UCAPTAMA YANG BERBAHAGIA TIMBALAN KETUA PENGARAH (OPERASI) PADA PERSIDANGAN KETUA PENDAFTAR NIKAH, CERAI & RUJUK SELURUH MALAYSIA KALI KE-22 DI INSTITUT LATIHAN ISLAM MALAYSIA, BANGI SELASA 27

Yang Berbahagia Haji Ghafani bin Awang Teh
Pengarah Bahagian Pembangunan Keluarga, Sosial &
Pengurusan Masjid (KESUMA)

Y.Bhg Ketua-Ketua Pendaftar Nikah, Cerai dan Rujuk SeMalaysia.

Tuan-tuan dan Puan-puan hadirin yang dihormati sekalian.

Assalamualaikum wrh. wbh dan selamat sejahtera.

Tuan-tuan dan Puan-puan yang dihormati sekalian,

1. Terlebih dahulu, izinkan saya mengucapkan ribuan terima kasih kepada ahli-ahli yang hadir dalam Persidangan Ketua Pendaftar Nikah, Cerai dan Rujuk (KPNCR) Kali Ke-22 ini. Saya mengalu-alukan dan menyokong penuh apa jua usaha yang diambil untuk memperkasakan institusi keluarga dan sosial dalam negara ini. Saya juga difahamkan bahawa Bahagian KESUMA akan membentangkan Dasar dan Pelan Pembangunan Keluarga Sakinah dalam meningkatkan profesionalisme dan memastikan keberkesanan perancangan sedia ada.

2. Syukur alhamdulillah, kerana dengan izin-Nya dapat kita bersidang bersama-sama hari ini dalam suasana yang harmoni dan penuh keceriaan. Saya dimaklumkan bahawa sesi perkongsian pengalaman antara KPNCR negeri-negeri sejak sekian lama telah menghasilkan pelan tindakan yang berjaya dan ada yang masih belum terlaksana. Walau bagaimanapun, secara tidak langsung, ini membolehkan ahli persidangan mengorak langkah ke arah penyediaan pelan tindakan masing-masing selepas ini. Saya harap selepas persidangan ini nanti akan ada banyak pembaharuan, penambahbaikan dan penyelarasan terhasil berdasarkan pelan tindakan yang komprehensif dan strategik.

3. Institusi keluarga adalah agen pembangunan sesebuah masyarakat dan negara. Keluarga yang sempurna akan mengetuai masyarakat dan membawa negara ke arah kemajuan. Justeru, pelan yang komprehensif dan strategik mencakupi kekuatan jasmani, emosi, rohani dan minda yang sihat penting bagi merealisasikan hasrat ini.

4. Berlatarbelakang penduduk yang berjumlah 28.307 juta orang pada 2009, sewajarnya perhatian lebih serius diberikan kepada institusi keluarga. Ini kerana dalam tempoh lima tahun (2005-2009) seramai 616,798.00 orang telah berkahwin. Manakala jumlah yang bercerai dalam tempoh yang sama pula iaitu seramai 105,417.00 orang. Apa yang membimbangkan kita ialah kadar perceraian semakin meningkat dari 15.26 peratus (2005) kepada 19.91 peratus (2009) iaitu kenaikan antara 1.83 – 2.82 peratus setahun.

5. Dengan situasi keluarga yang semakin kompleks seperti saiz keluarga semakin mengecil, perkahwinan rendah, perceraian tinggi, tahap kesuburan individu merosot, hubungan sejenis, penzinaan, penguguran dan pembuangan bayi, penderaan kanak-kanak atau isteri serta berleluasa aktiviti maksiat yang lain, maka adalah wajar agensi agama berkerja lebih proaktif.

6. Saya khuatir jika kita lambat menyedari dan bertindak, corak pengurusan, pembentukan dan pembangunan institusi keluarga ini dalam tempoh 10 tahun akan datang akan berubah menjadi lebih kronik. Saat itu, tidak mustahil akan timbul di negara ini pihak-pihak yang menuntut hak supaya negara mengiktiraf perkahwinan sejenis, melihat perkahwinan sebagai adat atau simbolik semata-mata, menerima hidup bersekedudukan sebagai budaya masyarakat moden, lahir persatuan antiperkahwinan yang mendokong ideologi kebebasan sebagai hak mutlak individu, berlaku perubahan nilai dalam keluarga dan institusi perkahwinan, bertambahnya kes haruan makan anak, keganasan keluarga yang melampaui batasan undang-undang, pengabaian-penganiayaan dan penderaan terhadap kanak-kanak, wanita dan ibu bapa yang sudah tua.

