UCAPAN PERASMIAN KONVENSYEN PERKHIDMATAN HAL EHWAL ISLAM DAN PELANCARAN PENUBUHAN KESATUAN PERKHIDMATAN ISLAM SEMALAYSIA PADA 20 MAC 2009 DI ILIM
UCAPAN PERASMIAN KONVENSYEN
PERKHIDMATAN HAL EHWAL ISLAM
DAN PELANCARAN
PENUBUHAN KESATUAN PERKHIDMATAN ISLAM SEMALAYSIA
OLEH : Y.B. SENATOR DATO’ DR. MASHITAH BINTI IBRAHIM
TIMBALAN MENTERI DI JABATAN PERDANA MENTERI 2009
PADA 20 MAC 2009 DI ILIM
Yang Berusaha,
- Dato’ Haji Wan Mohamad bin Dato’ Sheikh Abdul Aziz,
Ketua Pengarah, JAKIM.
- Yang Di Pertua Persatuan Kakitangan Perkhidmatan Ugama (PKPU).
- Para peserta Konvensyen Perkhidmatan Hal Ehwal Islam
Setinggi-tinggi pujian dan syukur kita rafakkan ke hadrat Allah SWT. Selawat dan salam kita tujukan kepada Junjungan Besar Nabi Muhammad SAW serta ahli keluarga dan sahabat Baginda sekalian.
1. Terlebih dahulu, saya ingin mengucapkan terima kasih kepada Jabatan Kemajuan Islam Malaysia (JAKIM) yang telah sudi menjemput saya untuk menyampaikan ucapan dan seterusnya merasmikan Konvensyen Perkhidmatan Hal Ehwal Islam Peringkat 2009 dan melancarkan penubuhan Kesatuan Perkhidmatan Islam Semalaysia pada pagi ini. Setinggi-tinggi tahniah juga saya ucapkan kepada Y.Bhg. Dato’ Wan Mohamad bin Dato’ Syeikh Abd. Aziz, Ketua Pengarah JAKIM dan kesemua warga JAKIM yang telah berusaha untuk menganjurkan Konvensyen yang amat bermakna ini.
2. Saya ingin melahirkan rasa gembira pada hari ini kerana JAKIM dan Persatuan Kakitangan Perkhidmatan Ugama (PKPU), Jabatan Perdana Menteri, yang telah mengambil inisiatif untuk mengadakan Konvensyen Perkhidmatan Hal Ehwal Islam Peringkat Kebangsaan 2009 pada tahun ini. Konvensyen ini yang bertujuan untuk memusatkan matlamat, hala tuju dan strategi untuk pembangunan Islam di Malaysia dan mewujudkan kesatuan fikrah dalam meningkatkan imej perkhidmatan hal ehwal Islam pada hari ini. Konvensyen juga seharusnya perlu mencari pendekatan dan strategi yang sesuai bagi meningkatkan lagi kualiti dan produktiviti perkhidmatan yang diberikan oleh Pegawai Hal Ehwal Islam bagi pembangunan ummah di Malaysia. Sesi-sesi bicara yang diaturkan di mana akan menyentuh isu-isu ekspektasi masyarakat terhadap agensi agama, pegawai agama sebagai peneraju pembangunan ummah dan juga memprofesionalkan ulamak amatlah relevan dalam konteks menyediakan pegawai-pegawainya untuk mencapai kecemerlangan organisasi dan perkhidmatan awam seluruhnya.
3. Saya merasakan bahawa cabaran terbesar kepada perkhidmatan hal ehwal Islam dewasa ini adalah untuk memastikan organisasi Islam bergerak berlandaskan wawasan yang jelas menepati keperluan ummah semasa. Wawasan ini mampu tercapai melalui perancangan strategik, yang mengambil kira keadaan persekitaran yang mencabar serta tahap kemampuan organisasi Islam terutama JAKIM itu sendiri. Perancangan perkhidmatan susulan perlu disandarkan kepada matlamat asal penubuhan JAKIM iaitu di antaranya untuk membangun sistem pentadbiran hal ehwal Islam yang kemas, cekap dan seragam serta sebagai penggerak pembangunan negara berasaskan lunas-lunas Islam. JAKIM khususnya dan semua organisasi Islam juga perlulah bergerak seiring dengan perubahan persekitaran supaya dapat memenuhi tuntutan dan menghadapi cabaran masa kini.
