Ucapan YAB PM di Perhimpunan Bulanan JPM (Januari 2011)

TRANSKRIP
 
 
PROGRAM KE ARAH PERKHIDMATAN CEMERLANG
DAN CINTAILAH NEGARA KITA
 
 

UCAPAN OLEH:
 

YAB DATO’ SRI MOHD NAJIB BIN TUN ABDUL RAZAK
PERDANA MENTERI MALAYSIA
 

10 JANUARI 2011
 

DISEDIAKAN OLEH:

UNIT KOMUNIKASI KORPORAT
JABATAN PERDANA MENTERI
 
 
TRANSKRIP

Assalamualaikum Warahmatullahi Wabarakatuh, Salam Sejahtera dan Salam 1 Malaysia.

1. Pertama, izinkan saya mengambil kesempatan di sini oleh kerana perhimpunan bulanan kita pada pagi ini merupakan perhimpunan bulanan pertama pada tahun 2011, untuk mengucapakan Selamat Tahun Baru kepada semua warga JPM.

2. Bagi kita semua, segala urusan yang perlu kita lakukan, saya percaya telah pun kita sempurnakan dan kini kita telah pun berada di awal tahun baru 2011 dengan perasaan bukan sahaja untuk mengulangi kejayaan tetapi jika boleh untuk meningkatkan lagi usaha dan seterusnya pencapaian yang boleh kita perlihatkan sepanjang tahun baru ini.

3. Jika kita mengimbau kembali, ada dua pencapaian utama pada tahun 2010 yang mana pencapaian ini adalah berkat usaha bersama anggota pentadbiran dan penjawat-penjawat awam. Pertama, tahun 2010 merupakan tahun kita berjaya membawa negara melepasi kesan buruk krisis global yang telah melanda dunia. Kita telah pulih kerana kerajaan telah mengambil tindakan yang berani dan tegas, membentangkan dua pakej ransangan ekonomi yang besar, antara yang terbesar di dunia berdasarkan kepada peratusan GDP dan kerana sistem kewangan negara yang kukuh serta urus tadbir negara yang baik.
 
4. Yang kedua ialah pada tahun 2010, kita telah berjaya membentangkan agenda utama kerajaan melalui Government Transformation Programme, 6 NKRA, Economic Transformation Plan dengan 12 NKEA, Model Baru Ekonomi dengan 8 strategik, Pembentangan Rancangan Malaysia Ke-10 dan juga bajet 2011. Bukan setakat pembentangan sahaja tetapi kita telah mulakan pelaksanaan awal segala agenda kerajaan sepertimana saya sebutkan tadi.

5. Alhamdulillah, pembentangan kita kepada rakyat berkenaan agenda utama negara mendapat sambutan yang begitu memberansangkan. Banyak pihak telah menzahirkan reaksi yang positif temasuk juga nilai bursa saham Malaysia yang berada pada paras tertinggi dalam sejarah negara kita.

6. Saya suka menyebut di sini bahawa, penjawat awam dan institusi perkhidmatan awam merupakan kumpulan yang sangat penting dalam menentukan segala yang telah dirancang dan dibentangkan sebagai agenda utama dan dasar negara, dapat dilaksanakan dan kesan atau dampaknya dapat sampai kepada kumpulan sasar dan rakyat keselurahannya. Oleh itu, kepada semua penjawat awam bukan sahaja di JPM tetapi di semua kementerian, agensi dan jabatan kerajaan, saya berharap segala yang perlu dilaksanakan setelah semua tatacara dan peraturan kewangan dipatuhi hendaklah dilaksanakan secepat mungkin. Jika kita mahu negara terus maju dan mencapai kejayaan berdasarkan perancangan dan roadmap yang begitu teliti, maka salah satu daripada prasyaratnya ialah wujudnya institusi perkhidmatan awam yang mampu mendokong dan melaksanakan tindakan dengan tegas dan berkesan mengikut jadual yang telah pun ditentukan supaya segala-galanya dapat dirasai dampak dan hasilnya kepada rakyat.
 