7. Semua agensi agama perlu sedar bahawa kita tidak mahu lagi hanya memikirkan ruang lingkup yang berlegar disekeliling kita sahaja. Kita perlu bergerak lebih pantas menjangkaui saat, hari dan zaman ini selari dengan kepantasan perubahan corak atau ”trend” manusia di masa depan. Masih banyak isu global yang belum diselesaikan. Kita berdepan dengan isu perkahwinan bawah umur, kahwin lari, kelahiran anak tak sah taraf dan sebagainya yang memerlukan tindakan segera. Masyarakat sering melihat kepada agensi agama jika berlaku sesuatu masalah tetapi kadangkala kita agak lewat memberi maklumbalas atau penyelesaian.

8. Oleh itu, saya merasakan sangat perlu hubungan erat ini diperkasakan lagi. Bukan JAKIM perlu memikul segala mehnah dan cabaran yang cukup hebat ini. Malah tuan-tuan dan puan-puan diperingkat negeri juga diperlukan dalam membantu meringankan kepanasan dunia kita hari ini. Usah lagi kita, memperlekeh, memperkecil dan menyalah antara satu sama lain. Atau kita bergerak bersendirian tanpa mengharap bantuan sesama kita. Kini adalah masa kita bersama-sama, se-ia sekata mencari, mencapai dan melaksana perkara yang terbaik untuk umat Islam.

9. Saya menyeru semua pihak memberikan sokongan padu kepada JAKIM dalam usaha memartabatkan institusi keluarga di seluruh negara menerusi pelbagai pendekatan. Saya turut ingin mencadangkan agar ahli persidangan dapat mengambil langkah-langkah yang lebih pragmatik untuk memperkasakan lagi perancangan, perbincangan dan keputusan yang dicapai melalui penglibatan out-reach (temu-seru) ke akar umbi. Antaranya ialah:

a. Melatih pegawai, kakitangan dan anggota masyarakat mengikut pelan dasar pembangunan keluarga yang dibentuk;
b. Menstruktur semula sistem pembangunan keluarga dan sosial dalam semua aspek; dan
c. Mewujudkan sinergi dengan institusi-institusi lain di negara ini dalam menyedia dan melaksana pelan tersebut.

10. Saya yakin segala perancangan, perbincangan dan langkah-langkah yang disebutkan tadi atau yang telah diteliti oleh tuan-tuan dan puan-puan, dapat membantu JAKIM dan kerajaan merealisasikan pengukuhan dan pembangunan institusi keluarga secara sempurna.

11. Memandangkan perkembangan ekonomi negara yang turut perlahan, penglibatan anggota masyarakat untuk memberi sumbangan yang positif terhadap isu kekeluargaan dan sosial negara menjadi lebih kritikal. Adalah diharapkan jalinan kerjasama semua pihak dalam mengembelang tenaga dan wang, dapat membantu menangani masalah dan impak negatif kepada mereka.

12. Dalam masa yang sama saya mengharapkan agar pemantauan dan susulan dibuat. Walaupun proses dan hasil persidangan berjalan dengan baik, tetapi sekiranya tiada pemantauan, mustahil hasrat tersebut dapat dicapai. Oleh itu, satu mekanisme pemantauan dan susulan perlu dilaksanakan. Saya mencadangkan supaya pentadbiran negeri dan daerah juga dapat menerima dan menyampaikan resolusi ini agar perancangan tercapai.

13. Akhir kata saya sekali lagi mengucapkan terima kasih kepada semua pihak yang telah menjayakan persidangan kali ini. Marilah kita sama-sama meneruskan perjuangan yang murni ini, untuk membangunkan institusi keluarga ke tahap yang gemilang. Saya menyeru tuan-tuan dan puan-puan agar sentiasa komited dan berusaha gigih membangunkan segala perancangan ini di negeri masing-masing. Semoga usaha kita ini akan mendapat restu dan keredhaan Allah s.w.t.

14. Dengan kata-kata itu saya dengan sukacitanya saya melancarkan Persidangan Ketua Pendaftar Nikah, Cerai dan Rujuk Kali Ke-22 dengan lafaz Bismillahirrahmanirrahim.

Wabillahi Taufik wal Hidayah
Wassalamualaikum wrt. Wbt.

 

 

Disediakan Oleh :
Bahagian Pembangunan Keluarga, Sosial
dan Pengurusan Masjid (KESUMA)
Wilayah Persekutuan Putrajaya
26 April 2010