4. JAKIM sepertimana dengan jabatan-jabatan lain dalam organisasi yang lebih besar dipertanggungjawabkan untuk memperkenalkan ciri- ciri perubahan positif dalam proses pembaharuan pengurusan hal ehwal Islam. Budaya kualiti dan pendekatan inovatif seperti perancangan strategik, sokongan dan komitmen pengurusan yang jitu, mengutamakan pelanggan dan membuat penambahbaikan dalam sistem serta prosedur kerja secara berterusan dan kreatif, dianggap mampu meningkatkan kualiti keluaran dan perkhidmatannya. Dengan itu, perkhidmatan hal ehwal Islam perlu berdaya inovatif ke arah mempertingkatkan kualiti serta produktiviti perkhidmatan-perkhidmatan yang dikeluarkan. Justeru itu para pegawai perlu melipatgandakan usaha memperkukuhkan daya inovasi dengan bersama-sama menggerakkan usaha ke arah mencapai matlamat tersebut, bukan saja melalui daya inisiatif sendiri malah hasil fikiran secara kolektif dan berkumpulan. Ini adalah kerana usaha-usaha inovasi memerlukan pengorbanan yang tanpa batas, tahap disiplin kerja yang kukuh, semangat kerja berpasukan, dan keazaman mencapai kecemerlangan organisasi.
5. Saya difahamkan bahawa usaha-usaha ke arah meningkatkan keberkesanan Perkhidmatan Hal Ehwal Islam telah dimulakan sejak tahun 1980an lagi. Berbagai langkah telah diambil oleh Kerajaan, antaranya ialah penyusunan semula Majlis dan Jabatan Agama Islam Negeri dan Daerah, pengurusan Baitulmal dan Zakat, Mahkamah-mahkamah Syariah Negeri, pewujudan Skim Perkhidmatan Pegawai Syarie dan pewujudan Skim Perkhidmatan Bersama Hal Ehwal Islam serta penyusunan semula organisasi JAKIM. Pewujudan Skim Perkhidmatan Bersama Hal Ehwal Islam bertujuan untuk memperluaskan bidang kerjaya di kalangan Pegawai Hal Ehwal Islam yang sebelum ini hanya terhad kepada sesebuah negeri sahaja. Melalui skim ini, Pegawai Hal Ehwal Islam boleh ditukarkan antara negeri-negeri mengikut keperluan dan kepakaran masing-masing. Ini akan memberi faedah yang lebih baik kepada mereka sama ada dari segi kenaikan pangkat, pusingan kerja dan meningkatkan jalinan perhubungan sesama anggota. Saya yakin dengan penyertaan Konvensyen oleh pegawai- pegawai JAKIM dan juga pegawai-pegawai dari agensi-agensi agama seluruh Malaysia akan terus mempunyai pendekatan terbuka terhadap peranan JAKIM yang kini lebih mencabar, dan seterusnya menyediakan diri untuk menghadapi tugas mereka yang bertambah kompleks ini.
6. Sementara itu, struktur dan fungsi organisasi JAKIM yang sedang dalam proses penyusunan semula untuk peningkatan gred jawatan di pelbagai peringkat adalah untuk memperkukuh dan memantapkan lagi jentera pentadbiran hal ehwal Islam di negara ini dalam memainkan peranannya sebagai agensi utama bagi memajukan hal ehwal Islam di Malaysia.