Tuan-tuan dan puan-puan sekalian,

7. Peringkat awal pelaksanaannya telah pun menampakkan kejayaan umpamanya dari segi pengurangan kadar jenayah negara. Kita dapati bahawa, penurunan sebanyak 30% kadar jenayah yang paling tinggi dalam masa 20 tahun adalah hasil usaha yang telah kita lakukan. Lebih kurang 40,700 lebih keluarga termiskin dan keluarga yang tergolong dalam kumpulan miskin tegar telah pun dapat dikeluarkan daripada kelompok ini dan hampir 4,000 lagi dalam proses yang sedang diusahakan melalui program 1Azam dan sebagainya. Kita juga dapat memperbanyakkan kelas-kelas pra persekolahan. Kita telah pun dapat meningkatkan jumlah pengguna kemudahan pengangkutan awam dan keyakinan terhadap usaha kita memerangi rasuah juga meningkat sedikit sebanyak dan begitu juga prasarana di luar bandar yang sekarang ini berjalan dengan lebih rancak lagi.

8. Saya berharap kejayaan awal ini memberi keyakinan bahawa kita berada di atas landasan yang betul dan jika dapat mengembleng seluruh kekuatan dan kemampuan kita, saya percaya pencapaiannya akan bertambah lagi. Begitu juga dengan program NKEA yang telah pun diumumkan pelaksaannya, sedang berjalan denga rancaknya.

9. Oleh itu, jika saya boleh sifatkan, tahun 2011 ini ialah tahun di mana kita dapat mempertingkatkan momentum untuk melaksanakan segala agenda dan dasar utama negara. Tahun ini penumpuannya mestilah ke arah perkara ini dan jadikanlah aspek ini sebagai yang utama dalam segala pemerhatian dan tindakan yang akan kita lakukan sepanjang tahun 2011.

10. Saya percaya, apa yang telah dibentang dan sedang dilaksanakan oleh kerajaan merupakan kerajaan yang bertanggungjawab dalam erti kata, kita bukanlah membuat janji yang kita tidak boleh ditunaikan dan kita bukanlah membuat janji yang tidak merupakan janji. Ini amat bertentangan dengan Pelan 100 Hari yang dibentangkan oleh pihak pembangkang yang bersifat sangat populis. Sebenarnya, apabila kita kaji pelan ini, ia sebenarnya tidak berpijak pada bumi yang nyata kerana tidak ada pembentangan yang nyata mengenai punca kewangannya.

11. Ini ibarat kita sebagai individu misalnya, kita idamkan kereta dan rumah yang lebih besar dan segala kemudahan yang lain. Tentu sekali apa yang kita idamkan itu mestilah dalam keadaan kemampuan kita dan tentu kita bertanya kepada diri adakah kita mampu? Dari mana punca kewangan kita? Tetapi apa yang hairan dan aneh apabila mereka membentangkan segala-gala measures yang bersifat populis ini, tidak ada sedikit pun disebut dari mana punca kewangan ini. Jadi, bagaimana segala-gala yang dijanjikan kepada rakyat ini boleh dilaksana dan ditunaikan.

12. Kita tidak boleh mengambil sikap terlalu populis sehingga kita menggadai masa depan negara. Kita tidak boleh tidak bertanggungjawab sama sekali sehingga anak dan cucu kita merana nanti malah dalam masa dua tahun sahaja mengikut perkiraan, negara kita akan menjadi sebuah negara seperti negara Greece sekiranya dilaksanakan segala janji tanpa mengambil kira kemampuan negara. Janganlah menjadi seperti pepatah “menang sorak kampung tergadai”. Saya percaya sebagai penjawat awam yang amat berpengetahuan, tuan-tuan dan puan-puan boleh membuat penilaian sendiri.

13. Saya selalu berpegang kepada ungkapan “it is so good then it is really not true”. Jadi, jika kita percaya kepada sesuatu yang terlalu menjanjikan kita sesuatu yang begitu baik sekali, tetapi tidak berpegang dan tidak berpijak kepada bumi yang nyata, maka kita menipu diri sendiri dan kita percaya at our own area.
 
14. Jadi tuan-tuan dan puan-puan sekalian marilah kita kembali kepada apa yang telah dirancangkan oleh kerajaan. Laksanakan dengan baik dan berkesan. InsyaAllah, tahun 2011 merupakan tahun yang cemerlang bagi kita semua dan bagi negara Malaysia yang tercinta.

Terima kasih dan Assalamualaikum Warahmatullahi Wabarakatuh.