kerana dalam diam itu, kita bertindak sebenarnya.
9. Tuan-tuan dan puan-puan sekalian, saya sengaja membangkitkan persoalan ini kerana kita mahu pihak rakan media sedar dan faham tentang pendekatan yang digunakan oleh agensi agama dalam menangani sesuatu isu yang dibangkitkan. Kita juga berharap kerjasama sepenuhnya daripada rakan media agar dapat membantu JAKIM dalam usaha untuk menyelaras dan menyeragamkan pentadbiran hal ehwal Islam di negara ini tanpa menimbulkan sebarang komplikasi yang lain. Apabila rakan-rakan media memahami cara dan pendekatan yang kadang-kadang terpaksa digunakan oleh agensi agama dalam menangani sesuatu isu, maka sedikit sebanyak kecacatan yang dirasakan timbul di sebalik pendekatan yang digunakan tidaklah ditonjolkan oleh rakan-rakan media sehingga kadang-kadang menampakkan kelemahan institusi agama itu sendiri.
10. Kita menghargai kritikan, pandangan dan teguran yang dibuat oleh pihak media, tetapi semua itu hendaklah dibuat secara objektif, balanced dan membina untuk mengelakkan daripada berlakunya sebarang kemusykilan di kalangan rakyat. Seboleh-bolehnya gunakanlah pendekatan lebih kepada cara untuk mengatasi masalah dan bukannya mencari orang yang bersalah.
11. Sekali lagi saya ingin tegaskan bahawa JAKIM berharap dan memohon kerjasama rakan-rakan media sekalian agar sentiasa menyokong aktiviti dan program yang dianjurkan oleh JAKIM supaya setiap aktiviti yang perlu diketahui oleh masyarakat dapat disampaikan segera kepada mereka. Perlu diketahui, JAKIM bukan hanya menjalankan aktivitinya di sekitar Lembah Klang sahaja, bahkan melibatkan ke seluruh negara. Oleh itu, janganlah hanya program di sekitar Lembah Klang sahaja yang menjadi perhatian rakan-rakan media. Seboleh-bolehnya, program di luar Lembah Klang yang dirasakan patut menjadi bahan berita juga perlu menjadi perhatian. Untuk itu, saya nyatakan bahawa hubungan erat antara JAKIM dan pihak media perlu diteruskan. Atas sebab itu jugalah, di JAKIM sendiri satu Jawatankuasa Media telah ditubuhkan sejak sekian lama bagi membincangkan isu-isu yang perlu menjadi perhatian pihak rakan-rakan media.
12. Akhirnya, saya sekali lagi ingin mengambil kesempatan untuk mengucapakan ribuan terima kasih khusus kepada Y.B Dato’ Dr. Abdullah bin Md. Zin, Menteri di Jabatan Perdana Menteri, dif-dif kehormat yang lain, dan tidak ketinggalan kepada rakan-rakan media yang berkesempatan hadir pada malam ini. Sesungguhnya JAKIM amat menghargai peranan dan sumbangan rakan-rakan media dalam membantu JAKIM selama ini, dan berharap agar kerjasama yang sedia terjalin selama ini dapat diteruskan lagi di masa yang akan datang.
13. Sekian, wabillahi taufik walhidayah, wassalamualikum warahmatullahi wabarokatuh.
- Hits : 3246