7. Kerajaan menaruh harapan tinggi perkhidmatan hal ehwal Islam memainkan peranan yang cukup besar dalam menyampaikan perkhidmatannya untuk pembangunan ummah bukan sahaja di Malaysia malah seluruh dunia. Harapan ini nanti tidak akan membawa makna sekiranya pendokong dalam perkhidmatan hal ehwal Islam tidak berdaya dan tidak berusaha untuk berubah. Saya berpendapat Konvensyen yang diadakan ini tepat pada masanya dan sesuai dengan suasana dan wawasan yang ingin dicapai serta reformasi etika dan budaya kerja yang akan dilaksanakan. Saya yakin bahawa daripada resolusi Konvensyen ini, perkhidmatan hal ehwal Islam akan mampu memindahkan wawasan perkhidmatannya kepada masyarakat dengan lebih cemerlang. Melalui Konvensyen ini juga, pegawai-pegawai diberi peluang meneliti dan menghayati visi dan misi organisasi serta implikasinya terhadap peranan masing-masing. Namun harus diberi perhatian bahawa Segala tindak-tanduk dan langkah pembaharuan dalam pengurusan yang sedang dilaksanakan hendaklah sentiasa diselaraskan dengan kehendak Kerajaan dan aspirasi rakyat agar sumbangan perkhidmatan hal ehwal Islam mampu memberi kemudahan dan memenuhi harapan golongan yang memerlukan di kalangan orang awam.
8. Pada pandangan saya langkah susulan yang penting yang perlu diambil oleh perkhidmatan hal ehwal Islam ialah mengadakan reformasi dari segi strategi yang digubal. Pegawai-Pegawai Hal Ehwal Islam perlu peka kepada persekitaran yang sering berubah di mana cara kerja lama mungkin tidak sesuai lagi. Masyarakat umum telah menjadi serba moden dan ini sedikit sebanyak mempunyai kesan ke atas masyarakat Islam. Cabaran dihadapan kita ialah untuk mengekalkan cara hidup yang bercirikan nilai-nilai dan keperibadian yang mulia serta menegakkan kesucian dan ketinggian beragama Islam itu sendiri.
9. Dalam hal ini juga, kita mempunyai badan tertinggi yang bertanggungjawab ke atas perjalanan pentadbiran Islam, iaitu Majlis Kebangsaan Hal Ehwal Islam Malaysia yang dipengerusikan oleh Y.A.B. Perdana Menteri. Dengan adanya badan peringkat tertinggi ini akan dapat menyokong segala usaha mempertingkatkan lagi keberkesanan pengurusan hal ehwal Islam yang diperkenalkan.
10. Adalah juga menjadi satu cabaran kepada perkhidmatan hal ehwal Islam untuk menjadi pemangkin dan contoh kepada anggota Perkhidmatan Awam yang lain khususnya dalam mengamalkan nilai-nilai murni. Perilaku dan penampilan mereka akan sentiasa menjadi contoh. Oleh itu, ciri-ciri yang dipertunjukkan haruslah selaras dengan kehendak dan tuntutan nilai-nilai yang diperkatakan. Ini adalah penting ke arah pembentukan penjawat awam dan masyarakat yang berilmu dan beramal, berakhlak dan berbudi mulia, beradat dan bersopan, jujur dan amanah serta bersatu, setia dan mesra. Oleh yang demikian, adalah menjadi tanggungjawab pendokong perkhidmatan hal ehwal Islam untuk menjadikan perkhidmatannya sebagai satu perkhidmatan awam yang unggul, berwibawa dan berkualiti, yang boleh dan mampu membawa negara ini bergerak lebih maju kehadapan.
11. Dengan kesedaran ini, saya percaya bahawa perkhidmatan hal ehwal Islam mampu terus mempertingkatkan peranannya, di samping pihak pengurusan menggerakkan perubahan-perubahan ke arah lebih memantapkan lagi organisasi Islam di seluruh Malaysia. Melalui usaha- usaha ini dan yang lainnya oganisasi Islam akan mampu mencapai kejayaan-kejayaan yang lebih cemerlang pada masa hadapan. Dalam usaha menimbal kecemerlangan ini, kesatuan fikrah cukup penting di kalangan pendokong perkhidmatan hal ehwal Islam. Dengan itu amatlah wajar semua persatuan yang bernaung di bawah organisasi Islam di Malaysia dapat bergabung menjadi satu Kesatuan Perkhidmatan Islam Semalaysia. Wujudnya Kesatuan ini akan menambahkan kekuatan pandangan dan cadangan dalam sesuatu perkara demi kepentingan perkhidmatan hal ehwal Islam itu sendiri dan juga pembangunan ummah secara umumnya. Membina sesuatu yang berkualiti bukan perkara yang mudah. Kejayaan membina perkara yang bermakna adalah suatu pencapaian besar yang harus kita syukuri dan banggakan.
12. Ke arah itu, adalah amat penting bagi tuan-tuan selaku anggota perkhidmatan hal ehwal Islam melalui organisasi masing-masing untuk memiliki ciri-ciri seperti sentiasa bekerjasama, mel
ksanakan tindakan dengan lebih komited, tekun, jujur dan amanah supaya kita dapat mengharungi dengan jayanya segala bentuk cabaran yang dibawa oleh peredaran masa dan keadaan. Dengan tuan-tuan memiliki ciri-ciri ini, akan memudahkan dan melancarkan semua aktiviti-aktiviti dan usaha-usaha ke arah kemajuan perkhidmatan hal ehwal Islam dengan lebih terancang, tersusun dan bersepadu dan dipandang tinggi oleh masyarakat.
ksanakan tindakan dengan lebih komited, tekun, jujur dan amanah supaya kita dapat mengharungi dengan jayanya segala bentuk cabaran yang dibawa oleh peredaran masa dan keadaan. Dengan tuan-tuan memiliki ciri-ciri ini, akan memudahkan dan melancarkan semua aktiviti-aktiviti dan usaha-usaha ke arah kemajuan perkhidmatan hal ehwal Islam dengan lebih terancang, tersusun dan bersepadu dan dipandang tinggi oleh masyarakat.
Firman Allah Subhanahu Wataala dalam surah At-Taubah ayat: 105; Maksudnya: “Dan katakanlah wahai Muhammad: beramallah kamu akan segala yang diperintahkan, maka Allah dan Rasul Nya serta orang-orang yang beriman akan melihat apa yang kamu kerjakan dan kamu akan dikembalikan kepada Allah, yang mengetahui perkara-perkara yang ghaib dan yang nyata kemudian ia menerangkan kepada kamu apa yang kamu telah kerjakan”.
13. Saya penuh berharap, Konvensyen Perkhidmatan Hal Ehwal Islam Peringkat Kebangsaan 2009 kali ini akan berfungsi sebagai wadah bagi pendokong perkhidmatan hal ehwal Islam berinteraksi dan mengongsikan ide-ide inovatif secara langsung dan dapat dimanfaatkan sepenuhnya sebagai sarana untuk menyatukan usaha-usaha ke arah memantap dan meningkatkan lagi perkhidmatan hal ehwal Islam dari segi kecemerlangan perkhidmatan awam secara holistik.
14. Saya telah dimaklumkan bahawa sempena dengan konvensyen ini juga akan dilancarkan penubuhan Kesatuan Perkhidmatan Islam Semalaysia, yang akan dianggotai oleh semua pegawai-pegawai skim perkhidmatan agama dalam pelbagai agensi persekutuan dan neger-negeri. Cadangan bagi penubuhan kesatuan yang berbentuk nasional ini nanti diharapkan akan dapat memperjuangkan kebajikan dan nasib masa depan perkhidmatan semua pegawai perkdmatan S (sosial dalam bidang agama) yang kini telah berada di pelbagai kementerian, jabatan, agensi khususnya di Majlis/Jabatan Agama negeri-negeri.
15. Saya berharap Kesatuan ini nanti akan dalam berperanan dengan baik dan berpanjangan, dan akhirnya akan dapat bergabung dengan Kongres Kesatuan Sekerja Peringkat Kebangsaan (CEUPACS), agar suara “orang agama” turut berperanan di peringkat yang lebih menyeluruh dan sampai ke peringkat atasan dengan berkesan.
16. Dengan lafaz بسم الله الرحمن الرحيم saya dengan sukacitanya merasmikan Konvensyen Perkhidmatan Hal Ehwal Islam Peringkat Kebangsaan 2009 dan juga dengan rasminya melancarkan penubuhan Kesatuan Perkhidmatan Islam Semalaysia. Saya doakan semoga segala usaha dan perjuangan JAKIM dan PKPU serta Kesatuan Perkhidmatan Islam SeMalaysia akan berjaya dengan cemerlang.
Sekian.
- Hits : 2613





